Jika beginilah akal pemikiran pengarah muda kita, syukur kita dalam landasan yang betul dalam dunia perfileman. Kini kita hanya menunggu ruang dan peluang untuk anak-anak muda ini melahirkan karya dalam layar yang lebih besar.
Diperkenalkan saudara Hisyamudin Ahmad dan Zainorhisyam Samudin. Kedua-duanya hasil sekolah filem yang kini mewarnakan telefilem dan drama televisyen dengan karya-karya sentuhan mereka (Hisyamudin berjaya mengadaptasi sebuah sajak kepada telefilem, Zainorhisyam baru-baru ini melahirkan karya daripada tulisan penulis drama, Siti Jasmina Ibrahim). Apa yang membuat aku gembira dengan pandangan mereka adalah bagaimana matang, dalam dan seriusnya kedua-dua pengarah ini menampilkan isi hati dan pemikiran mereka, falsafah, pengalaman dan pemerhatian mereka dalam hal-hal filem (dan televisyen), baik dari segi pembikinan yang teknikal, kepada maksud naratif dan falsafahnya, serta kefahaman rohaniah filem yang mendalam. Jika begini yang berjaya dilahirkan (yang kita tahu atas sokongan diri seni dan ketelitian akal yang ada dalam diri mereka) oleh sekolah filem kini, alhamdulillah, jalan panjang permulaan ASK dan USM, kemudian ASWARA, UiTM, MMU, dan beberapa universiti swasta lagi, sudah membuahkan hasil. Kini peri pentingnya adalah untuk, seperti yang dibicarakan oleh saudara Hisyamudin, untuk penyokong ruang (sistem) filem itu, kelompok komunitinya, pengkritiknya dan pemodalnya, untuk sama-sama memberikan sokongan yang padu, dan tampaknya, beberapa ruang itu sudah pun (dan sedang pun) digerakkan, insya-Allah.
Daripada perbincangan ini juga, aku lihat, betapa pentingnya para FINAS, Kementerian Multimedia juga Kementerian Kebudayaan untuk memikirkan bagaimana telefilem-telefilem kita yang bermutu, boleh dialih wahana kepada filem (sebenarnya realiti wayang digital sekarang dan kebangkitan pembikinan filem daripada alat telefon seperti Sean Baker revolusikan, sudah meruntuhkan sikap konvensional kita melihat filem dalam satu cara bikin-hasil sahaja) dan dibawa ke luar festival-festival filem antarabangsa untuk diperlihatkan, kerana, lambakan filem-filem sedia ada kita kini, masih (walaupun sudah ada seruan untuk melakukan perubahan kandungan dan tema) terpenjara dengan permintaan klise "melihat kemahuan penonton massa", maka karya-karya konvensional "menurut formula" yang dihasilkan. Telefilem mempunyai ruang yang lebih merdeka (dan sepatutnya lebih dana) untuk sang pengarah berkarya, malah sikap eksperimental dan sentuhan tema segar banyak dihasilkan pada era 1980-an oleh pengarah muda era itu dalam telefilem-telefilem kita. Malah, filem Kaki Bakar (1995) U-Wei ialah sebuah telefilem asalnya. Begitu juga bagaimana nama Steven Spielberg dibina apabila beliau membikin telefilem Duel (1971) yang kemudian ditayangkan di panggung di Eropah, dan Ingmar Bergman yang menghasilkan banyak telefilem bermutu yang kemudian diubah medium kepada filem dan dibawa tayang ke luar serta festival antarabangsa (minisiri Scenes from a Marriage, 1973 beliau, contohnya, berupa minisiri televisen di Sweeden yang kemudian disunting kembali dan dialih wahana kepada medium filem 35mm di panggung wayang Amerika). Kita pun boleh melakukan pemilihan ini (pilihan telefilem dari era 60-an sehingga kini) dan menyalurkannya pada empat ruang utama (1) universiti/sekolah secara jerayawara (2) festival filem antarabangsa (3) penyedia khidmat media seperti Netflix, Mubi.com (4) jerayawara festival seni tempatan di serata negeri secara tersusun.
https://www.facebook.com/watch/?v=368807297849024&extid=T01HjqmS9ve0tYd9