25 November 2014

Lelaki Harapan Dunia (2014)


"Antara karut dan kebodohan memang berada dalam garisan yang halus" - Tok Bilal

Sebuah rumah kampung buruk yang dipanggil oleh orang kampung, Rumah Amerika, kerana persamaannya dengan "keputihan" White House, masih berdiri teguh di tengah-tengah lebat daun dan dahan belantara berdekatan bukit sebuah kampung Melayu. Rumah itu "milik" Pak Awang (Wan Hanafi Su), seorang patriah tua yang dihormati orang kampung. Oleh sebab itu, anak belia kampung (yang sengaja mewajahkan kehadiran mereka dengan imejan "parti" Persatuan Pemuda Bersatu yang dinaungi Encik Juta Seri, lakonan Othman Hafsham, orang politik) sanggup mengikut Pak Awang ke tengah-tengah belantara untuk melakukan tradisi angkat rumah, kerja lama orang Melayu yang memindahkan sebuah rumah ke tapak baharu. Premisnya menjanjikan. Permohonan Pak Awang ini murni, anak perempuan tunggalnya yang hendak kembali dengan bakal suaminya ke kampung untuk berkahwin memerlukan rumah, dan untuk membina hidup baharu, tradisi lama ini dijalankan. Niat anaknya untuk kembali ke kampung sesuatu yang "murni" kerana bukan sahaja si anak menghampiri kembali tanah tumpahnya, tetapi melawan kebiasaan sikap anak muda yang mengejar kebendaan, tetapi mencari kedamaian dan mungkin, "kesucian" (pembersihan semula), seperti yang dipaparkan dengan alam kampung berbukit dipenuhi awan putih yang nyaman.

Lantas, berlakulah pemindahan rumah diangkat di bahu kerahan belia kampung, walaupun mula-mula mereka bersifat tahyul dengan rumah tinggal di tengah hutan. 

Kita kemudian diberi premis komedi, berkait dengan politik dan sosial orang kampung, apabila Tok Penghulu (Roslan Salleh) dan sanak kampungnya menunggu ketibaan orang besar, orang kaya, ahli politik (wakil rakyat?) kampung itu, Encik Juta Seri. Beberapa pemaparan komedi yang mengena, menyuntik habis, melangkau apa-apa yang pernah dilakukan oleh Mamat Khalid. Liew Seng Tat melakukannya dengan perlahan, subtle, dan bersahaja, tanpa perlu menaikkan sifat slapstik atau situasi, kerana segalanya berlaku impromptu dan tidak dibuat-buat. Dari saat ini, kita menyedari filem ini sedang bergerak dalam jangkaan farsa (farce) apabila kekalutan dan kebodohan orang kampung mula bertambah dan bertambah seperti jatuhnya domino, sehingga mencapai tahap "karut" setelah suatu kejadian yang berkembar dengan episod Hantu Kak Limah berlaku, disampaikan oleh seorang manusia paling tidak dipercayai dalam kampung itu, seorang kutu dadah, lakonan Soffi Jikan. 

Apakah yang kita sudah tonton? Adakah filem ini sengaja dilakukan demikian atas menyampaikan sinis cuit Seng Tat terhadap masyarakat kita yang masih "di bawah tempurung" dalam mencari kebijaksanaan menyelesaikan masalah seharian dan masih buta meraba-raba dalam ketahyulan semasa? Jika aku mengambil sikap melihat filem ini sebagai lambang wayang kita, aku faham, dengan sinis dan pesimis, Seng Tat melihat penghancuran (rumah di tengah belantara ialah harapan murni, yang akan melalui tragedi) wayang kita atas kebodohan dan ketahyulan masyarakat dan pembikin kita yang tidak mahu keluar daripada kitaran ganas komersialisme. Tetapi adakah ia berhenti di situ? 

Beberapa cetusan aksi, imej dan perkembangan ceritanya menghasilkan keindahan yang menarik, tersulam dalam wajah Tok Bilal yang buta (buta: agamawan yang tidak nampak realiti masalah masyarakatnya), Penghulu yang sibuk akan untanya yang hilang daripada masalah makro, dan si cucu bijak-nakal Penghulu yang belajar tentang korban Nabi Ibrahim, lantas melakukan "kerja Tuhan" ke atas binatang korban yang disayanginya, si unta atuknya.



Dunia ini sengaja mendiamkan bunyian sang wanita, bukan sahaja mungkin membuang terus sifat feminisme, tetapi dengan sengaja memaksimumkan kejengkelan patriaki lelaki yang menghancurkan diri mereka sendiri atas tindakan bodoh mereka. Dan dengan menarik peliknya, si anak kecil, yang menyalin kerja orang tua yang berpengaruh di kampung itu, menyalin keburukan dan kebodohan orang dewasa di sekeliling mereka.

Dalam segala kelincahan, keseriusan dan tiba-tiba menjunam maksud berkenaan keterasingan (yang akan dihadapi oleh Pak Awang) dan orang asing (dengan kehadiran si pendatang dari Afrika, Solomon, tetapi babaknya tidak dikembangkan dengan baik dan kurang diperhatikan), filem ini memberikan perasaan yang mengganggu, dengan percubaan antiklimaks, dan berkemungkinan akan membuat segelintir penonton membencinya. Aku rasa, Liew Seng Tat sengaja (dan dia sanggup  menghadapi akibatnya) dengan sikap ini, membina watak-watak kampung yang karikatur dalam suasana yang kelihatan sempurna. Plot komedi gelap (black comedy) orang kampung yang "kecil" atau simple minded people yang kemudian berhadapan dengan tragedi (tanpa mereka memahami punca akibat perbuatan mereka sendiri yang innocent) sebenarnya pernah dilakukan dengan berkesan (dan lebih seram dan kuat) oleh Jiang Wen dengan Devils on the Doorstep (2000). Kita dapat bersimpati dengan penduduk kampung Cina era Perang Dunia itu kerana sekurang-kurangnya perwatakan mereka bulat dan disukai, watak orang kampungnya mempunyai suatu perjalanan yang baik dan menarik hingga ke akhir, walaupun tragis. Dalam filem ini, walaupun beberapa watak kelihatan bulat, sesetengahnya dibiarkan misteri, sesetengahnya dibiarkan bersikap karikatur dalam erti kata sebenarnya, tidak memberi signifikasi sebenar atas perlakuan sebab-akibat yang lebih berpadu. Contohnya, apabila perwatakan Pak Awang "menjunam" ke arah kegelapan, walaupun Seng Tat seakan mencadangkan beberapa episod yang menyebabkan Pak Awang took the plunge dalam erti kata "mengamuk", logik latar dan perkaitannya masih dipersoalkan (persoalan utama: apakah yang mendesak sangat Pak Awang untuk orang kampung membantunya memindahkan rumah? Desakan itu tidak jelas apabila kehadiran anak gadis Pak Awang tidak terasa, maka hal ini menjadi falasi, contohnya buat Pak Awang menjadi tidak tentu hala walaupun Penghulu sudah menyatakan masalahnya akan dilihat dalam masa tiga hari lagi), melihat pada kewibawaan yang sudah dibina oleh Wan Hanafi Su.

Paling mudah, Liew Seng Tat sebenarnya ialah Abdul Rahim Kajai dalam bentuk filem apabila mengulangi tema pengarang era abad ke-19 itu yang mengkritik kebodohan dan ketidakmahu sikap orang kampung (khususnya Melayu) berwatak pipih untuk berubah dengan persembahan gaya sinis dan humor dan mengakhirkan kisah mereka dengan cetusan kelam-kabut: "inilah pengajarannya kalau kamu masih nak mengikut rasa", dengan agenda sunyi agar masyarakat yang membaca (di sini, menonton) akan berubah sikap dan pandangannya. Pelik untuk sebuah filem yang menempa abad ke-21 untuk melihat kembali sastera kita dalam abad ke-19.

Semua pelakon dalam filem memberikan diri mereka yang terbaik, khususnya Wan Hanafi Su. Azhan Rani, Jalil Hamid, dan Harun Salim Bachik amat membantu. Lakonan Soffi Jikan menarik tetapi perkembangan wataknya dibiarkan kosong sehingga habis. Begitu juga dengan watak lelaki hitam, Khalid Mboyelwa Hussein. Aku tersinggung dengan lakonan Roslan Salleh sebagai Tok Penghulu yang terdapat beberapa lakonan yang tidak bersungguh dan teragak-agak. Begitu juga dengan pelakon kanak-kanaknya. 



Penggambaran Teoh Gay Hian seperti biasa berjaya menangkap alam kampung yang damai dan berkocak dengan indah dan sempurna, antara penggambaran tercantik yang pernah dilakukan. Aksi mengangkat rumah dan menangkapnya di depan kamera sendiri patut dipuji (dan jika juri FFM tahun depan buta untuk berikan anugerah khas juri, eloklah mereka ditampar) kerana menangkap semangat Werner Herzog yang pernah melakukan hal yang sama dan payah dengan Fitzcarraldo. Patutlah mereka (kru filem dan pelakon) rasa rumah tu "celaka"! Suntingan filem ini juga baik dalam keadaannya, dengan pengarahan seni yang terkawal dan cukup. Aku tidak berapa suka dengan percubaan Luka Kuncevic untuk runut bunyi filem ini, mungkin dia pun tidak memahami ke arah mana, mood apa yang sebenar-benarnya diperlukan untuk menggerakkan perasaan dan semangat filem ini.

Filem ini bukanlah yang terbaik tahun ini, tetapi mempunyai meritnya, tidak sempurna dalam beberapa sebab tetapi menarik untuk melihat sebuah filem yang disokong kuat oleh beberapa dana filem luar negara dan berjaya meneroka beberapa festival yang susah hendak dijajah (khususnya Toronto International Film Festival dan Golden Horse Film Festival). Hal ini sendiri menjadi detik sejarah bagi filem kita dan wajiblah diraikan (dengan menonton filem ini). Percubaannya untuk menyampaikan sebuah komedi gelap berbentuk farsa dengan mengurangkan gaya slapstik dan situasi juga dipuji, walaupun tidak semuanya dikawal sehingga akhir adegan. Kalaulah (spoiler), kalaulah sahaja pada akhir klimaks Pak Awang yang berlari, tiba-tiba sampai ke hadapan rumahnya, lalu si anak perempuannya (yang tentu cantik dan suci) timbul dari daun pintu, lalu semua yang mengejar turut terpegun, mungkin filem ini akan berubah rasa dan maksudnya.  

Klasifikasi Lelaki Harapan Dunia: P13, Terdapat babak ganas dan tahyul yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Pavilion. [Tayangan Bermula: 27 November 2014] 

01 November 2014

The Cage(2014): Sangkar Manusia Pascamoden?


Filem ini menemukan beberapa isu menarik. Gerakan ceritanya seperti sebuah whodunit yang bergerak pada abad ke-21 dengan pendirian pascamoden; pembunuh boleh jadi mangsa dan mangsa ialah pembunuh, tiada benar dan salah lagi. 

Latar besarnya ialah suatu percubaan pementasan tempatan Mandarin (dan dialek Cina lain) yang mungkin berdasarkan pementasan teater Agatha Christie's Mousetrap, dengan penggunaan eksperimen sosial yang benar-benar berlaku dalam Das Experiment(2001). Sekumpulan enam pelakon profesional dipilih untuk di"sangkar"kan dalam latar era revolusi sewaktu, kononnya, kumpulan ini diburu oleh kongsi gelap Maharaja China (kalau tidak silap aku) lalu dijatuhkan hukum pembunuhan politik (assisination).

Filem ini lebih mudah tercengkam dalam naluri dan cita rasa saudara penonton Cina kita kerana kebanyakan para pelakon tempatan (salah satunya ialah Yeo Yann Yann yang cemerlang dalam Ilo Ilo tahun lepas, dan seorang lelaki sebagai watak inspektor seingat aku ialah protagonis dalam Kepong Gangsters) melakonkan watak, atau "tidak berlakon" (dalam ilmu lakonan, kita menyedari hal ini pernah dicuba oleh Elia Kazan dan Actor's Studionya), yakni mereka menjadi diri mereka sendiri dan tidak lagi memegang peranan atau peran yang diminta di atas pentas. Hal ini berlaku sebaik seorang seorang daripada watak dalam pentas itu "benar-benar" dibunuh. Kenapa hal ini dibangkitkan? Kerana bagi seorang penonton luar, kita tidak pun mengenal personaliti atau gosip atau rahsia yang wujud pada para pelakon berkenaan, yang mungkin mempunyai kaitan nuansa dan penyampaian "real" yang disampaikan oleh para pelakon yang tidak berlakon. Maka "teater maut" yang kita tonton ini dipersembahkan dalam pesona perwatakan yang ringan tanpa latar (kecuali bagi penonton Cina), yang kita dapat hanyalah emosi yang tulus dan terang yang disampaikan oleh para pelakon di atas pentas bersangkar, dan beberapa daripadanya mengutip simpati kita dalam keadaan ketidaktentuan yang dicipta dalam mis-en-scene pentas tersebut.



Gerakan naratifnya nampak seperti suatu percubaan yang hanya akan berlaku dalam filem Jepun. Tapi, tidak, ini filem kita! Awalnya kita melihatnya dengan sinis seakan-akan kita menyatakan, "Ah, satu lagi Saw atau mainan bunuh membunuh yang serupa." Namun apa yang hendak disampaikan dalam pentas ini, melangkau persoalan kurungan dan pendedahan/dekonstruksi peranan atau identiti terhadap orang yang dikurung (seperti Das Experiment) dan melampaui dua lagi persoalan yang lebih menarik: penonton/masyarakat sebagai penonton pasif yang partisipatif, dan alam real-time Internet/media sosial yang wujud sekarang, yang cepat berubah, yang menjadi pemanipulatif paling menakutkan.

Aku ambil kefahaman ini daripada mengingati apa yang disampaikan dalam Truman Show dan The Idiots, suatu lagi filem berkenaan eksperimen sosial yang diikat terhadap sebuah kumpulan untuk melihat perubahan yang berlaku setelah melalui eksperimen itu terhadap setiap individunya.

Di sinilah penyimpangan yang dilakukan oleh Felix Tan dan Kethsvin Chee dalam pementasan yang dirakam secara langsung ini (tapi jauh daripada penyiaran di televisyen). Pertamanya, dengan sengaja, ia mengambil sifat Saw atau apa-apa mainan yang mengambil masa perhitungan masa (countdown) untuk memulakan ujiannya. Pada masa itu, dengan jujur, kadangkala bodoh dan keadaan terdesak, para pelakon ini mula menuding dan menyalahkan antara satu sama lain. Di sinilah bijaknya Tan dan Chee. Kita teringat akan "pembunuhan kumpulan revolusi" (latar ini sengaja diambil agar tidak berkait dengan peristiwa sejarah yang lebih dekat di Malaysia yang tentu akan menjadikan filem ini diserang oleh LPF dan KDN) dan kita menyedari keadaannya sama dengan sikap "witchcraft trials" yang berlaku di Amerika, atau mana-mana negara sewaktu segolongan komunitinya ditindas oleh penguatkuasa. Maka, secara latar, maksud ini sudah menjadi sarwajagat: suatu latar penindasan dan pembunuhan satu per satu sedang berlaku. Kita lihat seakan-akan memerhati sejarah penindasan Yahudi, Bosnia Islam, Arab Palestin, Cina Indonesia, Melayu Campa, Rohingya Myanmar sedang berlaku di hadapan kita. Dalam keadaan yang singkat itu untuk "misi mencari pembunuh" seperti diminta oleh pengarahnya (memakai sut Charlie Chaplin, yang juga menjalankan suatu peranan) menjadikan suasana di pentas itu suatu suasana hiper, atau hipersuasana, atau hiper-realiti, "real-time" yang melapisi pelbagai kebenaran-kepalsuan dalam satu masa: metafora buat dunia media sosial kita yang bergerak-dan-bergerak-terus, lalu yang "dirancang" akan menjadi suatu realiti yang sebenar dan "benar" dan dipercayai! Seorang yang tidak bersalah tiba-tiba "bersalah" membunuh, disaksikan oleh masyarakat sebagai keabsahan-kepalsuan yang menjadi kebenaran realiti itu! Ini sesuatu yang mengejutkan yang disampaikan oleh pengarah!

Kebenaran yang dirancang ini pula berkait dengan persoalan pertama yang paling crucial tetapi mungkin tidak ramai yang menyedarinya: penonton, sang voyeur agung yang memerhati semua (ya, anda yang sedang membaca ulasan ini) sebagai masyarakat pasif yang partisipatif (contohnya, seorang pembaca tweeter yang membaca tweet berita palsu tetapi melalukan retweet yang sudah tentu dibuat tanpa sengaja secara langsung telah menjadi masyarakat partisipatif, yakni "percaya" atau mengaku "sah" terhadap berita palsu itu, lantas berita palsu itu tiba-tiba menjadi benar sekelip mata!). Dalam filem ini, penonton ini ialah penonton di pentas (dan saya dibayangkan memang benar, penonton ini tidak sedar mereka dirakam untuk eksperimen filem ini) dan secara lakonan, penonton di hadapan televisyen. Yang menjadi hal yang mengganggu ialah betapa pasifnya (setelah diberikan pengumuman bahawa pementasan itu tidak benar) para penonton di tempat duduknya, tidak berbuat apa-apa, dan menjadi sang voyeur yang setia yang menonton "hiburan" buat mata mereka! Ya, tidak ada satu! Di sini, kita menyedari betapa media dan siapa yang memegang kuasanya, siapa pengarah yang pandai menyusun ceritanya, dapat menjalankan manipulasi untuk menggerakkan simpati/benci penonton: dan ini berkiatan bagaimana dunia kita ini mungkin digerakkan, dengan gerak politik dan susunan "cerita"nya, digerakkan oleh beberapa dalang, seperti yang kita dapat lihat sekarang dengan proses mahkamah rayuan Anwar Ibrahim, baik dari sisi Anwar mahupun Kerajaan. Dan menariknya di sini, kita, hanya penonton dan masyarakat pasif yang partisipatif, terhadap yang mana satu yang lebih menarik simpati, yang mana lebih tulus dalam drama insani dan "pendedahan" benarnya. Kita mengklik "like" atau "unlike", "share" atau "unfollow" tanpa perlu berfikir pun.

Hal ini menyucuk maksud sebenar kenapa rancangan realiti yang dimulakan awal abad ke-21 ini. Kita sebenarnya tidak pernah peduli pun dengan betapa realiti atau benarnya paparan watak yang dikurung itu, tetapi kesan "keterujaan" yang dibawa daripada reaksi natural mereka sebagai sumbangan hiburan kita. Dan filem ini mengkritik hal itu sebesar-besarnya.



Gerakan sinematografinya seperti pandangan sebuah rakaman televisyen, bukan filem, sengaja menangkap samar untuk mengambil fokus dalam beberapa tangkapan, yang menguatkan lagi keadaan rakaman "secara langsung" tanpa potongan, walaupun kita sedar sungguh beberapa penggambaran memang bukan tidak dirancang (hal ini tidak mungkin), dan hal ini dipertingkatkan dengan keutuhan para pelakon yang menyampaikan keadaan "real" kepada penonton dalam mencari keyakinan penonton untuk mempercayai mereka. Hanya ada beberapa persoalan yang mungkin dipersoal dalam hal di luar realiti filem ini, seperti tidak mungkin dengan blackout yang terlalu panjang, penonton tidak menunjukkan resah di tempat duduk, jika filem ini "dirakam secara langsung, real-time tanpa potongan". Runut bunyinya juga turut membantu, memberikan semangat dan emosi yang sebenar harus dan wujud dalam sesebuah filem tempatan. Terdapat penggunaan CGI darah palsu yang mungkin merencatkan maksud tetapi ini tidak membantutkan cerita. Filem ini tidak mementingkan sangat drama tetapi unsur dramatik yang dilampaukan, tidak mementingkan subtility dan estetik tetapi penyampaian emosi yang benar dalam keadaan yang begitu terdesak. Segalanya terikat dalam keadaan yang mendesak dan terperangkap, mungkin anafora terbesar sang pengarah kepada kita, bahawa masyarakat kita sebenarnya di dalam "sangkar" dan tidak pernah kita sedar betapa besarnya sangkar yang kita diami itu tanpa rasa terdesak atau terperangkap.  

Suatu filem realiti yang menarik, yang walaupun mempunyai premis yang mudah dan kecil, membawa beberapa persoalan sosial yang penting untuk dipersoalkan dalam dunia serba kecelaruan sekarang. 

Klasifikasi Kolumpo: P15, Terdapat babak ganas yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI MBO, KL City Festival.