21 December 2017

KL Wangan (2017)



"Aku send location." - Ejay

"Dia cun sangat. Aku tak dapat tahan orang bawah aku." - Yudi

Ini adalah filem kedua Pekin, sebuah aksi drama. Peliknya, filem ini menjadi semacam surat cinta (dan benci dendam tak puas hati?) Pekin yang pernah berlakon dalam filem sulung Raja Mukriz, Ophilia (2014). Monolog awalnya (lakon layarnya ditulis oleh Pekin sendiri) mendekati rasa-rasa filem itu, kemudian, adakah ini disengajakan, babak semacam gerai baju bundle, mendekati sama juga babak Ophilia, dan menariknya, ada satu babak yang Lyna Ahmad, kembar aku yang tulis filem Ophilia kata patut hujan pada satu syot, hujan itu muncul dalam KL Wangan (kerana kali ini ada bomba mahu sedekah air pancur), dan hal ini, ditambah pula, semacam satu homaj, penampilan Raja Mukriz sendiri sebagai skinhead otai yang mendepani Pekin!

Memang, semua itu kiranya macam sampul duit raya (easter egg!) lah buat aku, melihat homaj, rujukan dan sentuhan Pekin yang mungkin sengaja menyeludupnya sebagai melakukan suatu "hantaran hormat" yang kelakar kepada filem yang dihormati/sukainya (Pekin juga menyentuh semangat KL Drift Syamsul Yusof dan Fast and Furious Justin Lin), filem lumba haram kereta di jalan raya. Ini semua seronok bagi seorang penonton, tapi macam biasa, aku yang tidak suka hingar bingar kereta di jalan, terpaksa menutup telinga dengan gegaran porno kereta lumba di jalan raya, subgenre yang masih popular dalam kalangan pembikin kita (selagi penonton kita melayan genre Fast and Furious), namun aku harus memuji dua perkara baik yang dilakukan oleh Pekin:

(1) Aku suka dengan set-up dan istilah jargon enjin dan segala kelengkapan dan teknikal yang terkait dengan dunia underground anak-anak muda kota ini yang dijelmakan dan didialogkan oleh Pekin. Ini baru terasa hidup dan betapa serius Pekin terhadap kraf permotoran dan subbudayanya, dengan injak, kuasa enjin, tekan minyak, kapasiti dan apa-apa lagi yang jelas hanya nerd kereta lumba yang akan faham semangat dan keseronokannya. Yang ini boleh dijual di luar negara.

(2) Pekin tampaknya ingin membina watak, dan terdapat aksi yang memikat dalam filem ini, lebih-lebih lagi babak klimaks pertembungan dua buah kereta lumba haram. Ada sesuatu yang Pekin belajar, mungkin daripada guru-guru dan idolanya. Kita dapat rasa saspens alat kereta yang tertanggal di jalan yang dilanggar oleh roda kereta, sipi antara kereta dengan kereta berlumba, kilat memercik apabila kereta menggilis jalan raya dan budak yang sibuk dengan mainan selular sewaktu memandu, semua ini terasa uja dan teliti. Hal ini kerana dibantu dengan ketelitian dan kemahuan Raja Mukriz untuk mungkin pergi lebih jauh daripada kebiasaan dalam filem-filem tempatan begini. 

Namun begitu, Pekin bukanlah seorang penulis lakon layar. Penceritaannya tidak terkawal. Pekin cuba bercerita, tetapi sentiasa sahaja tersilap langkah (contoh paling awal, apa perlunya monolog panjang di awal filem jika monolog itu tidak dapat membantu berkembang pada babak seterus mahupun klimaksnya, atau sekurang-kurangnya monolog itu diselesaikan/leraikan pada satu titik katarsis kerana membuka persoalan pada awal filem) dan tidak mengawal ke mana ceritanya akan pergi (kita terdengar beberapa motivasi watak dan dialog diulang-ulang beberapa kali, secetak itulah plot filem ini). Banyak yang kita mahu sorakkan (seperti bagaimana subplot Kodi Rasheed yang amat menyentuh dalam kelakarnya) tetapi pada struktur dan tulang belakang besarnya, ia tidak mampu menahan berat masalahnya. Hal ini pula tidak dibantu oleh suntingan Akashdeep Singh yang cuai, lintang-pukang (sengaja ambil semangat French New Wave, afasal? Apa alasannya?) dan kadangkala mengelamun (babak pertarungan awal dengan kehebatan liuk tendang Donny Alamsyah daripada The Raid 1 & 2 sepatutnya kental, tetapi dek suntingan yang tidak serius, ia terasa hambar).

Nasib baik Faizal Hussein, dengan perwatakan ala Steve Rubell dari Studio 54 ambik ketum 24 jam memberi satu lakonan yang santai tapi memberangsangkan (walaupun kita mahu tahu lagi, latar dan sebab mengapa dia begitu - ya, kita tahu kerana dia menyimpan suatu rahsia yang dia rasa salahnya) sebagai seteru kuat pada kawan Pekin (sebagai Ejay) dan majikan sementara "guru" lumba haram, Hong (lakonan tidak bermaya Kazuto Soon), yang mungkin juga watak Faizal mendekati watak Vin Diesel daripada Fast and Furious secara tidak sengaja. 

Penyeleraian dan akhir filem yang terlalu mendadak (ada Yusof Haslam secara tiba-tiba memberi dialog jawapan yang juga tiba-tiba) menambahkan lagi ketidakhirauan Pekin terhadap logik, janji semangat lumba haram kereta itu dapat membingit jalan raya Kuala Lumpur yang selalunya tidak tidur dan sentiasa menunggu untuk menerima jeritan warga kotanya. Ya, filem ini ada semangatnya yang tersendiri, hiburan, sedutan "sejarah benar legenda"  dan ketelitiannya sudah tentu mengujakan segolongan subbudaya lumba haram untuk menelitinya, tetapi untuk mendapatkan perhatian penonton aksi kereta laju lain, Pekin mungkin perlu cuba lebih daripada itu buat karya seterusnya.

17 December 2017

Jibam (2017)


"Abah tak bagi Jibam cerai dengan pisau ni!" - Jibam

"Cuba kau azan!" - Tok Ngah Sudin

Banyak spoiler (kau pun malas nak layan filem ni kan?)

Sebelum aku mula, aku perlu katakan, dulu, novel-novel Creative bukanlah kesukaan aku. Aku selalu anggap (dengan sikap sangat high and mighty) bahawa novel yang keluar daripada Creative semuanya popular, picisan dan murahan. Sewaktu aku di asrama, aku selalu sahaja menyindir kawan-kawan aku yang melayan majalah Ujang (aku lebih suka Gila-gila zaman itu) dan tidak pernah baca novel Salina atau Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Kemudian, seorang kawan asrama aku, Ikmal, budak dari Felda, menghulurkan aku novel Ujang, Jibam, suruh aku baca, dan dia katakan, mungkin Jibam bukan "sastera" tapi ada sesuatu yang aku akan jumpa.

Ya, novel Jibam sederhana penulisannya, tetapi ada sesuatu yang menarik yang hendak disampaikan (jika kita hendak bandingkan dengan Ombak Rindu). Ada bahagian yang terlihat meloncat-loncat, tetapi perjalanan membacanya menghiburkan.

Untuk adaptasi novel ini yang diarahkan oleh orang lama (tapi baharu dalam filem perdana) dengan lakon layarnya berserta penulis Asmira Suhadis (dan Ujang sendiri rasanya), timbul sesuatu yang menarik dan sudah lama tidak dibayangkan dalam wayang Melayu.

Filem dibuka dengan syot luas, kita melihat latar hutan di atas gunung-ganang yang perlahan-lahan menaik ke langit. Bumi dan langit. Dunia dan akhirat, dan sudah tentulah ini cerita tentang sebuah keluarga, milik Suman (Esma Daniel) yang meneroka tanah baharu dengan keluarganya (yang kemudiannya menjadi kampung). Kita diberikan latar, Suman dan isterinya (lakonan baik Farah Ahmad) dianugerahkan Allah dengan anak yang "istimewa". Filem mencadangkan, atas keistimewaan anak yang cacat itu, Suman sekeluarga berpindah nak meneroka tanah baharu.

Penerokaan bermula era 1920-an dan seterusnya 1960-an, sehingga era selepas Mei 1969 dan perkenalan Felda oleh Kerajaan (walaupun secara tradisi, ini kebiasaan orang Melayu "membuka tanah"). Kita boleh ikuti semangat ini dalam novel-novel 70-an dan 80-an, khususnya Rimba Harapan karya Keris Mas. Ada satu lagi sisi yang menarik dibawa oleh penulis karya ini, Ujang, dengan filem-filem Rahim Razali era 80-an. Suman dalam novel dan filem, dimaklumi sebagai seorang yang "pandai berubat". Dalam filem, hal ini dijelmakan dalam unsur realisme magis Melayu seperti yang kita pernah tonton dalam Puteri juga Bintang Malam. Ada misteri yang unik dibina di sini, dalam diri Jibam, juga ayahnya, yang langsung tidak diterangkan.

Jibam (atau Ashraf, lakonan sangat baik Mohd Ariff Abdullah) menjadi susuk anak muda yang menarik, manusiawi sekali gus misterius (langit dan bumi, ingat pembukaan filem) - ada suatu kontradiksi yang pekat: Jibam cacat tetapi diam-diam bijak, bodoh emosional tetapi berilmu istimewa, kejam dan "kurang siuman" tetapi jelas manusiawi. Di sini, Jibam bukan sahaja menjadi kunci yang memegang misteri kematian pembunuhan ayahnya, Suman, tetapi menjadi, secara tidak sengaja, kunci misteri, alang-alang dan alamiah alamnya, kampung yang dibuka oleh ayahnya. Susuk manusiawi Jibam ini hanya dapat dilihat dalam kaca mata orang Melayu, semisteri hutan di bawah langit Tuhan yang tersimpan dan pelbagai hidup, rezeki dan liar bahayanya.

Begini lagi. Che Mie (dan penulis skrip) sengaja membiarkan Jibam dan "kotak sakti"nya misterius (aku bersyukur bahagian ini diadakan dalam filem ini daripada novel), menunjukkan dia boleh "mengubat", seperti percaya Wok (lakonan berkesan Kazar) mengubati anaknya diserang tebuan di busut. Menarik lagi, ada, seperti orang kampung Usin Singai (lakonan Kamarool Yusof yang baik) yang memfitnah Suman bela hantu. Kita, penonton terpecah, sama ada ini benar atau tidak. Namun begitu, kita teringat dengan babak Suman yang jelas-jelas mengubat Tok Ngah Sudin (lakonan berkesan Bohari Ibrahim), dengan menyatakan "Yang memulihnya Allah, bukan aku. Aku tak mahu bongkak, jangan kau bagitau rahsia ni." Ini memberi klu yang kuat.

Kita, penonton, dibiarkan oleh pengarah, untuk mempercayai bahawa Jibam, anak pelik anugerah Tuhan ini, mungkin diperturunkan "saka" ayahnya kepadanya (hanya Jibam yang boleh bercakap-cakap dengan ayahnya, kita dicadangkan bayangan ini), atau sekumpulan yang lain, percaya bahawa Jibam, dalam alang bodoh dan tiga sukunya itu, dia sebenarnya wali Allah, sepelik Bahlul dan Abu Nawas. Aku berani mengatakan ini, kerana pada puncak cerita filem ini, Jibam mendepani Tok Ngah Sudin yang sudah "separuh suku". Sebagai orang biasa yang selalu melihat betul-salah, hitam-putih, dosa-pahala, sudah tentu kita membayangkan Jibam akan "menghukum" Tok Ngah, pembunuh ayahnya(!), tapi tidak! Jibam, dengan bendul dan alang-alangnya, meminta untuk berkawan! Ini misteri alam dan ar-Rahim Tuhan. Ini manusiawi yang sangat dalam dan misteri, dan hanya wujud dalam alam orang Melayu!

Aku sengaja menekan hal Jibam dan hubungannya dengan Tok Ngah Sudin ini kerana, memang, plot utama filem ini jelas-jelas ialah tentang perasaan bersalah Tok Ngah yang telah "berdosa"; membunuh saudaranya, Suman. Keadaan ini, dia dan Suman ialah tanda pertelingkahan Habil dan Qabil Al-Quran dan Bible, suatu pertelingkahan manusia (hasutan syaitan) terbesar zaman berzaman (dan masih sahaja berlaku sekarang, seperti Israel dan Palestin sekarang). Ini tema besar. Penanda ini sama dengan penanda pergaduhan abang-abang Jibam, Fakir (lakonan baik orang baharu, Fadlan Hazim) dan Karim (lakonan hebat, seperti biasa oleh Syafie Naswip). Ujang sengaja membina watak ini untuk menunjukkan, banyak sahaja manusia Melayu yang telah menjadi Qabil tanpa sengaja, dan duduk berasa bersalah tapi tidak mengaku akan "dosa" mereka.

Menariknya lagi, kesemua yang kita lihat, bayang-bayangan "seram" Tok Ngah akan "Jibam-jibam" (nama Jibam ini mendekati kosa sebutan latar dalam lagu Ahmad Daud, "Pontianak") ini sebenarnya suatu bayangan psikologikal, rasa bersalah itu sedang memakannya, dan alam seakan-akan mengiakan (ini sifat yang sangat magis) dan menjawab keluhan Jibam. Jadi, Tok Ngah terasa terhimpit, oleh ruang, alam dan manusia. Sebab itu dia, sedikit demi sedikit, mengecilkan ruangnya (menyorok di bawah katil), menutup daripada alamnya (tutup tingkap, air hujan dari atap pun dirasai macam hantu, memakai baju serba hitam dengan menutup telinga dan mata waktu ke luar), dan menyendiri daripada orang-orangnya. Ada beberapa sinema yang cantik telah dibina oleh Che Mie dan sinematografi Indera Che Muda. Terdapat dua yang aku paling suka:

(1) babak paling awal Tok Ngah dan Jibam ialah sewaktu Tok Ngah marah Jibam kerana Jibam koyak dan ambil tiub getah basikal Tok Ngahnya. Dalam satu syot, sewaktu Tok Ngah memukul kejam Jibam, kita lihat dua susuk ini dilatari pagar reban ayam, "memerangkap" Tok Ngah dan Jibam. Kita tahu di sini, ini cerita besar hubungan Jibam-Tok Ngah (dan apa akan berlaku dengan mereka) tetapi ini juga "pengurung" Tok Ngah dengan mentalnya yang masih berbekas dosa silam itu. Sebenarnya, secara psikologi, Tok Ngah memukul Jibam seakan-akan Tok Ngah sedang memukul dirinya, melepaskannya di situ. Pukulan ini membina pada satu babak "halusinasi" [lihat (2)]. Ini mencapai katarsis yang menakutkan kerana Jibam juga anak tidak bersalah yang ayahnya dibunuh olehnya. Ini menambahkan ironi bersalah Tok Ngah tanpa Tok Ngah mahu mengakuinya. Semuanya secara prasedar. Jika kita lihat, dengan sengaja, hanya imej Tok Ngah, bermula dengan pagar-pagar reban itu, Tok Ngah sentiasa diselaputi siluet "pagar", mulanya tirai kelambunya, kemudian selimutnya, kemudian di bawah katilnya, kemudian seluruh rumahnya. Ini penanda bahawa Tok Ngah tidak akan mengaku apa yang dibuatnya. Egonya menyimpan walaupun superegonya memberontak. Akhirnya, dengan pintu rumah yang terbuka, Tok Ngah tidak lagi diselubung siluet tetapi diikat di tiang ruang - ini yang menyebabkannya terus hilang akal dan menunggu "hukuman".

(2) Indera sengaja melekapkan zum dekat wajah Tok Ngah mengorek telinganya, bersandar di batang pokok. Ini keadaan paling tenteram Tok Ngah. Ini "kejayaan" Tok Ngah. Imej ini kemudian ditampakkan dengan babak Tok Ngah menolak Jibam. Ini menambahkan bersalah Tok Ngah (aksi sama terhadap Suman). Aku sangat suka syot demi syot dan citra imej ini. Sangat dibuat dengan teliti. Syot ini juga dipakai sewaktu Tok Ngah diikat di tiang rumahnya. Ini sangat menarik, dan sedikit sebanyak memberikan klu mengapa ada hasad dengki dalam dirinya ("hati kotor" kata Karim) dan apa yang dibuatnya terhadap Suman. Secara psikologi Melayu, Tok Ngah (Qabil) dan Suman (Habil), dua-dua menyampaikan imejan terhormat (ada sedikit kelemahan dari segi identifikasi wayang dalam hal ini kerana skrip terlalu mengikut novel, tidak dibinanya betul-betul personafikasi Suman dan Tok Ngah sebagai patriark kampung itu). Tapi ada kelebihan Suman, selain dia yang membuka dan mempunyai hak pada tanah itu; dia lelaki yang mempunyai tiga anak lelaki, berbanding Tok Ngah yang mungkin lebih tua, hanya seorang anak lelaki (yang langsung tidak balik-balik jenguk ayahnya) dan seorang perempuan. Ini tanda "kelemahan" Tok Ngah pada mata masyarakat orang kampung. Ini ditambah pula waktu babak Suman boleh berubat, Suman sah-sah jauh lebih berbakat daripada Tok Ngah (sesiapa yang mempunyai ilmu itu maknanya dia jauh lebih cekal dalam kefahaman agama, apatah lagi secara spiritual, ini sebagai suatu tanda hormat dalam mentaliti Melayu). Inilah yang mengakibatkan Tok Ngah perlu "menghabiskan" pesaing tersengitnya. Jadi benar, Tok Ngah kiranya "berjaya" (dia diwar-warkan jadi ketua kampung oleh orang kampung) lalu bersandar di batang pokok, simbol lelaki dan patriarki yang kuat. Dan imej inilah, yang kemudiannya dihancurkan (dengan sangat lawak sekali, oleh Jibam, Abu Nawas kita) dengan kayu korek telinga Tok Ngah, mempermainkan tempat patriarkinya!

Dalam hal-hal ini sahaja, terlihat kebijaksanaan filem ini yang dikemudai Che Mie. Hal ini ditambah pula dengan lakonan kumpulan pelakon yang jelas-jelas baik. Semangat dan rasa Melayu kampungnya jelas. Lihat sahaja babak Usin yang mengadu domba tanpa melihat wajah Wok, tapi mengamuk baru memaling. Lihat marah kemudian lembut Wok. Lihat lembut dan tunduk si ibu Jibam apabila orang memarahinya kerana kerja nakal anaknya, matriarki kampung yang jelas-jelas merincikan perwatakan identitinya. Sudah lama kita tidak dihadapkan dengan inti-inti Melayu kampung sebaik ini. Namun aku terasa filem ini tetap ada masalahnya, dengan sikap Che Mie yang sengaja mengadakan syot kekal tanpa banyak syot sudut lain (lihat babak panjang Jibam dengan Tok Ngah pada akhir tanpa syot perspektif Mia). Ada yang sangat baik (syot Fakir berlari di bawah kolong sewaktu Tok Ngah mengejar), tapi ada yang hambar, malah ada yang terperangkap dalam syot-syot drama televisyen. Suntingannya mencuba untuk membaiki masalah-masalah ini dengan beberapa usaha percubaan. Yang terkuat ialah betapa hidupnya latar dan busana manusia Jibam di kampung, dengan rasa dan bentuk buminya yang betul, dengan rumah kampungnya yang fungsional dan warung kopi Pak Hitam yang tersorok. Runut bunyi Muhammad Tuah sedikit menghampakan, walaupun aku faham ia cuba membina mood yang sama seperti filem-filem 80-an yang penuh bunyi-bunyi. Namun lagu tema kredit akhirnya memikat. Asmira Suhadis dan Che Mie melakukan adaptasi  skrip berserta pilihan dialog yang boleh dipuji, yang dekat dan boleh dipersetujui logosnya. Jarang-jarang aku ketawa bercampur tersentuh jiwa dan kadangkala menangis dengan imej dan kata-kata. Jibam melakukannya kepadaku dengan misteri magisnya.

Ya, Jibam ada cacatnya, tetapi roh sinemanya kuat dan tersampai, memberi kita melihat sedetik sebenar kemanusiaan yang wujud dalam alam Melayu, yang dekat dengan buminya, dekat dengan Tuhannya, dan terus-terus sahaja menemui kita dengan mengejut dan terselindung daripada kita dengan penuh misteri.

13 December 2017

Perca Dua Filem Disember

Aku tidak sempat menonton Jibam (2017) atas alasan peribadi dan apabila ada masa, pawagam berdekatan pula tak tayang waktu malam (aku kerja kan?), jadi agak melepaslah. Aku harap sangat, filem itu sekurang-kurangnya dapat bertahan lagi seminggu, tapi, alangkah, hidup hanya lapan hari aja (mana syarat Wajib Tayang dua minggu?) .. 

Aku tontonlah beberapa (sepatutnya Jibam jadi klimaks) dan dapatlah sekurang-kurangnya dua filem tempatan:

The Kid from the Big Apple 2: Before We Forget



Aku rasa, aku sorang je anak Melayu tonton filem ni di Berjaya Time Square Sabtu 11.30 malam waktu tu (sebulan lepas). Feel good yang baik walaupun pembinaan dramatiknya draggy tipikal gaya filem Hong Kong. Filemnya malah menyerupai naratif Still Alice (2014), yang kali ini, ayah si perempuan Amerika (Ti Lung) menjadi subjek cerita kerana kehilangan ingatan, sedikit demi sedikit. "Mesej" filem yang jelas-jelas diulang tersampai: walaupun hilang ingatan (hilang di mata/kepala), yang paling penting ialah orang lain yang mengingati kita. Secara lembut, filem karya Jess Teong ini juga bercerita tentang jati diri dan maksud kesetiaan dalam kehilangan jati diri manusia (Cina) terhadap negara (ini amat dekat dengan persoalan diaspora atau kumpulan orang Cina tempatan yang meninggalkan Malaysia dan bermastautin di negara lain). Menarik lagi, filem ini mempunyai beberapa subplot yang memikat, dan tampil terjalin baik dengan plot utama (ini berkenaan, menjawab persoalan mengapa si anak perempuan ke Amerika dan mengapa dia kembali). Ya, walaupun ada lakonan yang dipersoalkan, mereka berlakon dengan jujur walaupun sederhana mungkin, menyampaikan kejujuran dalam kekeluargaan. Runut bunyinya memikat, dengan sinematografi yang sederhana dan suntingan yang membantu. Kekuatannya amat terletak pada susunan baik dan teliti lakon layar menyusun plot utama dan subplot menjadi suatu susunan kisah kekeluargaan yang dipedulikan tangis dan ketawanya. Sebuah filem keluarga yang baik.

Pinjamkan Hatiku (2017)



Ah, satu lagi tangis-tangisan daripada Osman Ali, kali ini dengan kaedah naratif yang sudah klise, malah digarap dengan amat melewah sekali, menghomaj sikap filem-filem Melayu lama. Persoalan "pinjam" dan "hati" itu juga akan menjadi lawak orang yang faham jika sudah menonton filem ini (maksud aku, terjemahan sebenar Inggeris filem ini ialah: I'll Lend My Liver!) Apa lagi yang baharu dapat disampaikan oleh Osman selain meminta simpati sedu-sedan, badan sasa lelaki Melayu dan anak-anak Melayu yang sakit barah? Ada Saheizy Sam yang melakukan yang terbaik, dan lakonannya tersampai (seperti biasa), malah sanggup menjadi Tom Hanks dalam Cast Away untuk membina realisme. Ayda Jebat jauh di belakang tak tersampai (elok kau menyanyi jelah Ayda). Baik, kini Osman dna tandatangannya sudah jelas. Semua lelaki Melayu kampungnya mempunyai prinsip yang kuat dalam hidup, khususnya percintaan; mereka degil dengan pendirian dan pilihan mereka (rujuk balik, cepat!), mereka sanggup berkorban walaupun makan dalam, dan sangat-sangat cepat mengalah pada mana-mana lelaki/pemikiran/kuasa dari bandar/kaya. Epitom citra lelaki Melayu kampung Osman ialah bentuk sasa seorang feudal yang menurut turutan angin dan airnya, baik bendang sawah ataupun laut gelora. Berserah itu suatu hal yang tidak terlepas daripada mereka. Lihatlah keluhuran anak kampung Melayu dalam filem ini, dan ciumlah kakinya. Citranya takkan hilang selagi Osman masih hidup. Sinematografi cantik tetapi mengada-ngada. Suntingan biasa. Lagu yang mengada-ngada melankolik. Filem ini antara yang menyanggupi alam Melayu yang tidak pentingkan masa; tangguhan masa di alam Melayu kononnya seni? Entahlah.