Flower In The Pocket (2007)
Aku sudah bertemu dengan seorang lagi pengarah yang pandai benar mengarah 'filem kanak-kanak'. Habislah Yasmin Ahmad, seorang lagi 'budak celik' telah berjaya menawan hati aku dengan cerita 'simple' budak-budak tetapi memaut aku dan tidak mahu lepas (walaupun ia tidak 'perfect' kerana suaranya dan seorang pelakon kanak-kanak memerhati tepat ke kamera). Filem terbaharu (filem panjang pertama) Liew Seng Tat memang tidak menjemukan.
Aku tersedar bahawa beberapa peranan penting di dalam filem ini, mempunyai ikatan dengan beberapa filem bebas yang lain yang pernah ditayangkan. Mereka, Liew Seng Tat, Amir Muhammad (dikatakan Bapa Pencetus Filem Bebas yang bermula dengan Lips To Lips), Tan Chui Mui, dan James Lee saling berlakon/menerbit dan memainkan peranan belakang tabir filem masing-masing, termasuklah 'meminjam-minjam' pengarah fotografi, pencipta muzik, penyunting, kru, penyunting suara sampailah ke pelakon-pelakon. Mereka juga saling pinjam meminjam pula pelakon, pengarah fotografi, kru, pencipta muzik, dan lain-lain 'pe' pengarah filem bebas lain seperti Zan Azlee, Yasmin Ahmad, Osman Ali, Deepak Kumaran Menon, Ho Yuhang, Azhar Rudin dan lain-lain. Seperti filem ini, Mak Inom, ibu kepada Yasmin Ahmad(!) berlakon di dalam filem ini sebagai Nenek Ayu, Amira Nasuha (amboi, budak ni memang boleh jadi bintang!) dari Mukhsin dan James Lee berlakon sebagai ayah kandung Li Ohm (Lee Hom, hahah!) dan Li Ahh. Keberkesanan dan saling berinteraksi antara para pengarah/penerbit ini semacam membina suatu alam muhibah yang diingin-inginkan sangat dilihat dalam persada dunia sosial dan politik tempatan. Dan interaksi dan usahasama inilah yang mencipta keajaiban, hasil-hasil yang bermutu dalam filem-filem pengarah/penerbit ini (kerana kesemua pembikinan filem ialah sebuah projek berkumpulan).
Walaupun Amir atau James atau Yasmin menidakkan sebuah pergerakan (movement/wave) sedang berlaku dalam arus pembikinan filem bebas sejak akhir tahun 90-an, ia sememangnya sebuah semangat pergerakan, tetapi tidak perlu ditakrif sebagai suatu yang 'rasmi'. Seperti mana industri kampung yang berlaku kecil-kecilan dan sesama-sendiri, 'industri' yang para pemain arus bebas ini sedang lakukan juga sebenarnya sebuah pergerakan bukan rasmi yang membanting potensi perfileman tempatan. Betapa pelbagai kreativiti, profesionalisme dan warna yang sudah berjaya mereka lakukan dalam tempoh yang pendek, dan kini kita hanya menunggu para penonton tempatan sahaja yang memeriahkan arus baru yang sangat membanggakan ini. Dengan itu saya, seperti 'line' dalam filem ini, mengglamorkan pergerakan ini sebagai 'desa' (village), sebuah aspirasi baru yang mengangkat martabat filem tempatan kepada tempat yang sepatutnya.
Dan yang paling menarik akan arus 'desa' ini ialah, mereka hanya 'mahu bercerita'. Seperti yang aku tonton di dalam filem ini.
Ia sebuah filem yang senang ditonton (walaupun dibikin tanpa banyak suntingan), dari segi cerita mahupun para wataknya. Sebuah cerita tentang dua anak Cina yang tinggal di Jinjang KL, Ma Li Ohm dan Ma Li Ahh (lakonan memberangsangkan Wong Zi Jiang dan Lim Ming Wei) yang tidak beribu dan sentiasa bersendirian kerana ayahnya tidak ada masa untuk mereka. Kita akan mengenali mereka dengan kebosanan mereka di sekolah, buang-buang masa mereka sewaktu balik dari sekolah, dan masa yang mereka habiskan sewaktu di rumah. Apa yang membuat filem ini 'menjadi' dan menjentik hati ialah, ia dibikin tanpa memancarkan sentimentaliti ala hindustan yang sudah terbiasa dalam filem-filem Melayu. Kita tidak dipaksa untuk bersimpati dengan budak-budak ini, perasaan 'simpati' itu datang jujur dan terus ke jiwa.
Ini adalah kepandaian Liew Seng Tat, membentuk perkara-perkara yang tampak slapstik, canggung dan cilik kelakar tetapi langsung tidak melupakan kesan 'menyentuh'nya. Ada beberapa babak yang aku sendiri, selepas saja ketawa, rasa nak menangis sebab sangat-sangat tersentuh dengan gambar-gambar Seng Tat (juga ditolong oleh penjagaan fotografi Albert Hue). Babak yang paling berkesan buat aku sebagai contoh ialah sewaktu Li Ohm memaparkan lukisannya yang 'putih' dan membilang itu 'langit', lalu dia diketawakan oleh kawan-kawannya. Aku ketawa terbahak, tetapi turut terus menangis, memahami betapa keinginan yang dalam (tanpa perlu disebut) oleh Li Ohm untuk sekilas kasih-sayang dan bimbingan. Ataupun beriya-iya Li Ohm dan Li Aah menyedut sos tomato KFC semacam gula-gula paling sedap di dunia. Babak-babak kecil inilah, yang diputar dan berterusan, memunggah hati aku.
Seng Tat juga mempunyai 'kenakalan'nya yang tersendiri, baik menyindir (seorang budak Cina tidak boleh berbahasa Melayu dalam kelas bahasa Melayu dan ditegur 'pemalas') atau memaparkan humor tandas (toilet humour). Seng Tat semacam adik-beradik Farrelly, memaparkan perkara nakal luar batas di dalam filemnya, tetapi yang baiknya, 'kenakalan' Seng Tat terjaga dan mempunyai fungsi kuat dalam menggerakkan cerita, membentuk watak dan memberi gambaran yang 'real' (tidak dicipta untuk main-main) dan bukan slapstik tempelan memeras gaya untuk luah ketawa (walaupun ia kelakar). 'Kenakalan' Seng Tat kena dalam pelbagai lapisan, bukan seperti Farrelly yang bertujuan untuk efek bahak ketawa. Seng Tat juga memaparkan tandas, binatang mati, aksi mengarut, bogel dan pelbagai yang dibuat oleh Farrelly tetapi ia lebih 'bermutu' dari air mani, tandas, binatang mati dan aksi mengarut Farrelly. Lihat sahaja babak 'bunga' yang dibiarkan untuk makan malam ayah mereka, ia sekali gus kelakar, menyentuh perasaan serta memberi isi yang dalam. Dan baiknya, Seng Tat tidak perlu meluahkannya dalam kata-kata panjang.
Menonton filem keluarga ini (ya, ini sebuah filem keluarga!), kita memahami akan kepentingan pautan kasih-sayang dan interaksi dalam sebuah keluarga, melawan kekosongan hati dan kesunyian yang tanpa sengaja dicipta di dalam institusi keluarga. Aku teringat akan perasaan sebegini dengan berkesan sekali di dalam The 400 Blows(1959) Truffaut. Dan sekali lagi, tema-tema seteliti ini digambarkan di dalam filem ini dengan penuh warna dan kebiasaan. Ini juga ditolong oleh tangkapan baik Albert Hue dalam menangkap betapa warna-warninya dunia dua budak ini dalam keheningan dan kesunyian yang mereka lalui. Lihat sahaja 'orang-orang' yang disembur dan jadi barang mainan budak urban ini, atau bagaimana mereka membuka seragam sekolah mereka di depan-depan penduduk KL (sebenarnya rakaman ini nampak seakan di PJ).
Tetapi di sini juga kekuatan Seng Tat. Seng Tat langsung tidak menyuap mesej 'jadi, inilah yang perlu kita buat untuk anak-anak tanpa kasih-sayang ini' secara terus kepada penonton, tetapi melakukannya dengan sangat lembut (tanpa memberi konotasi yang kelam dan pesimistik, walaupun secara subjektif, ia boleh berarah ke situ), ia membuat anda bersorak dan bertepuk tangan kerana kejujuran yang diangkat oleh Seng Tat bercerita.
Amira Nasuha sebagai kawan baru Li Ohm dan Li Ahh juga sangat mencuitkan hati. Babak-babak dia mula berkawan dengan dua beradik Cina itu, teknik bermain anjing bersama kawan-kawan lalu membawa kawan barunya ke rumahnya untuk makan, memberi keceriaan dan langsung tidak mengundang kebosanan. Amira Nasuha ialah seorang pelakon cilik yang sedang dalam medan menjadi pelakon harapan yang baik pada masa depan (harap-harap, tidaklah menjadi seorang Baby Jane).
Inilah filem komedi kanak-kanak/keluarga tempatan yang aku tunggu-tunggu. Sebuah filem yang 'simple' tetapi berjaya menyentuh pelbagai perasaan yang senang dirasa oleh kanak-kanak, baik orang dewasa lalu memberi kita suatu kepuasan yang sangat memikat tentang pengalaman belajar untuk membesar.
5 comments:
aku dah beli tiket pilem ni kat CM Annexe masa pre-selling ari tu...tapi lambat lagilah baru dapat tengok
Why you add 'Cantik Menawan' in your title. Didn't make sense. The original English title only have '... in your Pocket' FULL STOP.
lantak engkaulah dareevan... I think you are very new to my blog and u dont know my style.. apa2pun, marhaban!
gaia, tengok jangan tak tengok.
kat melaka tak sampai punnn...or belum tayang lagi?
mmm..cari cd lah nampaknya
aku terlambat TAPI masih sempat.. nasib baik :-)
..jom main anjing!!! huhu!!!
Post a Comment