Nota Fadz: PKP. Punyalah lama aku tak menulis di sini. Punyalah aku down sebab, selain panggung wayang ditutup (tak, memang aku tak boleh move-on dan anut agama norma baharu bernama sinema digital tu) selama PKP (yes, i get it, it's for our safety) aku lagi down kerana satu-satunya kedai video-DVD yang tertinggal di Malaysia, Speedy, dah tutup. Jadi harap kau faham mengapa aku diam lama di sini.
Dalam drama demi drama Malaysia (pilih: Covid-19, PKP, kerja di rumah[lah sangat], minyak turun, PH jadi PN, Tun M pecat diri sendiri, pusingan-U pendirian polis tentang kematian arwah Adib, Buih Bangsar, #metoo Malaysia, Al Jazeera, Tuanku Agung, Bosskur, Abah, Atok, Bang Non, Jemin, Boboy, Mak Cik Kiah) dalam dua tiga bulan ni, antara yang hangat dan konsisten terucap dalam kalangan orang kita (dan Al Jazeera) adalah tentang kalangan pendatang (tanpa izin). Wacana ini terus-menerus dikelolakan, bertarung ayat, puak konservatif, puak liberatard, sehingga ada yang sebut-sebut fasal menunggu kalangan pendatang ini untuk menghasilkan karya sastera mereka untuk kita baca tentang pengalaman (ngeri) mereka merempat (haram) di dalam negara kita (bayangkan dalam bahasa Rohingya, atau Bangladesh, atau Tibet, atau Khmer, atau Thai, Mandarin, dll. nota: aku sebenarnya berharap seorang menulis dalam bahasa Melayu, siar dalam Dewan Sastera. Amacam?). Menarik. Tetapi persoalan ini bukan baharu, malah lama (aku ingat masa sekolah menengah dulu aku pernah buat projek karangan-peta minda fasal pro dan kontra kerajaan mengambil pekerja asing untuk kerja buruh), dan persoalan yang selalu berlegar dalam wacana ini adalah tentang xenofobia (sikap kurang senang dengan seseorang yang asing) dalam kalangan kita.
Sikap xenofobia ni pun, selain berkait dengan tradisi sejarah kolonial (kita faham maksud keberadaan Feringgi dan Belanda, contohnya, dalam peribahasa, pantun dan ungkapan lama kita yang selalunya membawa konotatif negatif. Contoh: Macam Belanda mintak tanah, yang bermakna: tamak haloba nafsu meluap-luap) dan pascakolonial (baca: Edward Said), terdapat juga tradisi kita untuk "menjajah", "menunduk" atau membawa kalangan "orang asing" yang "tidak sama dengan kita" ini untuk berasimilasi dengan kita (mengikut cara kita). Dalam teks hikayat lama kita, selalunya, orang-orang "asing" yang "tidak bertamadun" ini apabila ditemui oleh wira atau watak raja kita akan disebut sebagai haiwan-haiwan hutan keluarga primat, macam lontong, kera, monyet, yang mana watak wira atau raja kita "berlawanlah akan lontong itu lalu alah lah dia". Seperti dalam Hikayat Merong Mahawangsa, wira besar hikayat Kedah lama itu banyak berperang dengan "bangsa gergasi". Konteks gergasi digunakan kerana rupa bentuknya "yang berbeza". Namun cara orang tradisional kita juga berdepan dengan kalangan ini bukanlah berbentuk ganas-ofensif sahaja, kerana terdapat jua susila dan perundingan, malah pertautan-ikatan dengan golongan "yang berbeza" ini, apatah lagi raja-raja hikayat lama ini turut berkahwin dengan gergasi-gergasi ini, lalu menurunkan zuriat diraja yang memerintah alam kerajaan yang baru dibina itu. Di sini, terdapatnya muafakat, integrasi dan ingin memahami antara kalangan Melayu ini dengan orang asing yang ditemui.
Secara warisan bahasa pun, dalam keadaan seharian, kita selalu mendengar sebutan golongan "asing" ini dipanggil "orang luar", ciri-ciri yang mendekati pandangan pascakolonial terhadap the other (transliterasi: yang lain). Di sini, akal budi, adab tingkah laku, hati budi (humanisme atau insaniah) kita (khususnya orang Melayu) selalunya diuji apabila diberi peluang berhadapan dengan golongan orang luar ni. Malah, benda-benda ini biasa kita tonton dalam filem Melayu lama kita, lebih-lebih lagi dalam filem-filem seram. "Orang luar" yang kita rasa takut selalunya hantu, macam pontianak, tetapi dapat kita tawani (dengan memakunya di belakang lehernya). Ada juga "orang luar" yang kita cerca/pandang rendah, seperti orang kampung terhadap Si Bongkok dalam Sumpah Orang Minyak (1958). Selalunya, dalam pencercaan/pandang hina itu, berlaku pertentangan binari apabila segolongan kita pula yang berasa belas kasihan/pandang serupa-insan terhadap "orang luar" itu, sepertimana Bang Selamat dan Afidah anak Ketua Kampung dalam Sumpah Orang Minyak mempunyai rasa belas kasihan dan kasih insan terhadap Bongkok.
Dalam Syahadat, filem sulung (satu-satunya?) Dzed Zahidin dengan lakon layar oleh Dzed Zahidin dan Othman Salleh, mengembalikan imej dan perilaku ini, dalam susuk "jembalang" berwajah buruk Syahadat (Allahyarham Shukery Hashim). Ada signifikan menarik mengapa "si jembalang" ini menyerang tayangan filem tahun 1992, sewaktu dua filem "besar dan pasti masuk FFM" turut ligat ditayangkan sewaktu cuti sekolah, Selubung dan Bintang Malam. Pertamanya, filem ini ditayangkan pada masa aidilfitri, yang seakan-akan ingin mengembalikan feel pengalaman menonton filem lama dengan mempersembahkan sebuah filem "purbawara" era lama, dengan sikap pengulangan kaji semula (kita akan teringatkan Semerah Padi dan Dang Anom). Kedua, filem ini "melepasi" kuku besi LPF era autoriti filem menolak filem-filem yang dianggap tahayul, seram dan berhantu (rujuk di sini). Terdapat babak tahayul (pemujaan oleh bomoh), seram ("jembalang" yang tiba-tiba muncul menakutkan watak Eman Manan) dan berhantu, tetapi semuanya, melepasi kerangka filem boleh diharamkan LPF (yang dikatakan sudah berbicara dengan mereka dan mendapat kelulusan mereka). Malah, jika tidak silap aku, dalam akhbar waktu filem ini ditayangkan, terdapat wacana kecil bahawa yang disebut-sebut, khususnya para pembikinnya, bahawa "jembalang" itu mempunyai signifikan pengajaran dan bukan "hantu" seperti yang disalah tanggap oleh "örang yang belum menonton filem ini".
Hal ini adalah kerana, terdapat kemunculan dan "cerita" yang konsisten dan berkembang akan watak "jembalang" ini, yang turut memberikan beberapa pertentangan binari, antara kejahilan dan fitnah ("jembalang" dianggap sebagai hantu belaan yang dimunculkan oleh seseorang yang sakit hati demi memporak-perandakan isi kampung, atau ada yang dituduh melakukan kerja pembomohan) dengan hati budi ihsan (yang ditampilkan oleh watak Erma Fatima dan Yusof Wahab, yang menunjukkan belas kasihan terhadap "jembalang"), dan dengan pembongkaran rahsia "jembalang" oleh tuan badannya sendiri.
Memerhati perkembangan dan reaksi ini, semacam ada, selain titik xenofobia penonton/masyarakat kita yang sengaja diuji oleh Dzed, akan suatu bentuk imej "örang luar" (malah kehadiran "jembalang" memang tiba-tiba, "menghantui" penduduk kampung) tetapi terdapat juga konotasi keagamaan (spoiler: Syahadat ialah imam kampung, ayah Erma Fatima dalam filem ini, Yusof Wahab adalah antara anak murid setianya, yang telah merantau keluar menyambung ilmu agamanya) pada "jembalang" ini, semacam Dzed mahu menguji penonton (sewaktu tayangan hari raya) bagaimana keadaan "hantu" yakni "ägama" itu ditakuti. Menariknya, hal ini terjelma semacam reaksi kritikan Dzed, berkemungkinan, akan propaganda Tun Mahathir dan konco UMNO pada masa itu, melawan mesin sahsiah agama PAS bawaan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, khususnya keinginan Tuan Guru untuk mengangkat hukum hudud. Jadi hal keagamaan dibentuk sebagai "imej hantu" yang "äsing", "menakutkan", "buruk" malah tersisih daripada penduduk kampung. Apakah itu benar? Sudah tentu tidak. Dengan sikap "keluhuran budi" khususnya (harapan Dzed) pada generasi muda yang tidak berdosa dan berkobar mengubah masyarakat (terdapat satu babak cintan di atas batu pantai [eat that, Ombak Rindu] yang Erma, tiba-tiba, memberi ceramah ala romantik kepada kekasihnya Yusof Wahab, bahawa "Lupakah abang janji abang kepada ayah bahawa abang ingin mengubah sikap orang kampung ini agar kembali kepada agama? Ohhhhhhhh ...") yang dapat melihat "keinsanan" dalam "jembalang" Syahadat.
Inilah yang dimainkan oleh Dzed dalam filem ini, menampilkan emosi yang berbagai-bagai pada satu titik fokal, yakni "orang luar" si "jembalang", dengan efek dan teknik (syot, suntingan, runut lagu dan efek bunyi) untuk menjelmakan perasaan takut, perasaan hiba, belas ihsan, rindu, dan akhirnya, sedu-sedan melodrama: agar pembuakan emosi ini membuahkan renungan teladan terhadap susuk "orang luar".
Namun begitu, filem ini tetap bermasalah. Selain beberapa masalah teknik, terdapat pemilihan lakonan yang janggal dan mengganggu kekhusyukan aku mendalami watak. Hal ini juga sebab dialog yang dihasilkan dan disampaikan oleh pelakon terasa tidak kena (walaupun aku tahu tujuan Dzed dan Othman adalah untuk melakukan ulang kaji semula terhadap bentuk dan gaya filem lama hitam putih era Jalan Ampas). Mulanya, Erma Fatima sebagai gadis kampung, anak tok imam, kelihatan serba tidak kena kerana suara serak-serak basahnya (bandingkan imej ini dengan imej cemerlangnya, sebagai pelacur dalam Bintang Malam, perempuan simpanan seorang Dato' serta artis dalam Hati Bukan Kristal dan editor majalah serba feminis di bandar raya moden dalam Femina), walaupun aksi dan perilakunya (cuba ayu dan lembut) itu betul di depan kamera. Kemudian, aku rasakan, jalinan pasangan Erma-Yusof juga janggal, dengan Erma lebih jelas kekuatannya, dan Yusof semacam ditelan oleh kehadiran Erma (hal ini sangat disesali kerana Yusof Wahab yang aku kenali dalam filem Rahim Razali, tidak silap, dalam Matinya Seorang Patriot, antara anak Haji Shahaban, mempunyai karisma dan ketokohan sikap juang anak muda yang tersendiri) malah kurang diberikan dialog dan babak penonjolan karismanya yang tertentu (babak dia kembali ke kampung itu untuk membetulkan amal agama dan iman orang kampung, mendekati plot filem seram Indonesia 80-an, Ratu Ilmu Hitam [1981]). Malah, pertelingkahan Eman Manan (sebagai antagonis, bayangkan!) dengan Yusof Wahab, walaupun aksi pertarungan silatnya ditunggu-tunggu, mengganggu kita (Dzed sengaja peradukan dua pelakon ini untuk mengacau persepsi biasa masyarakat yang selalu melihat Eman sebagai hero), malah ada momen-momen tertentu, walaupun Eman down-play lakonannya agar memunculkan watak Yusof lebih "padan disenangi", jelas perwatakan dan citra Eman lebih besar daripada Yusof (rujuk poster filem di atas apabila imej Eman lebih besar daripada Yusof).
Paling hancur ialah citra lakonan Muhammad Abdullah yang kita kalangan era 80-an 90-an amat mengenalinya sebagai Pak Busu sebagai Tok Penghulu antagonis. Aku faham pemilihannya satu percubaan yang mencabar (melawan typecast) bagi arwah Muhammad, dan kemungkinan untuk menonjolkan licik-penakut wataknya, walau melakukan pelbagai perkara mungkar dan dajal. Malah, ada satu babak, entah mengapa, terpacul satu dialog yang begitu mengganggu, ia bombastik dan tidak masuk akal: "Dia mesti disedarkan. Orang zalim memang wajib ditentang. Supaya aqidah orang-orang kampung tidak terpesong!" Aku menggelupur waktu dialog itu tersembul.
Namun percubaan ini tetap mendatangkan hasil (filem ini merangkul Anugerah Khas Juri pada malam FFM ke-10 bagi penampilan "kemurniaan warisan budaya"). Terdapat imej yang tidak dapat dilupai (aku tidak dapat menonton filem ini kerana waktu itu aku memilih untuk menonton Selubung) oleh aku, yakni imej Erma yang dipasung (scarlett women!) di poster filem ini. Imej ini menyerupai imej Fatimah Ahmad dipasung dalam Dang Anom. Terdapat pesona sensual, misteri dan menakutkan pada satu masa.
Memang, aku kurang mengenali Dzed Zahidin. Hal ini disesali lagi kerana Dzed, setahu aku, tidak lagi mengarah filem setelah filem ini. Hal ini disesali kerana Dzed tampaknya, dibantu oleh kumpulan pembikin yang berpengalaman, dengan sinematografi Johan Ibrahim (walaupun terdapat beberapa imej yang baik, secara sekata, Johan tidak menampilkan kehebatannya kali ini jika dibandingkan dengan hasil imej tangkapnya dalam filem 70-an dan 80-an), suntingan Johari Ibrahim dan penataan seni Iskandar Kamaruddin. Aku membayangkan, Dzed terpilih untuk melahirkan filem ini (mungin atas pilihan produksi penerbit filem ini, Trademore Sdn. Bhd., mungkin beliau ada saham dengan syarikat ini, wallahu alam) kerana pada ambang 1990-an, kehadiran anak muda Aziz M. Osman telah memberi tanda "harapan" pada filem Melayu masa itu, maka beberapa lagi pengarah berbakat, yang sudah diuji arahannya di layar televisyen, memasuki filem (tradisi ini masih berlangsung sehingga sekarang dalam industri kita). Hasil karya ini, walaupun mungkin bukan adikarya, tetap mempunyai sesuatu, dan mendapati Dzed tidak dapat meneruskan perjuangannya dalam seni, memberi kesedaran kepada kita, pada era 1990-an juga, impian-impian berkobar pembikin kita untuk memberikan sesuatu yang berbeza, dihanguskan sejak zaman itu lagi.