17 May 2021

Ulasan: Jimi Asmara (1995)


"Ayuh, kita dendangkan lagu keramat, Jimi Asmara!" - Jimi Asmara
"Kaulupa asal kau, Sabariah." - Jimi Asmara

Terima kasih atas Netflix, filem "langka" dan sulung Erma Fatima ini (skrip asal oleh Ahmad Fauzee tetapi dikreditkan sebagai "cerita asal oleh BNI Studios" dengan skrip Shafiuddin Shariff, dan err, lakon layar Erma) mendapat wajah pemurnian semula (remastering) yang segar dan engaging. Sewaktu remaja, aku terlepas menonton filem ini (aku di MRSM waktu itu, dan agak memilih filem tempatan waktu itu, ini masih era Yusof Haslam membikin filem-filem cinta Sembilu dan Maria Mariana, filem-filem 'komersial' laris besar di pawagam) kerana beberapa kritikan filem yang tidak berapa mengangkat filem ini (mungkin A. Wahab Hamzah, aku sudah lupa, tetapi jika aku tidak silap, Wahab juga agak kritikal dengan Sayang Salmah, filem Mahadi J. Murat yang menang Filem Terbaik FFM tahun itu). Tapi filem ini tersemat menjadi "menyesal tak ditonton" kerana orang gaji ibu aku waktu itu memberikan pujian tinggi terhadap filem ini. Filem ini juga mendapat kritikan yang panjang dan baik oleh pengkritik filem tersohor (Allahyarham) Dr. Anuar Nor Arai (boleh dirujuk dalam buku Kumpulan Esei dan Kritikan Filem, DBP, 2007).

Ada magis dalam filem ini kerana "membawa kembali" kita pada layar era filem klasik Jalan Ampas, yang menjadi filem homaj (homage - penghormatan) Erma-BNE terhadap era dan filem-filem hitam putih 1950-an dan 1960-an, suatu percubaan yang amat dipuji (Ahmad Fauzee sebenarnya melakukan homaj yang lebih awal dan berkemungkinan seorang perintis dalam filem jenis ini, dengan filem Kolej 56 [1989] dan Panggilan Pulau [1994] yang sememangnya bikinan semula filem lama Malay Filem Productions itu). 

Bercakap tentang homaj, aku rasa gembira bahawa kita sudah mencuba pada era ini. Kita perlu fahami satu sisi mengapa filem sebegini dijelmakan, sepertimana Mamat Khalid pernah menzahirkannya secara spoof atau parodi dan Melissa Saila selalu melakukan rujukan terhadap filem-filem lama Jalan Ampas dalam telefilem-telefilem mereka. Malah alusi dan imitasi Jimi Asmara terhadap filem era hitam putih jauh lebih awal daripada The Artist (2011). Jika The Artist ialah "warkah cinta" para pembikin filem Perancis tersebut pada semangat, pesona dan bahasa sinema filem bisu Hollywood (malah ada yang menyatakan itu sahaja, hanya pendirian hormat dan rasa cinta, malah tidak mendalam kesannya), pembikin filem ini (sepertimana tujuan Ahmad Fauzee) sebenarnya hendak menyatakan sesuatu (making a statement).  Beberapa tahun sebelum 1995, terdapat satu siri drama panjang "menghidupkan kembali" riwayat Allahyarham P. Ramlee (jika aku tidak silap, Ahmad Fauzee dan Hani Mohsin turut berlakon di dalamnya) tersiar di TV. Malah, saban tahun, dokumentari P. Ramlee dihasilkan. Filem Jalan Ampas yang ditayangkan di TV sangat popular, malah merentas kaum. Kenyataan umum (malah ahli politik dan sesetengah artis era itu) dan popular, sampai ke budak-budak sekolah, mereka selalu menyatakan "masih terhibur dengan filem-filem P. Ramlee" malah bagi mereka, filem-filem era 1950-an 1960-an itu jauh lebih baik daripada filem-filem sekarang (1990-an). Maka, Erma merivitalisasi atau melihat kembali, bukan sahaja atas dasar hormat, berwarkah cinta terhadap filem Jalan Ampas dan apa-apa yang dibawa pada era itu semata-mata, tetapi memberikan pendirian (mungkin ulang kaji semula) terhadap filem-filem, pesona, semangat dan nuansanya, jika dijelmakan semula pada era sekarang (1990-an), dengan teknologi dan kemahiran kontemporari sedia ada.

Malah memang, walaupun nuansa dan dekoratif mileu dan tangkapan zaman Jimi Asmara ada menghidupkan kembali semangat dan rasa filem Melayu Jalan Ampas (hal ini diuaruarkan dengan bersemangat oleh Anuar Nor Arai dalam kritikannya), cara pendekatan dan teknikalnya masih kontemporari (hal yang sama berlangsung untuk The Artist). Malah, yang mungkin aku kurang berkenan, adalah penggunaan runut skor synthesizer oleh Khairil Azli (terdapat alunan biola dan cello imbuan filem lama tetapi itu hanya berlangsung durasi 3/4 filem ini, dan khususnya dalam babak yang menekankan unsur dramatik dan patosnya) pada bahagian-bahagian tertentu. Namun, itulah "interpretasi" moden yang dihalakan oleh Erma dan kru pembikinnya dalam tujuan filem ini. Kita menonton wayang gambar lama dalam sentuhan kanta dan sikap kontemporari.

Jadi, mengapakah filem ini dibikin? Selain menangkap kembali momen (yang dimomokkan oleh rakyat sebagai terbaik dalam sejarah sinema kita) untuk penonton sedia ada waktu itu untuk "menghidupkan kembali" suasana rasa penontonan (setelah mereka pernah berkali-kali menonton tanpa jemu di TV) dan mengutip kembali bajet pembikinan filem ini (haha), Erma juga (dan Shafiuddin) memberi pendirian tentang nostalgia dan kuasanya.

Hal ini tentulah dirangkul, selain naratifnya (kita akan dapat merujuk beberapa filem terkenal era itu apabila menonton filem ini, sikap yang sama dibikin dalam The Artist beberapa tahun kemudiannya), juga sentimen wataknya, latarnya, perwatakannya (atau mungkin lebih tepat, arketaipnya - watak yang tersedia dibina mengikut suatu struktur susuk yang tertentu dan berperanan dengan peranan yang tertentu), lagunya dan semangatnya. Filemnya, kita boleh menemui filem lama Ibu Mertua-Ku (1962), Antara Dua Darjat (1960), dan A-Go-Go (1967). Kita juga menemui arketaip jelas filem lama tetapi diberikan dimensi lapisan motivasi dan psikologi yang lebih berkesan dalam watak Hani Mohsin sebagai Jimi Asmara, seorang watak "hero" romantis Melayu era lama yang tipikal (setia pada janji dan prinsip hidup, berkeras dengan dengan pilihan hidup dan jalan perjuangannya, amat setia [loyal] dan berusaha melakukan sesuatu [seperti cinta hati] dengan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh semangat, malah kadangkala naif). Kita hampir dapat temui watak sebegini dilakonkan baik oleh S. Roomai Noor malah P. Ramlee pada awal kemunculannya pada era 1950-an (watak yang melawan atau anti-hero romantik Melayu pula terpapar dalam susuk Nordin Ahmad, malah P. Ramlee menjahanamkan semangat dan watak romantis Melayu ini dalam filemnya Dr. Rushdi lakonan Ed Osmera dengan "membunuh" watak itu). Sudah tentu hero itu dipadankan pula dengan heroin yang setara, dan dalam hal ini dengan Engku Noraini lakonan Maizurah Hamzah. Menarik dalam hal ini, terdapat "cinta tiga segi" tunang Engku Noraini, Engku Sulaiman (Jalaluddin Hassan) yang mengimbaukan watak tengku yang iri hati (dalam filem ini lebih toned down) dalam Antara Dua Darjat, dan "wanita kabaret", watak yang boleh dikatakan femme fatale ala filem Melayu arketaip (dan stereotaip) bawaan Siput Serawak, diva terhebat sinema lama, yang dalam filem ini dibawa oleh watak bekas kekasih Jimi, Sabariah lakonan Raja Azura (boleh rujuk filem Hujan Panas [1953], watak Siput yang mendekati citra dan peranan yang amat sama dengan yang dilakonkan oleh Raja Azura dalam filem ini).

Semua ini pula diberikan "kemas kini" yang lebih terisi "logos" atau latar watak dan penceritaannya yang berjustifikasi pada tujuan pilihan watak, malah motivasi psikologinya. Menarik dalam hal ini, apabila Jimi menyatakan kepada Sabariah yang sudah memilih A. Rafee (jelmaan A. Ramlie?) sebagai sudah lupa asal(usul)nya (apakah maksud "asal" Jimi di sini? Jati diri Melayu Sabariah sudah hilang?). Hal ini menarik sekali gus ironis. Jimi bukanlah Kassim Selamat dalam Ibu Mertua-ku yang menjadi kebencian orang berada semata-mata seorang "ahli muzik" (insan seni), tetapi dipamerkan "realiti" sebenar golongan orang seni (dan mengapa mereka dipandang seorang oleh orang Melayu biasa era itu) apabila kita dipertontonkan Jimi dan kawan-kawannya berjudi, malah Jimi yang berpuluh tahun bersama Sabariah, bersekedudukan dengannya, tidak pernah bernikah. Terdapat ruang gelap dalam sinar hero romantis Melayu ini.

Tapi Jimi Asmara sememangnya mempunyai perjuangan seni yang "asal" atau "murni", yakni, walaupun mengambil pakai alat dan teknik lagu Barat, nada dan melodinya ber"asal" Melayu "asli". Hal ini yang dipertaruhkan dan dipegang bagai bara dalam genggaman. Kita sedari ini apabila Jimi menyatakan dengan sikap begitu seriusnya bahawa lagunya "keramat" dan mempunyai sumber "asal". 

Sikap romantis dan tegar Jimi inilah roh keseluruhan filem ini sebenarnya: Jimi, filem ini, sedang bertahan teguh pada nostalgia, berpegang religiously pada gaya lama (yang dianggapnya sebagai keramat dan asal). Kita juga, suara penonton era itu (yang payah benar hendak pergi menonton filem Melayu atas alasan itu)  memerhati bagaimana nostalgia dan cara berpegang ini direalisasikan dalam kata-kata sinema. Semua ini malah dapat dilihat dari segi renungan. Renungan watak dalam filem ini amat penting. Di sini kita dapat memerhati, selain konsep imejan "seniman/orang seni dipuja" dihidupkan tetapi juga cara nostalgia (seni lama/lagu lama/sinema lama) dilihat, ditatap dengan penuh pujaan, dipandang dengan iri atau dijeling dan dilupai.

Tahun 1955, lagu Melayu Jimi Asmara dipuja dan dikerumuni, membawa iri dan menyampah pada kekasih hati bintangnya, Sabariah.

Tahun 1965, lagu Melayu Jimi kurang diminati (atau lapuk), maka Engku Noraini, peminat dan penonton setia Jimi memandang hiba pada pentas pop yeh yeh (yang dianggap Barat [nuansa negatif] dan bingit), dengan mata khalayak yang tenggelam dalam lagu rancak kugiran muda, sambil pemerhati baharu, Engku Sulaiman pula memberi renungan iri dan seribu persoalan.

Terdapat persoalan transisi perubahan nilai yang jelas, dan sikap resah, gelisah malah dalam hal Jimi, bertegas untuk tidak berubah dalam gerakan zaman yang serba memintanya untuk berubah. Semua ini ditimbulkan dalam dua period zaman yang boleh dibandingkan, 1955 (sebelum merdeka!) dan 1965. Mungkin secara latar sejarah dan politik, filem ini tidak begitu jelas imbauannya (hal ini tampak disengajakan), apatah Singapura terputus dari Malaya pada tahun 1965. Selain P. Ramlee yang turut berpindah ke Kuala Lumpur setelah mencapai tahap kemuncaknya dengan filem Madu Tiga (1964), berlaku juga transisi populariti lagu pop yeh yeh berlawanan dengan lagu gaya lama, juga tahun selepas 1965, era Studio Merdeka P. Ramlee, filem Melayu memasuki era ambang kemerosotan. Dalam segala pencaroba perubahan ini, Jimi tetap berkeras dengan pendiriannya, tidak akan menyanyikan lagu-lagu rock n roll sukaan muda mudi era itu (dikatakan hal ini mengimbau sikap R. Azmi, yang dikatakan riwayatnya, selain lagunya, menjadi sumber inspirasi filem ini). Hal ini semacam satu death sentence, kerana tanpa menerima perubahan (seperti sinema Barat, yang tidak mahu bercakap dalam filem bersuara akan menjadi usang/obsolete) seseorang itu tidak mungkin mampu maju mengikut perubahan zaman. Malah tahun 1995, semangat rakyat Malaysia begitu bersemangat dengan keadaan "serba maju" negara apabila KLCC sedang dibina. Namun inilah pendirian Jimi, dan inilah pendirian Erma. Terdapat kenyataan yang radikal sekali gus jumud(?), bijak sekali gus naif. Hal ini boleh diteliti, lebih-lebih lagi dari segi nilai, jati diri, maksud fitrah, dan dalam hal ini, pemilihan mengihidupkan seni gaya lama. Sikap berpegang pada hal lama ini amat nostalgik, terpuji dan berani. 

Rata-rata lakonan pelakon filem ini tersinar indah, dan masih mempesona walaupun sudah 25 tahun lamanya (Ahah! Nampak, seperti bernostalgik bukan?). Pujian diberikan kepada Hani Mohsin yang begitu hidup wataknya sebagai seorang romantis yang mencari-cari impiannya, malah kadangkala manipulatif dan egois. Gerak dan lakunya (walaupun miming) menjadi dan jelas seorang penghibur, malah serius sepenuhnya dengan seninya. Maizurah Hamzah (memenangi Pelakon Harapan Terbaik dalam FFM) juga jelas mengimbau arketaip watak seniwati era lama, malah setia pada seni dan status seni lama yang disayanginya. Watak-watak sampingan lain juga amat baik (seperti Wan Maimunah, Raja Azura dan Umie Aida), dan kita boleh lihat betapa semula jadinya lakonan Rosyam Nor sebagai teman baik Jimi, Fakar. Peranannya sedikit, malah bersikap pembimbing, tetapi dia melaksanakannya dengan penuh kefahaman krafnya. Skrip Shaifuddin juga cukup mengimbau nostalgia dan patos, bijak menyusun drama dan memberikan kedalaman cerita, tujuan dan perwatakan, malah Erma dan beliau tahu mengakhirkan cerita yang serba tragis dan air mata ini dalam sikap yang terkawal dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan sedu-sedan. Walaupun ceritanya mudah dan menyamai klise filem Jalan Ampas lama, ia mempunyai lapisan dan kedalamannya yang tersendiri. Sinematografi yang elegan dengan pendirian moden tetapi bernuansa lama dijayakan oleh Bade Hj. Azmi (tertulis di kredit sebagai Badaruddin Azmi). Terdapat pengimbangan duduk letak watak dan ruang dengan skop luas (widescreen) yang cantik, tangkapan riak dan renungan yang baik, dan kefahaman pentas-penghibur-spektator yang terkawal, dibantu oleh suntingan kemas Alias Maiden. Sinematografi Bade sendiri sebenarnya banyak bercerita, malah menguatkan nuansa patos dan tragedi, romantis dan kejujuran, dalam suasana yang begitu sedu dalam titik perubahan dan kehilangan maksud hidup. Begitu juga busana, seni pengarahan yang turut membantu menghidupkan era zamannya, walapun mungkin ada bahagian tertentu terasa kosong tanpa orang, atau ada syot bayang-bayang kamera di kerumun manusia, merosakkan believability sinemanya. Lagu-lagunya juga jelas baik (Anuar Nor Arai memanggil filem ini sebagai sebuah muzikal, dengan bijak, terdapat hanya satu babak nyanyian yang dengan jelas menzahirkan babak dua insan mencapai cinta yang terhalang) atas pertolongan pilihan Ahmad Fauzee. 

Jimi Asmara ialah filem untuk kita menemui "era kegemilangan" dalam pentas masa kini, yang membuat kita mampu terhibur akan penampilannya (yang bukan bersikap pastisye) menghidupkan kembali latar dan nuansa layar lama, tetapi juga menekuni persoalan-persoalan masih relevannya tentang mendepani desakan perubahan, sokongan/apresiasi seni dan restorasi seni yang sudah ditelan zaman. Antara filem terbaik 1990-an.

Trivia: Filem ini mungkin inspirasi daripada riwayat R. Azmi, tetapi Jimi Asmara merupakan tokoh era filem Jalan Ampas yang benar-benar wujud, yang hidup seangkatan P. Ramlee dan para penulis ASAS 50 di Singapura. Beliau merupakan kolumnis dan pengarang beberapa majalah hiburan Melayu di Singapura era itu, dan amat dekat dengan karyawan seni dan penulis Singapura era itu. Beliau meninggal papa dan sakit. Kisahnya pernah diceritakan oleh Sasterawan Negara Keris Mas dan Abdullah Hussain dalam memoir mereka.  

Belanja imej Sofia Jane berkameo dalam filem ini (selepas Perempuan, Isteri & ...?) sebagai wannita kabaret melakukan camp(!) dengan meniru/miming dan beraksi ghairah lagu Doris Day, Perhaps, Perhaps, Perhaps.