06 June 2024

Bacaan Kedua Filem Memoir Seorang Guru (2024): Sebuah Figura Ayah yang Tempang


Ada spoiler.

Entah mengapa, aku semacam tak cukup puas dengan beberapa imageri dalam Memoir Seorang Guru arahan Kyoll Hamzah (dengan skrip Maizura Ederis dan Che Li) yang tak dapat ditebak, apatah lagi dengan persoalan watak “haunted” Rosyam Nor yang masih mengganggu aku (yang ramai tentu menuduh perwatakannya kaku). Walaupun peleraian cerita tampak macam happy ending, mengapa aku rasa terganggu setelah keluar dari pawagam malam itu?

Hal itu baru dapat ditebak apabila aku meneliti (kembali) filem ini dengan bacaan (kedua) melalui pertentangan binari (binary opposition) apabila penelitian ini menekankan dua nilai/imej yang bertentangan tapi cukup mewajarkan motif dan penyampaian maksud. Mungkin bacaan ini jauh daripada “syiar” sebenar tujuan Kyoll, adaptasi Maizura-Li dan niat asal Azizi Haji Abdullah. Tapi ini hanya interpretasi, jadi dengan bahasa yang lembut: to hell with it.

Aku menyedari hal ini kerana berasa banyak hal yang tidak terjawab dengan kepikunan (hah, amikkau!) watak Cikgu Sunan bawaan Rosyam. Kemudian imej tasik pada awal filem yang tampak “janggal” untuk berada di situ. Melalui bacaan pertentangan binari, aku melihat hal imej ini dengan skop pertentangan, semacam nilai positif-negatif.

Yang paling jelas, Cikgu Sunan ialah figura seorang lelaki. Lelaki dalam bacaan paling purba diwakili oleh phallus (lingam) dan angkatannya, tiang atau bangunan. Ia sentiasa berdiri, tampak berkuasa dan teguh (seakan lelaki memang selalu tetap dengan pendiriannya). Tujuan dia juga boleh dikira murni, jadi nilai simbolnya positif. Tujuan dia dalam cerita setakat ini dua: (1) melihat anak muridnya berjaya dan (2) menemui fitrah dirinya sebagai pendidik. 

Bagaimanakah Cikgu Sunan mengisi cerita untuk mencapai tujuannya? Hal yang selalu kita lihat sewaktu Sunan mengajar anak murid, dia memegang pembaris panjang (substitute pada rotan juga). Dengan dia memegang pembaris itu, dia memegang pendirian dan kuasanya, dia akan menghalakan anak muridnya (juga sebagai anak-anak sementaranya) atau lebih dekat, sebagai gembala (shepherd) pada anak peliharaannya (pengikut/followers). Menariknya (sengaja?), kejayaan anak-anak ini tidak tampil dalam keputusan UPSR mereka (yang dinyatakan berkali-kali oleh Sunan), kita tidak tahu sedikit pun siapa yang dapat 5A atau apa. Kejayaan anak murid (peliharaan/pengikut) tampil apabila ditampilkan dengan babak menonjolkan kerjaya dan aspirasi anak muridnya apabila dewasa. Malah, yang paling berjaya apabila ada anak muridnya yang tekad berubah baik setelah lama menjadi penagih (Mat). Satu lagi paradoks berlaku pada babak akhir apabila dengan sengaja, pengebumian Sunan tidak diiringi oleh ahli keluarga dan kenalannya, tapi oleh anak tunggalnya dan anak muridnya (kelas yang itu saja). Hal ini amat memelikkan.

Sebenarnya, adakah Sunan berjaya? Adakah bawaannya akhirnya bernilai positif? Imej akhir Sunan sangat pelik (dan muram) apabila dia hanya terduduk dan kamera (Madnor Kassim) melakukan syot gerak ke belakang dengan dua dinding di kiri dan kanan.

Ada beberapa lagi simbol representasi lelaki (positif) yang ditebak mewakili Sunan, kayu pancingnya, bendera di sekolah (dalam satu syot selingan, seakan memberikan indikasi didikan Sunan akan berjaya) dan bangunan pencakar langit pada syot akhir.

Tapi jangan lupa, simbol representasi terpenting Sunan ialah tongkatnya. Di sinilah waktu “kisah” Sunan bermula. Dia melakukan renungan di awal cerita. Malah, tongkat membuatnya dapat berjalan lurus, tongkat membantunya, satu tubuh badan yang mula hendak rebah (negatif).

Dari situ, kita lihat pula “fokus” tiga watak budak yang penting dalam perjalanan mendidik Sunan. Ketiga-tiga watak  budak ini menjadi pusat cerita sama ada hala tuju pendidikan Sunan itu berjaya atau gagal. Refleksi awal, Sunan diperkenalkan dengan watak Mat yang tertembus belakangnya pada dahan pokok. Indikator ini saja sudah meramalkan ada sesuatu “yang menyakitkan” dengan perjalanan impian Sunan. Banyak tragedinya. Malah, Sunan menunjukkan sikap negatifnya dengan menolak sikap komunitisme orang kampung sebagai perbezaan jelas dia (orang bandar) dengan orang kampung.

Kita bawa pula watak yang paling emosional dalam naratif filem, watak Mihad. Watak ini sungguh tragis dan paling dekat dengan Sunan kerana jelas, Mihad berpaut pada Sunan (sedar atau tak, Alias, Mihad dan Mat selalu berpaut di pokok besar, semacam mereka menunggu-nunggu untuk tempat berpaut, atau dengan jelas, berpaut pada figura bapa/father figure). Sunan menyukai dan mendekati Mihad seakan-akan menjadi ayah sementara pada Mihad. Mihad pula berpaut pada Sunan kerana dia yang paling kehilangan susuk seorang ayah untuk diikuti/dicontohi (Alias masih ada ayah sebenarnya, tetapi tempang tak boleh jalan).

Malah, antara ketiga-tiganya, Mihad dilihat oleh Sunan sebagai berpotensi untuk cemerlang dalam hidup. Tapi apakah yang terjadi? Pertama, Sunan-Mihad pergi ke lubuk. Lubuk walaupun pada awalnya imej positif, tempat mendapatkan rezeki (bagi) orang kampung, juga tempat bermuhasabah diri (seperti tasik di awal cerita). Tapi lubuk dan tasik ini juga simbol jelas simbol wanita (Sunan bercerita tentang kematian isterinya di sini). Simbol wanita, kali ini negatif, diwakili yoni, lohong atau lubang, dalam hal ini ia ruang besen yang menakung kehidupan, ia sebuah ruang tampungan, seperti rahim (seperti bumi: mother earth). Unsur yang paling jelas dengannya ialah air, simbol kehidupan (menampung kehidupan, seperti rahim). Kita boleh nampak ikatan positif-negatif ini bercantum apabila kail Sunan masuk ke dalam ruang lubuk.

Atas kuasa Tuhan (dan penulis), alam memainkan teka-tekinya. Jika pun simbol Cikgu Sunan kuat, simbol wanita ini dipunyai alam. Lalu kebahagiaan sementara yang dikecapi oleh Sunan-Mihad (positif) direntap (negatif). Diperangkap. Dibunuh di dalam lubuk. Sampaikan ikan, makhluk air (kehidupan) yang sepatutnya memberi imejan bermanfaat (rezeki, lazat) dilihat sebagai momok yang traumatik, meratap kebahagiaan sementara Sunan (negatif).

Di sini sahaja kita dapat membaca pelbagai lagi simbol negatif alam yang sebenarnya menekan simbol positif kelelakian atau kebapaan Sunan. Hal ini dapat dilihat pada simbol tasik (yang menghantui Sunan, yang rupa-rupanya mula mengembalikan rona traumanya yang lama terpendam), air hujan yang mencurah dengan latar air di babak pengebumian Mihad (tragedi, bukan rahmat). Kita juga ditampilkan babak mayat Mihad dimasukkan ke dalam lubang kubur. Ini tanda kematian dan kegagalan capaian, selain transisi ke alam lain. Wanita sememangnya, dengan simbol yoni, berfungsi sebagai pintu, yang menbawa seseorang dari satu tempat ke satu tempat: dari rahim ke alam dunia, dari alam dunia ke liang lahad.

Inilah imejan yang kita temui sewaktu Cikgu Sunan terduduk pilu di dalam rumahnya, sedikit demi sedikit diperangkap oleh dinding yang kelam di kiri dan di kanannya, sedikit demi sedikit mengecilkan figuranya. Dia melalui satu petanda yang dia akan mati, dan betapa kerdilnya dia menghadapi ketentuan alam.

Dengan tempang (negatif, atau nilai positif yang tidak terdaya, atau hilang kuasanya), dia melihat anak-anak muridnya berjaya, dibaca secara monolog (mulutnya diam). Tapi adakah dia berasa dia berjaya? Anak-anak muridnya berasa ya, dia telah memberikan mereka inspirasi (sampai mengiringinya ke tempat persemadiannya), sedangkan dia, yang memberikan sikap keras, ego yang menghasilkan kekecewaan dan derita, yang banyak salah dan silap hukumnya, merasakan dia ayah yang tempang pada anak-anaknya. Ayah yang kadangkala gagal mendidik dan mendapatkan kejayaan anak dalam hidup. Sebab itu dia susah hendak membenarkan anaknya mengikuti jalannya, satu-satu anak perempuannya, yang tanpa menyedari (ironi), si ayah memerlukan tongkat (bimbingan dalam hidup) tapi anaknya secara alamiah tidak.

Mengapakah kita terasa semacam ayah yang tempang ini amat mengganggu? Sebenarnya, filem ini sesuai dengan mileunya. Secara realiti, kita sedang menghadapi negara yang pernah tempang empat kali apabila Perdana Menteri, pemimpin atau ayah (sementara) negara kita bertukar ganti, dan sentiasa memilih langkah yang salah dan hukum yang silap sewaktu pemerintahannya. Ya, tertampillah beberapa dasar dan usaha yang memajukan, membawa kita ke hala tuju baharu, tapi cara dan asuhannya tempang sekali. Kita (rakyat, pengikut, anak peliharaan) yang mengikuti dia disemadikan (berakhir kerjayanya sebagai ayah sementara kita, pemimpin kita) tidak keruan, dan tidak keruan itu dapat dirasai sampai sekarang.

Sebab itu mendung awan pada akhir babak kelihatan meresahkan. Kita takut, jika tempang lagi ayah (gembala) yang membawanya, kita akan ditimpa hujan celaka.

Maka akhirnya, Cikgu Sunan ditanam, dengan awan mendung menutupi alam Kuala Lumpur. Tampak seperti kerananya, kemajuan, peradaban terbina (bangunan-bangunan). Tapi awan mendung seperti hendak menangis. Ini satu amaran dari alam, simbol air yang berkait dengan lubuk/tasik tadi.

Akhir kata, walaupun segalanya nampak muram dan serba ketidakjelasan hala tujunya, Kyoll memberikan kita kredit akhir yang mencuit: bintang-bintang. Memang ini tanda guru-guru sebagai bintang yang menyinar alam (dikuatkan lagi dengan bacaan sajak Usman Awang), tapi juga sebagai petanda positif akhirnya, bahawa walau betapa tempangnya Cikgu Sunan, dia di tempat yang baik di akhirat, bersama Pencipta, Ayah Asal Abadi yang tiada tolok bandingnya, Sumber Abadi Segalanya yang ditunggu-tunggu.