29 January 2016

Ola Bola (2016)

"Sama-sama kita menang, sama-sama kita kalah." - Ali dan Chow Kok Keong

Pada pembukaan filem, kita dihamput dengan babak panjang kredit awal tayangan pasukan Malaysia  era 1970-an bermain bola dan kemudian seorang editor/penulis rancangan tv di Astro yang bermuka masam sedang dalam keadaan geram kerana diberi tugasan luar yang tidak mencabar, yang kita mula sedar, eh ni filem tv pendidikan ke apa? Dalam alaf baharu yang serba pancaroba dengan sikap anak yang pesimis dan menyoal segala, memang, ini bukan caranya untuk menggerakkan sebuah filem "yang dinanti-nantikan" (dengan mengambil pendekatan investigative approach). Geraknya walaupun "cuba" menarik pada saat editor itu sampai ke Sabah (dan perlu, percubaan Chiu mencampurkan antara yang "diinspirasikan daripada fakta" dengan "fakta sebenar", yang akan menjelma pada babak akhir) tetapi hambar dari segi pelaksanaan. Namun eloknya, dengan mencuba, Chiu tidak meletakkan filem yang sedia ada "berbau patriotik" dan bersikap propaganda ini sedalam-dalamnya dalam mulut kita. Chiu hanya hendak bercerita, dan ceritanya kali ini tentang "kesatuan" (pasukan) Malaysia yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu, dan lebih penting daripada itu: nilai menjaga suatu maruah.

Kita kemudian, diperkenalkan, melalui penceritaan seorang watak tua di Sabah, Eric Yong, yang mengembalikan kita pada era 1976-1980. Eric waktu itu masih muda, bermisai, satu-satunya pemain dari Sabah dalam pasukan negara. Mereka dalam fasa latihan untuk bersedia dalam perlawanan persahabatan sebelum pemilihan Olimpik. Diperkenalkan pula watak Chow Kok Keong atau Tauke (JC Chee), kapten pasukan yang cuba "menyatukan" pasukannya tanpa ada jurulatih (yang kemudian diisi oleh seorang Mat Salleh Inggeris, Harry Mountain). Babak awal ini penuh masalah, sedikit lintang-pukang, kerana kita tidak ditanamkan dengan suatu tujuan pasti (sebuah cerita) untuk menggerakkan penonton (penonton yang skeptikal akan mula rasa bosan pada tahap ini) pada tacap layar, lebih-lebih lagi, "tujuan plot" seterusnya filem ini, diterangkan oleh watak secara dialog, sebulat sebulat, "Kita mesti menang dan masuk bertanding ke Olimpik Moscow." Hmmm.

Namun begitu, aku tidak banyak masalah dengan penggunaan naratif yang banyak watak, yang sengaja (inilah cabaran terbesar Chiu, bukan sahaja perlu menekankan tiga-empat watak pemain sebagai watak utama, tetapi ada watak sampingan yang turut diberikan perwatakan dan cerita, jadi ini agak ambitous buatnya) dan terpaksa (kerana ini "cerita masyarakat", bukan tokoh, ini cerita pasukan, bukan pemainnya) membuat gaya himpunan pelakon "ensamble cast" yang amat disenangi oleh Hollywood suatu masa dahulu, seperti Hotel (1967) dan Airport (1970). Jika kita sudah menonton filem-filem Robert Altman, aku rasa, menonton Ola Bola tidak akan membawa masalah yang banyak, kerana Chiu dengan jelas, memilih untuk mementingkan beberapa watak sebagai "teraju", khususnya Tauke, Muthu (lakonan baik Saran Kumar), dan Rahman (Bront Palarae). Daripada tiga watak inilah, kita dibukakan dengan dunia nostalgia 1970-an, kisah keluarga-kawan berselang-seli yang berlaku sehari-hari (tujuan imej ini hanya untuk memapar seadanya, sedikit demi sedikit, membentuk perwatakan dan motif) yang waktu itu, banyak perkara moden(!) yang tidak ada, dan budak-budak menjadi budak-budak. Masalah ekonomi dan sosiobudayanya, juga benda-benda kecil yang kita sedar hanya dapat ditemui dalam kartun Lat atau A. Mahmud dapat direalisasikan dengan baik. Bagi aku, Chiu berjaya menyeimbangkan ruang dan gerakan cerita ketiga-tiga watak ini, dan khusus kepada Tauke dan Muthu, kita menemui maksud "maruah" dan cara mereka berpegang pada maruah, baik dari perspektif sosiobudaya dan falsafah Cina (adik Tauke contohnya, mempunyai tujuannya mengapa dia marahkan abangnya, bukan kerana iri, dan lihat bagaimana dia menjaga maruah abangnya dengan tenang air mukanya di tempat kerja, walaupun rakannya mencercanya) ataupun India (ayah dan ibu adalah segala-galanya, dan menghadapi kemarahan ayah merupakan dosa paling tidak dimahui), yang kemudian menjadi milik kita (maka dua pengalaman ini, dikongsi dalam suara, dilontarkan menjadi justifikasi "kesatuan" dan menjaga "maruah". Babak ini berlaku pada babak bilik tukar baju). Watak kedua-duanya bulat, dengan permasalahan yang klise tetapi perlu. Yang lain, menjadi pengongsi masalah itu, seperti Ali (Luqman Hafidz), dengan mengubahnya kepada suatu semboyan perjuangan untuk menebus dan menegakkan maruah "bersama": "Sama-sama kita menang, sama-sama kita kalah".

Dalam hal itu, aku sedikit tidak bersetuju cara justifikasi perhubungan Eric-Tauke-Ali didamaikan, kerana filem memerlukan unsur dramatik yang lebih kuat (walaupun Eric hanya pencerita, yang kemudiannya disampaikan oleh pencerita sebenar, Tauke) dengan dinamisme reaksi-emosi antara pelakon yang lebih menjadi. Namun tujuan dan sebab-akibatnya berjustifikasi, dan filem ini at its best, berjaya menggerakkan maksud kebersamaan dan nilai optimis untuk berjaya. Malah, watak kecil Cai (no.14) lakonan Lim Jian Wen seperti yang dibikin hanya untuk melawak-lawak, menjadi penting terhadap cerita besarnya. 

Memang, aku tidak berapa suka dengan suntingan babak "mata katup" (fade out) yang berlaku berkali-kali dalam filem ini, seakan tiada kesinambungan dan ritma, malah babak-babaknya terasa disegmen-segmenkan. Malah ada babak panjang yang meleret yang disengajakan, misalnya, dalam paparan tanah air kita dari atas yang seakan-akan imej-imej itu tidak perlu (sebenarnya perlu, jika kita menonton kredit akhir, klu: ini berkenaan dengan apa yang kita lihat di udara, dan apa yang kita lihat di tanah), tetapi semua hal ini menjadi kurang bermasalah kerana kejujuran watak yang cuba disampaikan, dan cerita yang dipersembahkan oleh Chiu. Kita dapat merasai kesusahan-kesukaan wataknya. Jalan-jalan kisah peribadinya, kita peduli. Kita peduli apabila mereka kalah, apabila ayah sendiri tidak mengaku anak kerana bermain bola, kita peduli apabila kaki pemain sakit, kita peduli apabila mereka berjaya menjaringkan gol. Sebagai filem sukan selalunya, memerlukan babak yang 1) mementingkan aksi di padang sukan dibikin dengan gaya wayang yang baik, dan 2) memberi kita inspirasi, dan kedua-dua hal ini sudah dilaksanakan dengan jayanya oleh Chiu.



Lakonan para pelakon rata-ratanya sederhana baik, khsusnya yang muda-muda. Kerana ini filem ensamble cast, banyak watak yang perlu dilihat, dan seperti biasa, satu dua watak kelihatan "menyinar" dan ada yang "mencorot". Bront Palarae sebagai Rahman, contohnya, tampak sangat seronok dengan wataknya. Namun watak sekecil tiga budak India itu juga tidak menghampakan dan menyeronokkan. Ada bahagian berdialog yang terasa cheesy (mungkin kerana dialog skrip difikirkan dalam bahasa Mandarin lalu diterjemah ke bahasa Inggeris atau Melayu. Lihat sahaja betapa cheesynya dialog watak-watak orang putih dalam IP Man, atau mana-mana filem Kantonis), namun hal ini tidak menggugat sangat filem ini kerana cerita filemnya terus bergerak dan imejnya masih terlihat menarik.

Pengarahan seninya sudah pada tahap sempurna, hanya jikalah, tidaklah terlalu jelas sangat betapa beberapa watak dan pak pacak terlihat memakai rambut palsu. Hal ini, sedikit mengganggu apabila latar, ruang tempat, bangunan, pakaian dan objek-objek, termasuk kereta, berjaya membayangkan dunia Malaysia pada era 70-80-an itu dengan baik, malah melangkaui yang pernah dibuat oleh 29 Februari kerana terasa kelengkapan dan ruangnya benar-benar realistik.

Lagu, sinematografi dan suntingan memberikan tangkapan baik, khususnya dalam babak aksi perlawanan bola sepak dalam filem ini. Mungkin tidaklah inovatif, tetapi susunan emotif dan saspensnya ada (aku agak, pengarahnya sudah melakukan kerja rumah yang lama dengan mengarahkan suatu gerak kareografi yang terkawal daripada menonton sedutan-sedutan perlawanan zaman dahulu), dan hal ini membuatkan, Ola Bola menjadi filem Malaysia bertema sukan yang pertama kali berjaya mengangkat semangat sukannya dengan betul (siap cawan Milo segala). Hal ini juga berjaya dengan satu perkara lagi: sukan membawa semangat inspirasi. Semangat. Daripada babak demi babak, dan kita, seperti editor pada awal filem yang pesimis terhadap hal tempatan ("Lebih baik kerja luar negara" kata watak itu dengan lurus sekali), menjadi terinspirasi terhadap semangat, uhuk, Malaysia Boleh! Walaupun ada yang menyatakan, eleh, propagandanya, bagi aku, mengobarkan semangat ini perlu, dan semangat inilah yang kita patut tanamkan: optimis yang kita mampu melakukannya dan tunjukkan kepada dunia kita ada maruah untuk dijaga.

Inilah filem feel good kita tahun 2016 yang perlu ditonton. Setakat ini, inilah filem sukan terbaik yang pernah kita hasilkan.

28 January 2016

Langit Cinta (2016)

Dulu kita ada Ombak Rindu (bayangkan, dulu kita ada filem berjudul Berlari-lari ke Langit, ko mampoo?), dan sekarang, kita ada novel KOMSAS berjudul Pantai Kasih. Aku rasalah, banyak filem yang ambil metafora alam (langit, ombak, angin, laut) dan ikat dengan adjektif feeling-feeling berlaku sebab terbitnya novel-novel awal 1970-an dan 1980-an, termasuk novel Azmah Nordin tu yang terbit tahun 1994. Nak bet? Nanti aku buat kajian menyeluruh.

Langit Cinta, sebuah novel romantik terbitan Alaf 21, tulisan Damya Hanna, mengadaptasi daripada sebuah skrip filem asal Osman Ali. Kini, kita dah boleh agak, betapa fetishnya Osman untuk melihat para pelakonnya menjadi budak kampung (rujuk zaman Tollgate Girl lagi, heck, Bukak Api pun bermula dengan seorang mak nyah dari kampung), malah dia mahu mereka membonceng motor, berselut sawah, menjala laut dan macam-macam lagi kerja-kerja orang kampung buat (takde masalah di situ). Mamat-mamatnya mesti sawo matang. Di sini, walaupun teraju utama (atau hero jantan)nya Keith Foo (yang juga gelap), kita banyak diberikan fokus close ups wajah Farid Kamil (yang tidak gelap) berkali-kali. Banyak kali, macam Osman nak tunjuk, mamat ni penting, bro, mamat ni penting. Adakah Farid ialah Osman dalam filem ini, atau dia mewakili penonton/masyarakat yang mencari-cari tapi masih tidak dapat, atau saja nak buat Osman high?

Filem ini sebenarnya cuba menjadi patriotik, macam Osman nak tunjuk, filem/novel romantik juga boleh bercakap fasal benda-benda yang besar (layakkah kau setahap Gone With The Wind uolls?). Plot awal filem ini contohnya, dengan pelik, tentang Fazura dengan kebaya kurung birunya, mendepani Dato' klise Jamaluddin Hassan, ayah Keith Foo yang hendak "membeli" tanah orang kampung di an island somewhere in Kedah (main isu politik tanah Tanjung ka Osman?). Begini. Babak awal, dengan monolog mendatar Fazura bagaimana dia cintakan kampungnya (negaranya, gettit?), kita dipaparkan imej laut nan biru, syotnya panjang dan lama. Biru ini laut, rezeki utama penduduk kampung. Babak Fazura mendepani Dato', Fazura dengan prasedar memakai baju warna biru (mewakili kampung/negara, katenyer), dan dia, dipaparkan sebagai "srikandi" kampung, dengan identification shot, watak-watak lelaki (baju warna coklat, tanah, dan putih) yang tiba-tiba muncul dari belakang, lalu di tengah hadapan, menutup imej dominan lelaki tadi. Kini, Fazura mendominasi layar, khusus kerana warna birunya menenggelamkan warna para lelaki. Kita menyedari, Fazura bukan calang-calang orang (dia sahaja berani tampil menolak tawaran Dato'). Kita di tengah-tengah filem feminis ni kawan-kawan.

Katanyer.

Aku mahu mempercayai hal ini, dengan lebih-lebih lagi, selepas itu, dengan plot Cinderella bertemu Repunzel (putera raja jumpa gadis kampung), yang sudah diagak, Keith Foo terpesona dengan Fazura, dan sedikit demi sedikit, jatuh cinta dengan Fazura. Kita sedar ini (walaupun Keith kurang dipercayai) apabila Keith mula memakai warna baju biru yang sama dengan Fazura pada suatu babak (yang juga secara feminis, berjaya menundukkan kuasa seorang lelaki, dan lebih baik daripada itu, si lelaki mempercayai perjuangan si wanita, yakni tugas menjaga tanah agar tidak tergadai). Babak sebegini sebenarnya plot klise 1980-an drama televisyen yang diberikan twist baharu, dengan memanjangkan lagi kisah dua orang bercinta ini. Dan, di sinilah filem ini menjadi berterabur dan meniti laluan melodrama tipikal dalam drama televisyen kita sekarang. Terbuanglah plot tentang gadaian tanah, tetapi suapan dan mekanisme air mata "siapa yang lebih banyak memburai air mata", babak demi babak. Runut bunyinya yang entah apa-apa mewajarkan hal ini, secara literal pada setiap babak. Walaupun aku tahu, ramai yang muntah dengan Ombak Rindu (sebab wanita yang kena rogol tak mungkin nak kahwin perogolnya, tapi itu kata kau feminis berdada leper), tetapi Ombak Rindu ada suatu penjagaan struktur dan unsur yang amat terkawal, yang disengajakan, dari frame ke frame, kau seperti menonton sebuah filem bajet rendah buruk yang penuh semangat. Untuk filem ini, kau tahu kau menonton sebuah filem "jalan-jalan cari ketam".

Banyak babak "klimaks" (contoh wajah Farid tadi yang penuh bekas jerawat batu) dalam filem ini menjadi sebal dan senyap. Babak akhir, contohnya, waktu Farid-Keith-Fazura berdepan (cinta tiga segi uolls) dengan tiada logik (Osman nak kena lempang buat babak pegang bayi tengah panas, hilang dramatik) menjadi hambar apabila showdown line yang patut keluar dari mulut Farid tidak keluar. Dan Ketih, macam mana-mana filem Melayu, berjaya merangkul hadiahnya tanpa susah payah. 

OK, aku menangis juga menontonnya, sebabkan lakonan Ogy Ahmad Daud yang sangat terkawal, dan lakonan Fazura yang bersungguh-sungguh. Tapi aku tak boleh maafkan Osman apabila, dengan peliknya, apabila Fazura yang ditangkap dalam flat murah, masa waktu malamlah dia tiba-tiba nak panggil orang lalu-lalang untuk pinjam telefon, dan lebih bodoh daripada itu, TELEFON Farid (dan bukan POLIS!) kemudian boleh bagi balik telefon tu kat budak tu, siap "Ah, pergi cepat-cepat tau, nanti kena marah!" dan tak bagitau pun budak tu kau kena pasung dalam rumah tu dan minta tolong mak ayah! Gila! Serius bebal!

Sinematografinya OK dan banyak mengambil gaya filem Esok Jins yang suka panning-panning segala (rujuk saja babak kedai makan Fazura yang sudah berubah sebelum Farid nak melamarnya). Kadang-kadang panorama ini menjadi, kadang-kadang, ini hanya gaya atas nama gaya.

Filem ini, yang sepatutnya, menyampaikan kasih sayang kita kepada alam/kampung, dan meminta kita kembali pada alam/kampung, yang kononnya, di situlah terletaknya jati diri kita, seperti yang diwakili oleh watak Fazura, berlawanan dengan keluarga Keith yang "hilang pedoman" dan "sesat dalam materialisme", menjadi hanya kisah sedu-sedan tanpa lapisan, yang dibuat-buat hanya sebagai mesin tanpa jiwa yang meminta kita menangis pada babak-babak tertentu. Aku tahu, filem ini sengaja dibikin begini, kerana menghomaj filem-filem Esok Jins Shamsuddin (kerana filemnya menyusun tahap-tahap sedu-sedan secara teknikal dan manipulatif, selapis demi selapis membuka babak agar membuat penonton "simpati" lalu menangis, juga mementingkan gaya ekspresi-emotif "kesedihan" lebih daripada isi kandungan dan gerakan naratif). Tapi, tolonglah. Filem-filem Esok Jins sebenarnya selapis dan kadang-kadang amat kosong. Kita sudah terlupa akan era itu. Sudah masanya kita menggembleng daya melodrama baharu, seperti yang dibuat oleh Todd Haynes mengintepretasi semula karya lama Douglas Sirk untuk milenium yang penuh pancaroba kini. Cewah!