Edmund Yeo ialah pengarah mutakhir Malaysia yang muncul memberi kanvas baharu dalam sinema dunia. Filem-filemnya agak susah hendak ditonton di pawagam tempatan, dan seperti "judul Melayu" filem ini, lebih banyak muncul pada festival-festival antarabangsa dunia dari ruang kita sendiri. Terima kasih buat Mubi.com, kini karya Edmund menghampiri penonton tempatan.
Keserasian kanvas Edmund ialah tata imej, ruang suara diam - sekurang-kurangnya untuk filem ini. Babak boleh berbolak depan dan ke belakang, mengimbas dan menyorot babak sekarang, kadangkala nyata dan surreal, dalam satu tangkapan bingkai. Satu babak sudah cukup menunjuk buat ini: di Jepun, si kakak Lan yang sedang berbual dengan kawan rumah Jepun (kekasih diam) adiknya, Hong, tiba-tiba dalam satu frem, kita dapat melihat Lan-Hong-kawan Jepun itu dengan satu gerakan frem - mudah, tetapi berkesan. Hal yang sama mengimbau imej si adik-si kakak-ibu yang "murung" dalam satu frem. Yang lampau berbaur dengan yang sekarang. Suka-resah berbaur dengan gerun dan keinginan untuk kembali pada nostalgia/imbauan lama (sejarah), walau segelap dan sekeras mananya.
Si kakak, kerana episod menggerunkan ibunya (ibunya yang terasa terperangkap, hendak membunuh mereka semua di tepi jeti) telah sanggup melarikan diri, sedang si adik, walau seseksa mana menjaga si ibu (yang kian sakit dan celaru), tabah dan sayang dan tetap cinta. Edmund tidak saja bercerita tentang hal biasa anak-beranak bermasalah di sini, tetapi imejan ini mengimbaukan hal sakit-benci (pada kaca mata Edmund?) terhadap sejarah atau lampau bangsanya, dengan dua pilihan: pergi meninggalkannya dan hidup (escape and prosper) atau duduk dan reda/tabah bersabar - cinta. Hal ini menyerupai persoalan orang-orang Malaysia yang akhirnya meninggalkan tanah air, lalu memilih untuk "melupakan sejarah" dan tanah airnya, identitinya, jati dirinya, dan menjadi warga-bangsa baharu, identiti berubah (kita menangkap hal ini kerana si adik memakai nama kakaknya yang tinggal lari sewaktu dia sendiri tinggalkan kakaknya dan duduk di Jepun).
Namun, adakah mereka dapat "melarikan diri"?
Hal inilah yang disaji oleh Edmund untuk kita fahami. Hal ini membuka perbahasan, dan perbahasan ini tidak mudah, malah kadangkala dengan gaya senyap Edmund (dan lakonan-lakonan senyap pelakonnya), kita akan dihimpit perasaan enigma. Filem ini terasa dingin bagi aku, dan aku dapat merasakan ini memang "tanda tangan" pengarahnya (babak ibunya yang diam, cuba membunuh itu sudah cukup mewakilinya), yang kadangkala mengharukan tetapi kadangkala membuat kita terasa tergapai-gapai dalam kesamaran dan absurditi. Dalam ketidakbiasaan ini, Edmund memancar baik dari segi visual, pengaliran cahaya dan glos imej. Watak-wataknya berjalan dalam bingkai frem seperti hantu. Mencari-cari di balik riuh kota moden, matahari di balik rumah, lautan tidak bertepi, atau landskap gunung yang penuh rahsia dan menutup jejak.