Kredit Foto: Mubi.com |
Aku pernah menulis dalam blog tontonfilem aku bahawa Femina (1994) yang aku tonton sewaktu kecil merupakan antara filem terbaik Aziz M. Osman dan antara filem komedi-romantik (chic flick) yang baik. Dalam bulan puasa ni, aku tonton lagi di Mubi dan menariknya, menemui tiga perkara yang menarik.
(1) BABAK KREDIT AWAL - Aku tak rasa Aziz M. Osman meminta Bade Hj. Azmi menangkap syot luas dari atas (helikopter) sehingga menuju ke Matic (tempat sidang editorial-staf majalah Femina mengadakan majlis anugerah) dengan sikap sambalewa. Syot pertama dalam filem selalunya penting, malah kadang-kadang menjadi "pengenalan" cerita, apa yang kita expect untuk filem ni nanti (establish shot).
Syot pertama, menariknya, menampilkan gerakan dari bangunan tinggi (Malaysia era 90-an yang kian maju) ke arah Dataran Merdeka. Lebih menarik lagi, ruangnya jelas menampilkan padang (datar) dikelilingi bangunan. Kedit nama Aziz M. Osman muncul dengan tiga teraju utamanya, Erma, Eman dan Susan. Kemudian, syot bertukar kepada bangunan-bangunan tinggi, lalu judul filem timbul: Femina dengan gaya fon meliuk (kewanitaan?). Menarik. Kita ditampilkan, dalam dunia ke arah kemajuan di bumi Malaysia ni, khususnya Kuala Lumpur, akan ada padang percakapan/dialog antara Erma-Eman-Susan yang dikepalai oleh Aziz. Padang juga berkait dengan "padang mainan" (signifikan kreativiti yang ditampilkan), namun padang ini dipilih dengan sengaja: padang orang berhimpun waktu Merdeka. Maka perbincangan yang akan berlangsung merupakan perbincangan nasional, yang mungkin waktu itu rakyat kita kurang memahami, tapi dengan jelas, amat relevan sekarang.
Kemudian, kita lihat judul filem Femina yang meliuk itu di latar bangunan tinggi. Aha! Masa kecil dah tentu aku tak faham. Masa besar (jika pun bacaan ini mengada-ngada) aku jelas faham "cuitan" Aziz dalam hal ini, dalam dunia serba maskulin, patriaki dan kelelakian era moden (bangunan-bangunan tinggi, simbol pe***), sang wanita (Femina) ingin diambil perhatian (to take notice). Jelas, di sini, akan berlaku battle of the sexes, berlaku perbalahan antara peranan, kuasa dan sifat. Selepas syot itu, menariknya, dengan POV Tuhan, kita dibawa ke ruang perbicaraan sekali lagi, dalam ruang serba padang/datar di MATIC, lalu cerita pun bermula.
(2) BUSANA EMAN-EMMA YANG SENGAJA - Jika kita lihat betul-betul, dengan licik sekali, Aziz (dengan bantuan penasihat imej Micheal Gunter dan penjaga pakaian, Jim Mohan Singh) dan Bade selaku pengarah seni sebenarnya menyusun busana Eman (Pyan) dan Erma (Tina) sebagai hint mereka akan bersama.
Selalunya, pilihan warna baju mereka dekat-dekat sama, hitam, biru, malah paling jelas sewaktu Eman keluar dari hospital memakai kemeja ungu kotak dan Erma datang kepada dengan jaket ungu, malah mereka berjalan setara di atas jalan (syot di atas jalan), suatu "pertemuan" sedang diusahakan (sebelum itu, kebanyakan syot berlangsung di tingkat atau sudut yang berbeza, menampilkan "salah martabat" dan "ketidaksefahaman". Busana penyatuan mereka (sewaktu Erma menceritakan kisah sejarahnya) ialah hitam, tapi hal ini sengaja dikuatkan dengan cahaya/latar malam bahawa warna baju mereka tidak penting di sini, hanya warna latar (realiti/hakikat - yang membawa pada fitrah) gelap/suram/hitam yang mewajahi kedua-dua watak untuk mencapai taraf persefahaman (acceptance).
Lalu, akhirnya, pada babak klimaks pada forum pergaduhan dengan Susan (Anita), lihat baju Eman, jaket hitam-seluar coklat dan baju Erma, jaket coklat-seluar hitam. Mereka kini sudah "sepadan" atau "compatible to each other" dan bersama-sama menjawab "dakwah" Aziz bahawa pasangan lelaki-wanita memerlukan antara satu sama lain: "Kami wanita ingin menuntut hak saksama, bukannya persamaan. Kami tidak mahu menjadi lelaki. Apa yang kami mahukan ialah dilayan sama rata."
(3) WACANA FEMINISME - Segalanya tentang filem ini sebenarnya ialah wacana, yakni membincangkan isu. Hal ini mungkin berisiko kerana boleh menjerumusnya ke arah sebuah "drama teater" semata-mata, namun susunan Aziz cukup jelas, selain susunan plot dan penceritaan, muncul babak-babak yang menekankan untuk perbincangan. Babak akhir "perbincangan" dengan tajam dan relevannya, diarah kepada ruang studio (aku dapat rasa, ditangkap di FINAS, mungkin aku salah) televisyen. Sebelum babak ini, ada key-point yang jelas apabila Erma menceritakan sejarah hidupnya. Dengan jelas, dia berkata, "Femina (majalah) ialah ibu."(!) Sejarah hidupnya (melihat ketidakadilan) ialah perjuangannya.
Babak klimaks iaitu di ruang studio sebenarnya satu babak yang serius, kerana Aziz menampilkan evolusi dari titik Timur/Malaysia akan perkembangan perjuangan emansipasi wanita, dari era pra-Merdeka (diwakili Afida Es, ibu Aziz sendiri) kepada era moden (Susan-Erma). Mungkin A. Wahab Hamzah merasakan isu-isu yang dimainkan dalam filem ini, dalam dialog akhir ini agak "far fetch", tetapi jika ditonton sekarang dengan pelbagai budaya cancel dan #metoo, gaji wanita di tempat kerja, wanita sebagai pemimpin, selain kemasukan suara wanita LBGT untuk hak saksama, persoalan wanita boleh hidup berdikari tanpa lelaki, halnya menjadi lebih relevan "untuk dibawa ke hadapan".
Dalam persoalan dan hingar-bingar isu hak wanita ini, sekali lagi, Aziz melalui Erma bertanya, "Siapakah ibu dalam cerita wanita kita?" Femina boleh ditonton di Mubi dan Siar.