25 January 2020

Ulasan: The Garden of Evening Mists (2019)



Secara trivia, terdapat tiga persamaan motif antara The Garden of Evening Mists dengan The English Patient (1996), filem epik romantik Perang Dunia Kedua yang turut mengimbau-guna kecemerlangan filem-filem berskop epik pengarah terkemuka Britain, David Lean. Persamaannya: (1) tubuh belakang wanita dianggap sebagai sebuah peta suatu tempat, (2) adegan jari kena potong dan (3) adegan berasmaradana (love making) di dalam bath tub.

Walaupun perbandingan persamaan ini dibuat dengan sikap bermain-main, tetapi filem The English Patient seakan-akan merupakan filem meta atau bayang-bayang kembar filem antarabangsa Malaysia yang baru-baru ini merangkul 9 nominasi di Golden Horse (termasuk nominasi Filem Terbaik, dan berjaya menang dua kategori!). Paling utama, kedua-dua filem berlatar belakangkan tema utama (selain kedua-dua berdasarkan sejarah Perang Dunia Kedua), yakni persoalan memori manusia. Namun terdapat perbezaan yang jelas - filem The English Patient mendepani rekonstruksi memori (memory reconstruction) sedangkan filem The Garden of Evening Mists mendepani kebangkitan atau membangkitkan memori (memory resurrection) orang-orangnya.

Aku bermohon maaf kepada pengarang Tan Twan Eng yang menulis novel pemenang Man Asian Literary Priza yang diadaptasi ini, mahupun para peminatnya, yang aku tidak dapat tidak melakukan perbandingan karya adaptasi ini, memandangkan sememangnya filem The English Patient merupakan antara filem kegemaran peribadi aku sepanjang zaman. Namun apa yang perlu mereka maklumi adalah bahawa perbandingan ini sebenarnya dibuat atas keterpesonaan aku terhadap filem adaptasi mutakhir ini dan dengan niat murni untuk menunjukkan sebuah filem yang baik mewarisi kebaikan yang ada daripada sebuah filem yang agung.

Memanglah cara kepengarahan pengarah Taiwan muda, Tom Lin, berbeza dengan cara Anthony Minghella. Yang lebih jelas, Minghella mendepani keseluruhan karya The English Patient dengan gaya seorang penyair mengarang puisi, setiap lenggok dan transisi babak ke babak dan syot ke syot berlaku dengan suntingan, sudut, ritma, suara dan nafas yang bertindan-tindan kaitan kesinambungannya, membina sesuatu jalinan yang puitik. Sikap Tom Lin lebih praktikal, mudah (tetapi direnungi lama sebelum dilaksanakan), meluncur cepat (kerana dia kelihatan risau jika jalan cerita filem ini terasa bosan bagi sesetengah orang), dan meletakkan segala-galanya dengan seadanya dan secukupnya dalam bingkai layarnya. Walaupun hal ini sedikit disesali (kita tidak diberi nafas jeda oleh Tom Lin untuk mengambil sedikit masa untuk bercerita, menggulati kedalaman imej/latar tempat, dan menggulati keluasan ruang watak-watak ini boleh pergi) namun Tom Lin mempunyai bahasa filemnya yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dengan pilihan Tom Lin, dengan bantuan syot Kartik Vijay bagi menampilkan syot pelanggaran dinding keempat sebagai babak "komunikasi memori" antara Yun Ling dengan adiknya, Yun Hong. Hal ini dibuat dengan wajah watak, secara syot dekat, memandang kita para penonton. Babak awalnya sahaja dimulakan dengan imej ini apabila Yun Hong, yang sedang meluahkan cerita lampau dan cita-citanya tentang sebuah taman Jepun yang hendak dibinanya, menusuk terus matanya kepada kamera, seakan-akan kitalah, para penonton, mengambil tempat Yun Ling yang sedang "menerima dan menyimpan" maklumat impian Yun Hong ini untuk dijadikan sebagai isi memori yang dibawa ke masa hadapan nanti.

Inilah premis besar dan menarik yang cuba dibawa oleh Tom Lin. Tekniknya cukup sederhana, praktikal, tetapi mengimbau kekuatan terhadap penghidupan semula memori-memori - yang akan terlaksana antara impian dengan perasaan/rasa yang dipendam daripada diluahkan. Peran yang akan menampilkan penyampaian memori yang dibangkitkan ini tertumpu pada Yun Hong (yang impiannya ingin dipenuhi kakaknya, Yun Ling), Yun Ling (yang menjadi penerima/penyimpan memori) dan Aritomo (yang mempunyai misteri-misteri yang tersendiri tentang Malaya, tetapi juga pelakar memori penuh seni bagi Yun Ling demi adiknya, Yun Hong).

Dengan sikap yang praktikal dan selamba juga, Tom Lin cuba melaksanakan ikatan antara Yun Ling muda (lakonan terkawal Sin-je Lee/Angelica Lee) dengan Yun Ling tua (lakonan sangat berkesan Sylvia Chang), apabila melakukan imbas bayang dengan babak fade in babak sekarang (1980-an) kepada dahulu (1940-an), dengan melekap susuk imej Yun Ling tua dan muda pada satu bingkai secara posisi huruf "V". Secara tidak sengaja atau tidak, bentuk "V" ini kemudiannya akan dipaparkan, secara khususnya, pada imej Yun Ling muda pada cermin kaca mahupun pintu kaca rumah Aritomo, membentuk poin rujukan transisi transformasi perwatakan muda Yun Ling detik itu. Namun menariknya, bayangan dan susuk fizikal Yun Ling ini ditampilkan bersama dengan susuk fizikal dan bayang imej Aritomo (syot juga memberi ruang untuk menampilkan posisi Yun Ling dan Aritomo sebagai setara, membuang isu Aritomo sebagai mempunyai status lebih tinggi tetapi hanya menurut etika adab guru-murid, juga syot yang menampilkan mereka membentuk huruf "V"atau "M" - proses rundingan/penyatuan jiwa berjalan), bukan sahaja menampilkan bagaimana ilmu dan emosi Aritomo akan "menyatu" dan mempengaruhi prasedar Yun Ling, tetapi bagaimana simpanan dan penyampaian memori yang dinyatakan awal tadi, tidak lagi mengikat hanya Yun Ling terhadap impian-memori adiknya, tetapi secara dinamis, kewujudan, ilmu dan pengaruh Aritomo menyelinap dalam kesedaran memori/jiwa Yun Ling, dengan sisi memuaskan permintaan impian-memori Yun Hong. Maka, entiti komunikasi memori tidak lagi dua tetapi tiga. Impian dan memori yang dipegang oleh Yun Ling sudah memberat pada dua manusia yang dikasihinya. Jika memori Yun Hong terhadap Yun Ling adalah satu nazar cita-cita yang hendak dibangkitkan oleh Yun Ling agar kesiumannya selepas Perang Dunia itu dapat dikutip balik serta menjadi "surat cinta" Yun Ling terhadap mendiang adiknya, Namun memori ini sudah dikacau (atau dikemas kini) dengan kemasukan hidup Aritomo dalam hidup Yun Ling. Hal ini berkait dekat dengan hal kemanusiaan dan ini merupakan keberanian dan kebijaksanaan tinggi Tan Twan Eng dengan Tom Lin (dengan lakon layar oleh Richard Smith): pemegang memori (Yun Ling muda) pada awalnya cuba menggunakan perlakuan kebangkitan memori itu untuk memberi rasionalisasi dan kemudian kesiuman terhadap apa-apa sejarah hitam yang sudah dilaluinya, yang kemudian kebangkitan memori baharu (kemas kini melalui Aritomo) melahirkan suatu perasaan yang baharu; yakni kemanusiaan (pada sisi Yun Ling tua, hal ini dilihat dari sisi cinta antara dua jiwa; hint untuk para penonton, hal ini terletak pada surat-surat banduan). Tom Lin menyatakan: kita, satu bangsa yang pernah melalui penjajahan, dan lebih teruk lagi, peperangan-kezaliman jajahan, yang terpaksa mengambil masa, menyelongkar memori (ingat buku-buku dan rakaman dokumentari yang dibuat tentang Penjajahan Jepun, kolonialisasi Barat?) untuk mencari kesiuman daripadanya untuk move on, bergerak ke hadapan, berubah dengan satu pengharapan yang lebih optimis (dan radikal), yakni, melalui perkongsian memori duka, kita membina jambatan kemanusiaan - kita memberi kemaafan kepada musuh kita sendiri - satu lagi cara untuk kita move on, dan bergerak ke hadapan.

Aku tahu, kehadiran novel Tan jauh lebih kompleks dari hal-hal ini, seperti misalnya, persoalan peleraian memori/kelupaan sejarah apabila Yun Ling melalui penyakit lupa di dalam novel dan cara untuk membangkitkannya kembali dan menjawab mengapa hal ini penting. Malah, dalam filem, persoalan ini yang diringkaskan dengan plot yang terlalu terburu-buru, dengan babak awal filem menggerakkan Yun Ling yang andartu memandu ke Cameron Highlands, memberikan permulaan filem ini suatu gerakan yang tiba-tiba. Jika hal ini dibandingkan dengan sebab-akibat Hanna yang membawa Almasy ke biara kosong, persoalannya tampak lebih jelas. Hal ini ditambah pula, berkemungkinan dengan bajet perfileman ini yang cukup-cukup makan, kita tidak diberikan babak yang spectacle yang biasa dalam filem Lean mahupun Minghella itu. Namun ada kebijaksanaan apabila lakon layar dan cara pengarahan memang menumpukan masa dan motivasi yang cukup antara Yun Ling-Aritomo-Yun Hong sahaja, maka perasaan untuk filem ini terasa perlu dikembangkan secara epik tidak berlaku. Hal ini juga terlihat, bagaimana dalam novel, kita lebih meresapi seni budaya dan falsafah membina taman Jepun "Kabut Senja" Aritomo yang dikerjakan bersama oleh Yun Ling, sedikit sebanyak diberitahu falsafah itu dan ini. Tetapi secara umum (atas desakan durasi filem 120 minit), penyampaian ilmu dan sepatah dua kata bijaksana oleh Aritomo sudah cukup mengesankan bagi Yun Ling/kita, membuahkan makna isi hati Aritomo yang sebenar dan juga menyokong gerakan plot cerita filem.

Aku suka dengan perwakilan keluarga Yun Ling dan keluarga bekas kolonial Gemmell, yang menampilkan, secara tuntutan Barat, bagaimana moden dan plural yang dibawa oleh orang-orang "luar" lalu bermastautin di Malaya ini, membina sebuah keluarga Malaya yang kosmopolitan, terpasak pada tanah air "darah tumpah"nya dan terus berkembang dengan sikap keterbukaan dan pluralnya. Suara ini benar pada bekas-bekas penjajah yang memang mencintai negara ini (seperti Tun Mubin Sheppard dan beberapa bekas residen yang menolak Malayan Union). Begitu juga dengan perwakilan Yun Ling sebagai anak selat yang terpelajar. Melalui mata Yun Ling, anak Malaysia dapat merasai dengan empati suatu pengalaman rasa dan persepsi tentang kemanusiaan sarwajagat yang baharu, walaupun dizalimi oleh zaman dan orang-orangnya. Dalam hal ini, lakonan serius dan belum mekar mendapat pencerahan oleh Sin-je Lee sudah cukup meyakinkan kita, dan bagaimana perasaan gundah, mendapat pencerahan (enlightenemnt) dan juga penyesalan disampaikan dengan baik sekali oleh Sylvia Chang: yang akhirnya dia memahami maksud untuk memaafkan, dan maksud untuk benar-benar disayangi. Hiroshi Abe, juga mengejutkan sebagai Aritomo, pekebun diraja yang dituduh sebagai pengintip Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua yang diminta oleh Yun Ling untuk membina taman Jepun buat mendiang adiknya. Hiroshi benar-benar menjiwai watak seorang lelaki Jepun era puncak Maharaja Jepun Hirohito (yang mereka anggap sebagai jelmaan tuhan) yang setia pada raja, bangsa dan negaranya, tetapi, mempunyai rahsia dan misteri tertentu yang sunyi (yang dibayangkan dalam filem ini sebagai pengkhianatan), tipikal bagi orang Jepun, untuk menampilkan sifat insaniahnya yang begitu halus, diam tetapi pelik dan eksentrik, seeksentrik jati diri Jepun itu sendiri terhadap alam dan perlakuannya. Bagi aku, babak akhir antara Sylvia Chang dengan Hiroshi melahirkan katarsis yang begitu mengesankan, sekali lagi, memberi kaitan pada babak awal filem pabila Yun Hong mendepani kita. Kalau pada awal filem itu, keadaan (yang begitu pilu bersama Yun Hong) itu gelap dan kosong, kini segala-galanya cerah dan siang, malah ternampak satu jalur cahaya yang kuat memancar wajah Sylvia/Yun Ling yang tersenyum, melepaskan satu katarsis pencerahan jiwa, rasa bersyukur dan perasaan memahami dan memaafkan yang sangat berkesan.



Hanya aku sedikit terkilan, berkemungkinan kerana isu tapisan, Tom Lin dan para peran tidak cuba mendalami lagi sisi erotik antara Aritomo dengan Yun Ling, dan imej-imej dan getaran-getaran gerakan yang mampu menimbulkan seni keberahiannya. Hal ini tentu memberi nilai tambah pada cerita romantis-misteri antara Aritomo-Yun Ling.

Produksi busana, lokasi dan seni pengarahan filem ini mencapai tahap yang tinggi bagi filem-filem Malaysia. Kekurangan hanya mungkin buat kesan khas komputer kapal terbang pada era lepas perang. Suntingan Soo Mun Thye cukup dan laju. Kesan suaranya juga cukup baik. Aku cuba menyukai skor lagu Onn San, yang walaupun pada babak tertentu, runutnya cukup memberi kesan emosi, tapi skor Onn San lebih sebagai pendamping dan penyokong pada garapan babak, bukan sangat melodi yang kita mampu ingati. Sinematografi kartik Vijay dari India juga cukup, dan tidak terlalu mengeksotikkan latar Malaya/Malaysia dan cukup fungsional terhadap cerita dan harapan pengarahnya bercerita. Para pelakonnya juga cukup membantu (paling jelas, ramai penonton agak runsing dengan lakonan Julian Sands sebagai Frederick Gemmell yang tua, tetapi aku rasakan, lakonannya cukup untuk keadaan latar dan psikologinya), dan kita akan terlihat Wan Hanafi Su pada satu babak, juga Sai Peng Lee pada satu babak, walaupun kehadiran mereka lebih bersifat cameo.

Filem yang baik ini (antara filem terbaik Malaysia tahun lepas) seeloknya diraikan, bukan sahaja kerana jalan ceritanya, dengan lapisan pengalaman nostalgia dan sejarah berbaur cinta (dan mempunyai lapisan humanisme dalam kaitan kemerdekaan yang kita kecapi), dengan kumpulan kru sebalik tabir dan di hadapan kamera yang berbaur, melaksa, kosmopolitan dan antarabangsa (filem ini turut dibiayai oleh HBO Asia dan CJ Constantin Film), tetapi juga bagaimana sebuah cerita yang baik, yang datang daripada anak warga kita, Tan Twan Eng, mampu juga diulit dan dicorak untuk disampaikan menjadi sebuah karya visual yang baik, dan mampu menyampaikan rasa dan pengalaman yang pancawarna.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas, cadangan seks dan kasar yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

DITONTON DI GSC, Mid Valley (tempat terbaik untuk menonton filem ini, memandangkan tempat lain sudah agak terhad).