"Syaitan berasal dari hutan gelap. Kau boleh jadi sesat di dalamnya." - Daud
Petikan dialog di atas menyimpulkan tapak dan tujuan filem jenayah dan ngeri tahayul (supernatural thriller) ini sebenarnya, satu-satunya filem yang ditunggu-tunggu oleh penonton wayang Malaysia sedari 11 tahun lamanya. Malah, kontroversi dan persoalan lewat dan disimpan daripada tayangan menjadi antara desas-desus membawang yang paling pedih mata dalam sinema kita. Jadi, akhirnya, Dukun tiba ("Akhirnya kita bertemu!"), dan menarik lagi, tiba pada waktu Pilihan Raya Umum akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Bukan sahaja pemilihan untuk filem ini menemui penontonnya bijak, strategi pemasarannya juga antara yang paling kalkulatif yang pernah difikirkan oleh pihak pasaran Astro. Bagaimanakah pula isinya?
Ulasan ini ada spoiler.
Filem ini bergerak pada tiga garisan jelas yang digerakkan oleh tiga teraju utama; (1) Namron sebagai detektif Talib yang ditugaskan untuk menyiasat mayat (yang kita akan tahu milik Dato' Jeffri, ahli niaga berpengaruh) di dapur milik rumah Diana Dahlan, (2) Umie Aida sebagai Diana Dahlan, tunjang utama cerita ini berkisar, yang menitip hidupnya sewaktu di dalam penjara, di mahkamah, dan saat-saat akhir hidupnya, dan (3) Faizal Hussein sebagai Karim, peguam yang terpaksa menjadi peguam bela Diana Dahlan di mahkamah, satu kes mahkamah paling sensasi dan nasional dan menuding jelas untuk si pembunuhnya dihukum mati, yang pada masa yang sama mencari-cari anaknya, Nadia (lakonan Elyana).
Daripada ketiga-tiga cerita ini, terjalinlah suatu gerakan siasatan yang membuka rahsia dan misteri ilmu hitam yang terkhusus Batak, dibuka oleh Namron, Ramli Hassan dan Bront Palarae, yang melingkari misterius ritual pembunuhan Dato' Jeffri, yang akan menggemparkan penyiasatnya apabila menyedari, pembunuhan ini menusuk jauh lebih dalam tentang persoalan kuasa, seksualiti, kejahatan dan keruntuhan sosial. Ya, gerak langkah ini akan mengingatkan kita pada siri-siri detektif ngeri yang membuka siasatan ritual, syaitan dan dunia ghaib hitam yang biasa kita tonton di dunia Inggeris (The Seventh Victim, The Devil Rides Out, Night of the Demon, Fallen, Exorcist III, Angel Heart dan The Believers), malah di Taiwan juga pernah menghasilkan sebuah yang bagi aku tidak berapa baik dan dilupai, Double Vision. Menarik lagi, filem ini yang sebenarnya amat mudah diikuti bukan sahaja memenuhi tujuan filem-filem detektif dan pejalanan drama dan intrig mahkamah (untuk kita meletakkan salah/betul Diana Dahlan dalam tuduhan membunuh), filem ini, telah menjadi analogi tentang dunia dan tawarannya, serta pilihan jalan manusia di dunia dalam meniti hidup, sama ada mereka mahu memilih yang "salah" atau mengambil pendekatan mencari "jalan yang lurus".
Kekuatan filem ini jelas-jelas diangkat oleh pelakon utamanya. Umie Aida ialah satu keajaiban, suatu force of super-natural. Kita tidak mampu tidak menoleh daripada sosoknya, dan kadangkala gerun akan kuasa yang dipegangnya. Ada semacam kuasa pengaruh, karisma dan keyakinan yang selalunya kita tampak wujud dalam tokoh-tokoh politik (yang bijak, seperti Tun Mahathir atau Anwar Ibrahim), wujud pada personaliti Umie Aida sebagai Diana. Diana juga, berperanan bukan sahaja sebagai pakar dalam bidang mistik dua alamnya ("Aku dukun, bukan bomoh!" Diana menjerit pada satu masa) tetapi penguasa terhadap sesiapa yang duduk di bawah telunjuknya. Dan menarik di sini, di bawah karangan baik Huzir Sulaiman (bakal menerima calonan akhir anugerah penulis lakon layar terbaik untuk Festival Filem Malaysia ni, malah mungkin akan menang!), Diana juga menundukkan pelanggan dan pesuruhnya (anjing gunaannya! Pada satu babak yang sangat subtle kita dapat lihat bagaimana Karim jatuh di bawah telunjuknya lalu menjadi pesuruhnya tanpa dia sedari!) bukan sahaja dengan ilmu yang dia ada, tetapi kuasa seksualitinya, sesuatu yang ingin sangat dimiliki oleh Dato' Jeffri (Adlin Aman Ramlie).
Hal ini dapat kita lihat berlaku pada babak imbas kembali yang berlaku dalam bilik solek Diana yang dilawati oleh Dato' Jeffri. Dalam babak itu, setelah jual-menjual seksual berlaku antara Jeffri dengan Diana untuk memiliki Tongkat Batak, suatu alat ilmu tradisi Batak yang amat berkuasa "untuk memberikan kekebalan dan pengasih" dalam simpanan Diana, Diana meninggalkan Dato' Jeffri dengan kerlingan yang sangat tajam, jelas muak dengan hipokrisi dunia manusia yang dilaluinya.
Ada sesuatu yang menarik di sini dan dibawa dengan fenomena sekali oleh Umie. Rentak, luah dan lengkuk nuansa seksual Umie memang pada kelasnya yang tersendiri, dan bagusnya Umie tidak melakukan hal ini sehingga pada tahap karikatur. Semuanya "diva" dan "devlish" tetapi amat terkawal. Tetapi lihat juga, dalam godaan dan "melayan" godaan nafsu Dato' Jeffri, pada masa sama, Umie menyampaikan syarat-syarat untuk memiliki Tongkat Batak (phallus - simbol kekuasaan!); dia menyatakan antara syaratnya, agar Dato' tidak bersetubuh dengan mana-mana perempuan. Kita fahami, dengan bayang dan cuitan filem ini, serta paparan akhbar, selalunya, ilmu perbomohan berkait juga dengan seks. Malah, dengan saksian seorang saksi pemandu Dato' Jeffri (Joey Exist), telah melihat majikannya bersetubuh dengan Diana(!) Tapi kita sebagai penonton, ditunjukkan hal itu tidak berlaku (yang berkemungkinan juga, Dewa Ular, jin-syaitan yang dibela oleh Diana itulah yang melakukan persetubuhan tersebut) pada Diana. Ini memberikan beberapa interpretasi yang menarik: Diana mungkin bersetubuh secara rohani, bukan fizikal (ini menguatkan persoalan bahawa lelaki lemah), malah berkemungkinan, kuasa yang ada pada Diana itu begitu hebat kerana dia telah mengawal dirinya, mengawal nafsunya (walaupun kita selalu mendengar nafsu wanita itu 99 berbanding lelaki). Diana ialah seorang dukun dara: mengawal dirinya daripada dieksploitasi menjadikan dirinya berkuasa, malah memahami keinginan orang yang mengelilinginya! Wanita berpelir atau femme fatale yang agung!
Malah dalam hal ini, kita dapat membaca juga bahawa keberadaan Diana ini bukan calang-calang, dan tidak berhenti hanya pada titik ilmu, seks dan godaannya, tetapi Diana, yang benar-benar menjelmakan tipu daya syaitan, sememangnya ialah pemerhati dan pengkritik besar hati nurani (consicence) sosial, politik dan jati diri Malaysia sekarang. Malah, dengan menakutkan lagi, setiap jejak dan cara Diana memang mengikut syarat (Mephistopheles!) terhadap apa yang diingini oleh manusia. "Lelaki memang lemah," Diana bercakap berkali-kali, mengingatkan betapa manusia bukan sahaja mudah sangat tergoda akan tipu dayanya, tetapi manusia dalam sepenuh hidup hariannya hanya menurut hawa nafsu mereka semata-mata, meminta dan meminta, masyarakat yang tidak berhenti meminta, untuk material, untuk dipuaskan, dengan hal-hal dunia/material seperti mahu anak, jodoh, kepuasan seks dan wang. Dengan hebat lagi, Diana menyedari hal ini dan menyatakan dengan jelas di dalam mahkamah, "Tanpa saya, masyarakat ini tidak dapat berfungsi" - jelas kenyataan yang besar ini bukan sahaja bagaimana pembomohan itu (secara sinis) sudah menjadi institusi masyarakat tempatan, tetapi kenyataan ini hanya disampaikan oleh seorang penguasa politik!
Maka kuasa dan kekuasaan, pengaruh dan ikutan ialah asosiasi terbesar yang melingkungi filem ini, yang merupakan persoalan didaktik yang sengaja dilemparkan kepada kita. Dain Said di sini, dengan sedar, melihat, bukan sahaja daripada strata atas (golongan kelas atasan dan menengah) yang atas sebab mencari pengaruh dan pemuas jiwa, yang jadi korup dan terikut-ikut dengan tipu daya dunia, tetapi golongan biasa dan bawahan juga terkena badinya kerana duduk di belakang dan menurut kata ruang mainan pengaruh dan kekuasaan duniawi ini (keluarga Mislina Mustafa sebagai contoh, yang berlakon sebagai orang gaji Diana, yang akhirnya merana psikologi dan roh). Hal inilah yang berkali-kali diberikan amaran oleh Daud (Ramli Hassan), penyiasat peribadi Karim yang cuba mencari anak daranya yang hilang. Jika Diana melihat dan menyampaikan kebrobokan masyarakatnya dengan kias dan nuansa badan, Daud ialah hati nurani manusia Malaysia yang benar. Dia menjelaskan keadaan korup dan hitam masyarakatnya terperangkap di dalam tipu daya dunia, "Ini alam lain" kata Daud kepada Karim sewaktu mereka mencari anaknya, dan memberikan amaran kepada Talib agar tidak hilang diri sewaktu menyiasat kes Diana, "Orang sekarang sembah ke pelbagai sudut bumi, aku harap bila kes ini dah habis, kau masih menghadap Mekah."
Aku begitu kagum dengan Dain Said dan susunan dan tujuan imejnya. Banyak perkara dan gerak adegan yang disusun oleh Dain adalah dengan sengaja. Ini ditambah lagi bahawa ini filem sulung Dain Said (yang kemudian apabila filem ini tidak berjaya ditayang pada waktunya, filem kembarnya, Susuk tulisan dan arahan Amir Muhammad keluar pada tahun 2008, yang mempunyai beberapa persamaan motif dan perwatakan watak). Kita perhatikan sahaja simbol lam-alif (sesiapa yang banyak membaca tentang dunia ilmu batin Melayu akan tahu ini simbol lam-alif, yang selalunya digunakan untuk membuat azimat) yang dikatakan "huruf Batak" oleh Talib. Jika kita perhatikan, ia mempunyai bentuk bulatan (yang berkaitan juga dengan tanda ouroboros yang diperkatakan oleh Talib/Namron dalam satu adegan, yang simbolnya bukan dalam budaya Timur tetapi Barat, ini jelas satu pinjaman fiksyen yang sengaja oleh Dain-Huzir). Kemudian kita ada Tongkat Batak, yang berbentuk alat sulit lelaki. Jika kita teliti betul-betul, ruang mahkamah, ruang lobi mahkamah, ruang dewan nyanyian Diana, semuanya berbentuk semacam empat segi berkotak-kotak tanpa tiang (ya, di dalam ruang tempat Diana melakukan kerja hitamnya). Dalam ruang-ruang ini, semuanya ada manusia, selalunya penuh dan bersesak-sesak - yang semua orang tertumpu, malah terpesona (dan ada yang mengata) dengan Diana. Diana menjadi topik dan perbualan orang-orang ini. Diana sememangnya telah mempasak kuasanya terhadap mereka, apatah lagi, simbol kuasa wanita (simbol bulatan - simbol kelamin wanita) yang diletaknya di beberapa penjuru dunia lantas memerangkap manusia ke dalam dunianya, dia juga memiliki simbol kuasa lelaki. Takdir dan hala tuju manusia dan cerita seakan-akan berada di dalam tangannya! Maka, segala hal dunia ini, di bawah penguasaannya. Malah, inilah poin sebenar Dain: bagaimana politik menguasai massa!
Dain memberi kita satu lagi imej, dan bagi aku, untuk sinema kita, antara imej paling indah pernah dipersembahkan tahun ini. Hanya satu tempat sahaja di mana ruangnya mempunyai banyak tiang. Tiang-tiangnya pula putih, menolak sifat yang selalu dipersepsikan (tiang juga simbol alat lelaki dan ini biasa dalam kefahaman seni budaya purba Yunani, India dan Rom) menimbulkan kuasa fungsionalnya (menanggung beban bumbung masjid - menanggung kebesaran tempat manusia menemui Tuhan). Tetapi sedihnya, ruang serba suci dan rohaniah ini kosong. Pada babak akhir, kamera Yuk Hoy Cheong melata dan bergerak ke kanan dan ke kiri, menangkap latar anjung Masjid Jamek waktu pagi yang kosong. Manusia tidak terisi di sini (manusia melarikan diri daripada mencari kebenaran makna hidup dan kerohanian). Dalam sedikit dan sedikit, kita menemui satu figura yang sedang berteleku, menyahut doa, bersendirian - berkata-kata kepada Tuhannya. Tidak ada yang lain kerana mereka sibuk tinggal di dalam kotak-kotak tanpa tiang, mereka tersesat di dalam hutan gelap, mencari dunia; menemui syaitan. Pada babak akhir itu, aku mengaku, aku menangis, dan aku menyedari, betapa Dain telah menghasilkan sebuah puisi yang indah. Dain telah melukiskan analogi yang negri dan mendebarkan tetapi cukup indah akan kelemahan manusia di dunia untuk memilih jalan hidup yang betul. Malah imej akhir untuk dua sungai Kelang dan Gombak bertemu di tengah-tengah, menguatkan analogi ini: dengan pilihan jalan manakah yang kita pilih?
Filem jenayah ini diusahakan oleh sekumpulan pelakon yang berwibawa. Semuanya, Namron, Faizal Hussein, Adlin Aman Ramlie, Mislina Mustafa, Bront Palarae dan Elyana telah memberikan sesuatu yang dapat diingati. Terutama sekali untuk Faizal yang cukup hebat membawakan watak Karim yang perlu melalui dilema kehilangan anak dengan menghadapi kes mahkamah paling sensasi pada waktu yang sama. Cerita ini benar-benar dapat diikuti kerana kemanusiaan yang dibawakan oleh Faizal dengan begitu jujur sekali. Begitu juga dengan Namron serta Bront yang sungguh bersahaja, lawak tetapi serius dengan kerjanya. Kita ingatkan mereka para detektif daripada Seven. Busana dan idea seninya juga bagus dan cukup fungsional merealisasikan cerita dan pembawaan naratifnya, walaupun mungkin kepala mayat itu sedikit palsu dan terdapat CGI zaman lama yang kelihatan lawak.
Terdapat satu babak menurun Diana yang agak menarik, tidak menakutkan, yang dibuat berkali-kali (makin lama makin ganas), yang mengingatkan kita pada spider walk steps yang dipotong dalam The Exorcist. Skor muzik Luka Kuncevic agak rimas walaupun cukup untuk memberikan debar pada bahagian-bahagian tertentu. Mungkin kerana ini filem pertama Dain, terasa suntingan dan cara satu babak ke satu babak dibuat telah terhasil dengan agak canggung dan tiba-tiba. Hal ini dengan jelas lagi berlaku pada babak prolog filem ini di Sumatera yang berkaitan dengan pemberontakan dukun wanita Batak. Babaknya terlalu samar, terlalu disiat dengan beberapa syot dan sudut, kita agak terpinga-pinga (walaupun kita faham babak ini mengutarakan asal-usul kuasa pemusnah Tongkat Batak). Kita juga tidak menerima motif kehilangan anak gadis Karim dengan jelas, yang menimbulkan konflik awal Karim menemui Daud. Malah, beberapa babak awal, kerana keadaanya yang terlalu tiba-tiba, malah oleh kerana tidak dibantu oleh suntingan suara, runut bunyi dan bingkai seluloid yang mantap telah menganggu tempo gerakan filem. Hal ini dapat kita lihat jelas dengan set piece mimpi Karim, yang jika kita bandingkan dengan adegan mimpi Bunohan (2012), cara ia diikat dari satu babak sebelum kepada babak seterusnya, begitu mengalir sekali. Dalam Dukun, tidak. Tempo masa jedanya tidak ada malah kurang kawalan, menjadikannya seperti satu turutan lagu yang sedikit sumbang. Ia seakan-akan terlalu cepat hendak bercerita. Ia tidak memberikan ruang bingkainya sekurang-kurangnya nafas dan transisi babak. Ini juga boleh disalahkan dengan kezaliman LPF yang memaksa pengarahnya memotong beberapa detik syot. Walaupun Dain mengaku ia tidak menjejaskan filem tersebut, bagi penonton seperti aku, seperti babak di dalam bilik solek Diana, kecanggungan syot agak jelas sekali.
Terdapat juga babak yang kurang logik, kerana diadakan secara tiba-tiba tanpa pengenalan. Seperti babak Karim menemui tok imam Masjid Jamek di tepi anjung/zawiyah. Ia canggung kerana orang biasa takkan bertemu tok iman selancang itu (walaupun kita faham ini disengajakan untuk fungsi bingkai filem, yakni buruknya keadaan Karim sehingga hanya menemui orang alim di tepi ruang masjid). Keadaan Karim ini mungkin lebih biasa dalam tatahidup orang Barat yang rasa kekosongan lalu melawat gereja mencari paderinya. Hal sebegitu mungkin sedikit pelik dalam kefahaman orang Timur.
Terdapat juga babak yang kurang logik, kerana diadakan secara tiba-tiba tanpa pengenalan. Seperti babak Karim menemui tok imam Masjid Jamek di tepi anjung/zawiyah. Ia canggung kerana orang biasa takkan bertemu tok iman selancang itu (walaupun kita faham ini disengajakan untuk fungsi bingkai filem, yakni buruknya keadaan Karim sehingga hanya menemui orang alim di tepi ruang masjid). Keadaan Karim ini mungkin lebih biasa dalam tatahidup orang Barat yang rasa kekosongan lalu melawat gereja mencari paderinya. Hal sebegitu mungkin sedikit pelik dalam kefahaman orang Timur.
Namun begitu, aku tetap membawa balik sesuatu kerana filem ini, dalam sedikit kekurangannya, mengajak kita untuk merenung dan mencari (apatah lagi jalan dalam hidup). Malah, jika aku hendak membandingkannya dengan Susuk, dengan filem-filem seangkatan dengannya, apatah lagi so called filem seram tempatan seperti Mantra dan Niyang Rapik, Dukun jauh lagi tinggi tempatnya. Sebuah filem ngeri untuk diraikan. Antara filem Malaysia yang sangat baik tahun ini.
Klasifikasi: PG13, beberapa aksi ganas, cadangan seks dan seksual dan aksi ilmu hitam yang memerlukan bimbingan dan didikan penjaga dewasa.
MENONTON DI TGV 1Shamelin.