03 February 2023

Dua Filem Awal 2023

Nampaknya tahun 2023 memberikan harapan baik untuk sinema Malaysia, pasca Perintah Kawalan Pergerakan dan kebangkitan Malaysia Baharu 2.0. Kita doakan yang baik-baik sahaja untuk filem kita.


Ma, I Love You (2023)

Aku sudah lama tidak menonton filem Chiu (Chiu Keng Guan) pasca The Journey. Aku tahu ada beberapa, tapi entah, tidak berapa sedar atau minat, walaupun mungkin sepatutnya ditonton. Aku kembali menemui karya Chui melalui filem mudah dan lurus ini. Kisah filem ini amat mudah (dan klise?): seorang anak (Siow Li Xuan) menyembunyikan usahanya untuk belajar ke luar negara (Perancis) daripada ibunya (Ong Ai Leng). Secara dasarnya, filem ini sebuah filem keluarga, tentang perhubungan ibu-anak. Chiu berlegar dengan hal ini. Biasa? Namun ini filem Chiu, pengarahannya kental dan faham hal yang hendak disampaikan, walaupun dengan gerak komedi-romantik yang tipikal (dengan runut bunyinya sendiri) dna kisah yang tipis. Chiu memakai kasut tradisi Frank Capra dan Leo McCarey. Maka, filem ini juga sebenarnya analogi yang amat kontemporari, mengikut desakan dan semangat Malaysia Baharu untuk para pemimpin lama/tua memberikan laluan kepada pimpinan orang muda (yang tampaknya tidak sangat diambil endah oleh parti politik kita, baik dalam pemerintahan mahupun pembangkang) untuk menentukan jalan hidup mereka sendiri, serta persoalan agar rakyat dan para pemimpin, sama-sama, mencari "pengalaman baharu" dalam keadaan serba mencabar dan bertukar sekarang. Analogi inilah yang menguatkan kerelevenan karya terbaharu Chiu, dan hal sebegini jarang-jarang mampu dibuat dalam sebuah filem Melayu (yang suka mengeja apa yang hendak dinyatakan secara dialog). Filem ini juga mendapat lakonan berkesan daripada Siow Li Xuan dan Ong Ai Leng, tapi khususnya Ong Ai Leng sebagai ibu yang susah hendak melepaskan anaknya pergi (Chui dan penulis skrip bijak menyusun latar psikologi dan hal ini menghidupkan dinamisme watak Ai Leng). Ong Ai Leng berjaya menyampaikan, dalam keras, lembut, kelakar dan seriusnya, seorang wanita yang tampil ibu, (bekas) isteri dan anak, yang dapat dirasai kerisauan, ketegasan dan semangatnya, selain kelemahan-kelemahannya. Ini antara watak indah yang dijelmakan dalam filem Chiu. Jordan Chiam selaku sinematografi turut mengambil peranan, menyampaikan babak dengan selamba tapi bermakna, dan kadang-kadang menguatkan bahasa filem bagi filem kecil ini. Runut bunyinya juga baik, juga suntingannya yang bersahaja.


Duan Nago Bogho (2023)

Walaupun ada perasaan berbelah bahagi terhadap filem kedua Sabri Yunus ini, babak akhir sewaktu Duan (Asrulfaizal Kamaruzaman) dalam keadaan cedera teruk, bermain makyung di hadapan penonton, dengan si peran dan si penonton menontonnya, terdapat semacam suatu imej sinema yang cantik di sini, yang disampaikan oleh Sabri tentang diri peribadinya (mungkin) bahawa perjuangan yang dibuatnya (seni makyung/seni/filem) itu sakral dan perlu dihabiskan walau bagaimana sakit/lukanya dirinya. Ketelusan dan kejernihan jiwa inilah yang rata-ratanya, kita sudah tidak temui dalam insan wira filem-filem kita. Malah, babak akhir ini dikuatkan lagi pengalaman menontonnya apabila ada watak yang menggelupur (Jojo Goh) memerhati Duan di atas pentas, watak yang risau (rakan-rakan di pentas) dan penonton yang hanya menonton tanpa menyedari. Inilah betapa menariknya babak ini. 

Namun begitu, filem Sabri ini setelah berjaya mengangkat nama dalam beberapa barisan siri drama dan telefilemnya, masih mempunyai masalah-masalah besar, khususnya penceritaan (campuran Duan yang bekeng dan menjiwai alam seni Kelantan), garapan suara dan suntingan. Sabri tampaknya masih lemah mengawal suntingan dalam babak aksi, walaupun boleh dikatakan pertarungan yang berlangsung dalam filem ini raw, tetapi masih terasa buah-buahnya tidak penuh dan tangkapannya tidak mengikat. Begitu juga subplot samseng dunia Rosyam Nor yang problematik, walaupun citranya jauh lebih baik daripada gangster Syamsul Yusof yang sintetik. Banyak daki dan gelap yang Duan sebagai anak dari Kelantan perlu hadapi. 

Walaupun plot dan gerakan ini berlumpur dan samar-samar (aku masih menyoal, apa perlunya Nancy memilih untuk membuat kajian tentang makyung? Apa drivenya?), Duan tampil sebagai "anak jati dan budiman Melayu terakhir", mendepani kotor dan lesu dunia serba moden dan berubah orang Melayu di sekelilingnya. Tampilan ini sahaja romantis, tapi mempunyai maksud yang sudah jarang-jarang dibuat dalam filem Melayu. Watak Duan sebenarnya antitesis terhadap watak Nordin Ahmad dalam Chuchu Datok Merah. Jika watak Melayu tradisi diberikan peranan pesimistik dan tragik terhadap perubahan akal dan hidup kontemporari dalam filem M. Amin itu, watak tradisi Duan di"wira"kan, di"romantik"kan oleh Sabri pada era Melayu serba korup, nirnilai (valueless) dan hilang kompas moral dan agamanya era pascamoden ini (watak ini sama seperti watak Eman Manan dalam Bintang Malam). Filem ini tampil dengan himpunan para pelakon yang baik, khususnya daripada kalangan pelakon berketurunan Kelantan. Yang mengejutkan, ada Lim Swee Tin sebagai bekas ketua samseng yang terpaksa melakukan tugas terakhir kerana menjaga keluarganya, boleh berlakon! Ada rasa detachment dalam filem ini, dengan mainan Sabri yang banyak bermain monolog suara Duan.