01 November 2014

The Cage(2014): Sangkar Manusia Pascamoden?


Filem ini menemukan beberapa isu menarik. Gerakan ceritanya seperti sebuah whodunit yang bergerak pada abad ke-21 dengan pendirian pascamoden; pembunuh boleh jadi mangsa dan mangsa ialah pembunuh, tiada benar dan salah lagi. 

Latar besarnya ialah suatu percubaan pementasan tempatan Mandarin (dan dialek Cina lain) yang mungkin berdasarkan pementasan teater Agatha Christie's Mousetrap, dengan penggunaan eksperimen sosial yang benar-benar berlaku dalam Das Experiment(2001). Sekumpulan enam pelakon profesional dipilih untuk di"sangkar"kan dalam latar era revolusi sewaktu, kononnya, kumpulan ini diburu oleh kongsi gelap Maharaja China (kalau tidak silap aku) lalu dijatuhkan hukum pembunuhan politik (assisination).

Filem ini lebih mudah tercengkam dalam naluri dan cita rasa saudara penonton Cina kita kerana kebanyakan para pelakon tempatan (salah satunya ialah Yeo Yann Yann yang cemerlang dalam Ilo Ilo tahun lepas, dan seorang lelaki sebagai watak inspektor seingat aku ialah protagonis dalam Kepong Gangsters) melakonkan watak, atau "tidak berlakon" (dalam ilmu lakonan, kita menyedari hal ini pernah dicuba oleh Elia Kazan dan Actor's Studionya), yakni mereka menjadi diri mereka sendiri dan tidak lagi memegang peranan atau peran yang diminta di atas pentas. Hal ini berlaku sebaik seorang seorang daripada watak dalam pentas itu "benar-benar" dibunuh. Kenapa hal ini dibangkitkan? Kerana bagi seorang penonton luar, kita tidak pun mengenal personaliti atau gosip atau rahsia yang wujud pada para pelakon berkenaan, yang mungkin mempunyai kaitan nuansa dan penyampaian "real" yang disampaikan oleh para pelakon yang tidak berlakon. Maka "teater maut" yang kita tonton ini dipersembahkan dalam pesona perwatakan yang ringan tanpa latar (kecuali bagi penonton Cina), yang kita dapat hanyalah emosi yang tulus dan terang yang disampaikan oleh para pelakon di atas pentas bersangkar, dan beberapa daripadanya mengutip simpati kita dalam keadaan ketidaktentuan yang dicipta dalam mis-en-scene pentas tersebut.



Gerakan naratifnya nampak seperti suatu percubaan yang hanya akan berlaku dalam filem Jepun. Tapi, tidak, ini filem kita! Awalnya kita melihatnya dengan sinis seakan-akan kita menyatakan, "Ah, satu lagi Saw atau mainan bunuh membunuh yang serupa." Namun apa yang hendak disampaikan dalam pentas ini, melangkau persoalan kurungan dan pendedahan/dekonstruksi peranan atau identiti terhadap orang yang dikurung (seperti Das Experiment) dan melampaui dua lagi persoalan yang lebih menarik: penonton/masyarakat sebagai penonton pasif yang partisipatif, dan alam real-time Internet/media sosial yang wujud sekarang, yang cepat berubah, yang menjadi pemanipulatif paling menakutkan.

Aku ambil kefahaman ini daripada mengingati apa yang disampaikan dalam Truman Show dan The Idiots, suatu lagi filem berkenaan eksperimen sosial yang diikat terhadap sebuah kumpulan untuk melihat perubahan yang berlaku setelah melalui eksperimen itu terhadap setiap individunya.

Di sinilah penyimpangan yang dilakukan oleh Felix Tan dan Kethsvin Chee dalam pementasan yang dirakam secara langsung ini (tapi jauh daripada penyiaran di televisyen). Pertamanya, dengan sengaja, ia mengambil sifat Saw atau apa-apa mainan yang mengambil masa perhitungan masa (countdown) untuk memulakan ujiannya. Pada masa itu, dengan jujur, kadangkala bodoh dan keadaan terdesak, para pelakon ini mula menuding dan menyalahkan antara satu sama lain. Di sinilah bijaknya Tan dan Chee. Kita teringat akan "pembunuhan kumpulan revolusi" (latar ini sengaja diambil agar tidak berkait dengan peristiwa sejarah yang lebih dekat di Malaysia yang tentu akan menjadikan filem ini diserang oleh LPF dan KDN) dan kita menyedari keadaannya sama dengan sikap "witchcraft trials" yang berlaku di Amerika, atau mana-mana negara sewaktu segolongan komunitinya ditindas oleh penguatkuasa. Maka, secara latar, maksud ini sudah menjadi sarwajagat: suatu latar penindasan dan pembunuhan satu per satu sedang berlaku. Kita lihat seakan-akan memerhati sejarah penindasan Yahudi, Bosnia Islam, Arab Palestin, Cina Indonesia, Melayu Campa, Rohingya Myanmar sedang berlaku di hadapan kita. Dalam keadaan yang singkat itu untuk "misi mencari pembunuh" seperti diminta oleh pengarahnya (memakai sut Charlie Chaplin, yang juga menjalankan suatu peranan) menjadikan suasana di pentas itu suatu suasana hiper, atau hipersuasana, atau hiper-realiti, "real-time" yang melapisi pelbagai kebenaran-kepalsuan dalam satu masa: metafora buat dunia media sosial kita yang bergerak-dan-bergerak-terus, lalu yang "dirancang" akan menjadi suatu realiti yang sebenar dan "benar" dan dipercayai! Seorang yang tidak bersalah tiba-tiba "bersalah" membunuh, disaksikan oleh masyarakat sebagai keabsahan-kepalsuan yang menjadi kebenaran realiti itu! Ini sesuatu yang mengejutkan yang disampaikan oleh pengarah!

Kebenaran yang dirancang ini pula berkait dengan persoalan pertama yang paling crucial tetapi mungkin tidak ramai yang menyedarinya: penonton, sang voyeur agung yang memerhati semua (ya, anda yang sedang membaca ulasan ini) sebagai masyarakat pasif yang partisipatif (contohnya, seorang pembaca tweeter yang membaca tweet berita palsu tetapi melalukan retweet yang sudah tentu dibuat tanpa sengaja secara langsung telah menjadi masyarakat partisipatif, yakni "percaya" atau mengaku "sah" terhadap berita palsu itu, lantas berita palsu itu tiba-tiba menjadi benar sekelip mata!). Dalam filem ini, penonton ini ialah penonton di pentas (dan saya dibayangkan memang benar, penonton ini tidak sedar mereka dirakam untuk eksperimen filem ini) dan secara lakonan, penonton di hadapan televisyen. Yang menjadi hal yang mengganggu ialah betapa pasifnya (setelah diberikan pengumuman bahawa pementasan itu tidak benar) para penonton di tempat duduknya, tidak berbuat apa-apa, dan menjadi sang voyeur yang setia yang menonton "hiburan" buat mata mereka! Ya, tidak ada satu! Di sini, kita menyedari betapa media dan siapa yang memegang kuasanya, siapa pengarah yang pandai menyusun ceritanya, dapat menjalankan manipulasi untuk menggerakkan simpati/benci penonton: dan ini berkiatan bagaimana dunia kita ini mungkin digerakkan, dengan gerak politik dan susunan "cerita"nya, digerakkan oleh beberapa dalang, seperti yang kita dapat lihat sekarang dengan proses mahkamah rayuan Anwar Ibrahim, baik dari sisi Anwar mahupun Kerajaan. Dan menariknya di sini, kita, hanya penonton dan masyarakat pasif yang partisipatif, terhadap yang mana satu yang lebih menarik simpati, yang mana lebih tulus dalam drama insani dan "pendedahan" benarnya. Kita mengklik "like" atau "unlike", "share" atau "unfollow" tanpa perlu berfikir pun.

Hal ini menyucuk maksud sebenar kenapa rancangan realiti yang dimulakan awal abad ke-21 ini. Kita sebenarnya tidak pernah peduli pun dengan betapa realiti atau benarnya paparan watak yang dikurung itu, tetapi kesan "keterujaan" yang dibawa daripada reaksi natural mereka sebagai sumbangan hiburan kita. Dan filem ini mengkritik hal itu sebesar-besarnya.



Gerakan sinematografinya seperti pandangan sebuah rakaman televisyen, bukan filem, sengaja menangkap samar untuk mengambil fokus dalam beberapa tangkapan, yang menguatkan lagi keadaan rakaman "secara langsung" tanpa potongan, walaupun kita sedar sungguh beberapa penggambaran memang bukan tidak dirancang (hal ini tidak mungkin), dan hal ini dipertingkatkan dengan keutuhan para pelakon yang menyampaikan keadaan "real" kepada penonton dalam mencari keyakinan penonton untuk mempercayai mereka. Hanya ada beberapa persoalan yang mungkin dipersoal dalam hal di luar realiti filem ini, seperti tidak mungkin dengan blackout yang terlalu panjang, penonton tidak menunjukkan resah di tempat duduk, jika filem ini "dirakam secara langsung, real-time tanpa potongan". Runut bunyinya juga turut membantu, memberikan semangat dan emosi yang sebenar harus dan wujud dalam sesebuah filem tempatan. Terdapat penggunaan CGI darah palsu yang mungkin merencatkan maksud tetapi ini tidak membantutkan cerita. Filem ini tidak mementingkan sangat drama tetapi unsur dramatik yang dilampaukan, tidak mementingkan subtility dan estetik tetapi penyampaian emosi yang benar dalam keadaan yang begitu terdesak. Segalanya terikat dalam keadaan yang mendesak dan terperangkap, mungkin anafora terbesar sang pengarah kepada kita, bahawa masyarakat kita sebenarnya di dalam "sangkar" dan tidak pernah kita sedar betapa besarnya sangkar yang kita diami itu tanpa rasa terdesak atau terperangkap.  

Suatu filem realiti yang menarik, yang walaupun mempunyai premis yang mudah dan kecil, membawa beberapa persoalan sosial yang penting untuk dipersoalkan dalam dunia serba kecelaruan sekarang. 

Klasifikasi Kolumpo: P15, Terdapat babak ganas yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI MBO, KL City Festival.  

No comments: