Seusai pertemuan kita menghadap layar dinding putih Wayang Budiman di Punca Perdana tempoh malam, sudilah kiranya aku menyampaikan secelup bingkisan fikir, yang terus-terus sahaja menggangguku (seperti mana filem yang kita tonton malam itu, dan filem sebelumnya).
Setelah kaututur dengan jelas sekali, "Tidak ada yang siuman, kufikir, jika ada yang mencabar sinema Lino Brocka (sebagai wakil adikaryawan Filipina era keemasan)." Atas kelemahan diri tetapi gangguku itu, izinkan aku, teman, untuk menyampaikan sedikit buah fikiran serba daif dan hina aku ini akan kemungkinan, terdapat perbezaan dan ketentuan, walaupun mungkin tidak dampak, tetapi tetap kukira penting, untuk membidas akan susuk sinema Brocka dengan temannya (yang juga pengarah sinematografinya) Mike de Leon.
Aku sendiri, teman, memang penggemar dan peminat setia Lino Brocka dan filem-filemnya. Seperti yang pernah kuutarakan sendiri, jika dibandingkan Itim (Hitam, 1977) Mike de Leon dengan Tinimbang Ka Ngunit Kulang (Ditimbang tapi Tiada?, 1974), tema pengguguran anak jauh lebih diselami secara darah dan isi dalam filem sulung Brocka itu jika dibandingkan dengan filem sulung (juga) de Leon (namun aku terpegun akan kematangannya!). Namun ada persoalan yang ingin aku bangkitkan jika dilihat secara retrospektif barisan filem Brocka, walaupun dua daripada filemnya sememangnya filem kegemaran peribadiku (jika tak, tidaklah aku membeli versi BFInya), Maynila: The Claws of Light (1975) dan Insiang (1976).
Aku mengenali filem Filipina pun awal, daripada televisyen sewaktu RTM TV1 pada awal 90-an selalu menayangkan filem Asia Tenggara setiap Jumaat selepas 2.00 petang, dan pernah 10.00 pagi. Aku tidak berapa ingat judul-judulnya, tetapi yang jelas, filem-filem itu melodramatik namun mencengkam pada isu sosial, khususnya kehidupan kelas bawah dan gelandangan Filipina. Mungkin juga pada masa itu aku mengenali Vilma Santos, primadona besar Filipina dan Nora Anour, juga berpuluh-puluh drama siri seumpama sinetron dan telenovela memualkan (namun aku mengaku pengikut Pangako Sa'yo juga suatu masa dahulu) kita.
Dari situ, aku tahu, baik de Leon mahupun Brocka, hendak hidup dalam karyanya, harus jugaMacho Dancer (1988), Hot Property (1983), Cain and Abel (1982), begitu juga dengan Oropranobis/Fight for Us (1989), yang jelas-jelas subversif dan antikerajaan (filem ini diharamkan di Filipina waktu itu) tetap mempunyai buakan imej dan pemaparan yang cenderung melodramatik, dan kalau tidak pun, berlegar-legar dalam kehidupan basa-basi yang cenderung berlaku dalam genre melodrama.
menghasilkan filem-filem "popular" atau "arus perdana", filem-filem tangis-romantis-hidup korporat yang keparat kalangan Filipina muda yang kaya-raya dan cantik-kacak. Dengan filem-filem itu, disulam dengan filem-filem "penting", seperti yang dinamai, Dalam hal ini, aku perhatikan kebanyakan filem Brocka, seperti
Hal ini seakan-akan Brocka, walaupun bersulam-sulam filem serius dengan filem popular, gaya "populis" itu tidak meninggalkan filem-filem sok seriusnya. Malah, dalam Maynila, kita akan mengingati satu babak imbauan-khayalan panjang daripada Julio yang teringatkan aweknya (imbauan ini berjustifikasi kerana menjadi sandara khayalan yang kemudian menemui matlamat impian Julio pada puncak filem, sila dengar-lihat cara runut bunyi disertakan dalam filem babak ini). Dalam Tinimbang, dengan jelas kisah muda-mudi sekitar watak Junior ditumpukan, khususnya perhubungan "cinta monyet"nya bersama Evangeline berbanding kisah yang melingkar Bertong dan Kuala. Macho Dancer sendiri, yang seperti bayangan kembar kepada Maynila (yang jauh lebih gah), merupakan, maaf kata, male gazing Brocka terhadap lelaki yang lewah (kita tahu beliau homoseksual), dengan subplot kisah cinta heronya Pol yang panjang dan meleret. Tidak ada cacat celanya Insiang bukan? Tetapi lihat, Brocka memasukkan pula babak mengelamun (walauapun hal ini tidaklah begitu melonggarkan naratif filemnya) Hilda Koronel berjalan sebalik langit jingga dengan runut bunyi sedih yang panjang. Babak ini tidak salah tetapi sesiapa yang menuruti filem-filem Douglas Sirk, akan tahu babak-babak melodramatik sebegini dipinjam dari mana.
Aku jauh hendak menyalahkan Brocka, jauh lagi hendak menyatakan hibrid gaya ini tidak sesuai, malah jelas, filem-filerm Brocka jauh lebih dekat dengan rakyatnya jika dibandingkan dengan Mike de Leon. Namun, kita memahami, dengan konvensi yang dipegang oleh Brocka ini, menjadikan filem-filemnya memasyarakat, yakni senang didampingi oleh penonton biasa dan orang kebanyakan. Dengan itu, kita boleh tanggapi, bukan susah hendak menonton filem-filem Lino Brocka. Papar imej dan naratifnya timbul secara semula jadi, you get what you see, terpampang dengan jelas (tertelanjang jelas) untuk sesiapa menikmatinya. Mudah diikuti, terpampang dan mengalir jelas.
Dalam filem Mike de Leon, you also get what you cannot see.
Saat temanku,
Sewaktu aku duduk membonceng motosikal kawanku kembali ke rumah malam itu, aku merenung dua perkara yang jelas apabila melakukan sintesis terhadap kedua-dua filem de Leon dengan filem-filem Brocka.
(1) Dalam sebuah babak atau garapan babak de Leon, kita akan mendapat resepsi emosi atau rasa yang berbeza-beza atau pancarasa. Mungkin inilah mengapa, debat kita terhadap Itim de Leon malam itu terlalu luas dan merawak untuk menentukan kategori genre filem itu, sedangkan Dr. Norman Yusof menyatakan dengan jelas bahawa filem itu sebuah filem seram. Ini adalah kerana cara de Leon membingkai, menggarap dan menentukan tempo filemnya. Dan, hal ini calang-calang sekali dibikin oleh seorang pengarah. Malah hanya karyawan yang tinggi nilai sinematiknya mampu melakukannya.
Kefahaman ini hanya dapat dialami oleh pengarah yang benar-benar mahir dalam bahasa filemnya, dan mempunyai "gaya", dan selalunya berani melawan konvensi yang biasanya sudah ditentukan oleh satu-satu pengkaedahan membikinnya. Untuk Itim misalnya, kita boleh pecahkan hal ini sebagai [i] tidak ada satu babak seram-kejut dalam Itim, [ii] bermain dengan atmosfera, mainan mimpi dan turutan naratif-penyiasatan daripada kesan penjelmaan hantu, [iii] mengikat filem dengan babak sekarang dan lampau melalui imbasan. Kaedah de Leon ini malah menyusun cerita Itim itu seperti sebuah novel penyiasatan, dengan sikap nostalgia anak kota kembali ke halaman kampung yang biasa kita temui dalam novel-novel Sionil F. Jose. Semuanya dilakukan dengan tingkatan bongkar-cerita yang bergerak setapak demi setapak, langsung tidak memecut seperti kebiasaan fizikal filem seram.
Jonathan Glazer merupakan contoh baik dalam perbincangan ini. Dengan sikap melawan, Glazer mempamerkan Under the Skin (2013) dengan gaya yang melawan konvensi seram-fiksyen sains yang biasa, dengan memberikan ruang POVnya bertimbal balik antara Scarlett Johansson dengan mangsa-mangsanya (dan kemudian pemangsanya). Seram yang dibina bukan seram sembarangan (atau kengerian untuk merasai survival hidup) tetapi seram yang sesak dan mencungap, dan kadangkala memerangkap kita terus. Begitu jugalah dengan Itim yang tidak mahu berdiri biasa seperti orang lain tetapi tetap bersahaja melahirkan perasaan seriau (creepy) pada bahagian-bahagiannya yang tertentu, tetapi keterasingan, khianat, sunyi, nafsu dan misteri pada babak-masa yang sama (dan bagi audiens lain, turut juga berkemungkinan spiritual). Semua perasaan ini bercampur-baur membina suatu rasa sinematik yang berlapis-lapis.
(2) Bercakap tentang lapisan, Mike de Leon telah menghasilkan suatu wacana filem yang berlapis-lapis untuk hanya sebuah imej kerana caranya [i] menyusun letak koda atau imej/objek dalam bingkai filemnya dan bagaimana koda-koda ini berkait-kembang; dan sesuatu yang tidak dibuat oleh Brocka, [ii] Mike de Leon bersikap membiarkan (reserve) keberadaan imej gerak filemnya hidup/menyatakan (perform/resolve) keberadaannya. He let it as it is. Ini adalah kekuatan yang jarang-jarang sekali wujud dalam seorang pembikin filem. Hanya satu dua pengarah yang kita mampu menemuinya, seperti Stanley Kubrick, David Lynch, Terrence Mallick dan Paul Thomas Anderson. Sebenarnya, jika diteliti, atas pengawalan yang sangat tinggi dan terlampaulah satu babak terasa "hidup dengan sendiri"nya. Mana-mana filem Kubrick mempunyai nilai sebegini - sebuah babak, atas dibiarkan berlalu, memberi seribu bahasa dan makna. Memang kata kunci bagi para pengarah ini, seperti cara Mike de Leon, adalah "menangguhkan jalan misteri" atau "show many, but don't talk about it". Namun, inilah yang "membina" sebuah karya yang mampu merembeskan pelbagai wacana interpretasi dan perbincangan. Inilah kekuatan besar Mike de Leon.
Lihat sahaja dalam Batch '81, yang seperti malam itu, mampu memberi pelbagai sudut bacaan disiplin, dan kesemuanya diterima, dan kesemuanya meyakinkan. Ambil sahaja aspek jantina (gender) yang jelas disusun-sulam dengan begitu teliti, dari awal babak hingga akhir, dengan pemaparan yang terkawal dan saling berkait sekali tetapi juga bersahaja dan tidak menjerit-jerit keberadaannya untuk dinikmati (penonton yang tidak menyukai rupa bentuk imej-gerak sebegini akan menuduh filem dan pengarahnya dingin - seperti mana kebiasaan yang kita dengar dilemparkan terhadap Kubrick dan Thomas Anderson). Malah, dari situ, kita dapat membaca kritikan besar de Leon terhadap suara wanita yang tidak mampu mempengaruhi ruang impian-matlamat-perjuangan sang lelaki dalam filem itu, menimbulkan suatu perasaan diktonomi jurang yang jelas, yang akhirnya menimbulkan kritis politik kejantinaan yang jelas terhadap bagaimana lelaki tidak pernah adil terhadap ruang dan institusi suara wanita, malah memomokkan keberadaan fizikal feminiti itu sebagai hanya suatu "pertunjukan" semata-mata buat mereka (merujuk babak persembahan muzikal Cabaret dalam filem itu - satu lagi penonjolan, de Leon tidak saja-saja memilih subjek dan settingnya, seperti mana susun letak persembahan barisan rentak sehati sejiwa orang asli di awal, mak nyah di tengah, dan rock campur demonstrasi keganasan di akhir: dengan jelas menyatakan bukan sahaja naratif keseluruhan filem itu tetapi kitaran ganas yang digerakkan oleh kumpulan manusia lelaki muda ini apabila memasukinya dan tidak mampu dan tidak mahu terkeluar daripadanya lagi. Kita tangkap hal ini sebagai koda bacaan yang berbeza kerana tidak ada sekali pun kita dimaklumkan kumpulan fraterniti mana yang juara malam itu - kerana semuanya untuk ditonjolkan, bukan kepentingan kemenangannya). Tetapi lihat, dari situ pula, ia membuka persoalan wacana lain, dari segi lambang fasisme Nazi yang terpapar - yang berkait pula dengan tema besar filem itu (setiakawan/brotherhood) dan kumpulan fraterniti (persatuan mahasiswa) - yang membuka pula kritikan politik dan mekanisme kepolitikan.
Dalam perkiraan aku, karyawan sebegini bila berkraf, setiap imej yang dipaparkan, awal ke akhir, terhimpun dalam kepelbagai warna, objek, syot dan bayang dan cahaya, penting, bermakna, bercerita. Tidak ada imej yang lewah dan dibazir-bazirkan. Baik diperpanjangkan atau dihimpitkan detiknya, semua membawa makna. Semuanya bercerita; dengan sikap paling artistik terhadap rupa jiwa hakikat sebuah wayang.
Dalam perkiraan aku, karyawan sebegini bila berkraf, setiap imej yang dipaparkan, awal ke akhir, terhimpun dalam kepelbagai warna, objek, syot dan bayang dan cahaya, penting, bermakna, bercerita. Tidak ada imej yang lewah dan dibazir-bazirkan. Baik diperpanjangkan atau dihimpitkan detiknya, semua membawa makna. Semuanya bercerita; dengan sikap paling artistik terhadap rupa jiwa hakikat sebuah wayang.
Saat temanku,
Memang mungkin, penulisan warkah ini belum lagi sempurna dan jauh daripada adil kerana kita (atau aku sahaja) hanya sempat menonton dua filem Mike de Leon sahaja, dan itu pun filem-filem baiknya (dan belum lagi, [adakah?] filem buruknya).
Hanya temanku Saat, kuharap, dengan warkah serba daif ini, dapatlah kita, sekurang-kurangnya memberi renungan sedikit atau peluang, betapa besar kemungkinan susuk-susuk pengarah Filipina era 70-an hingga 80-an ini mengejutkan kita dengan nafas dan bahasa filemnya yang bernas dan jernih. Dan seperti Mike de Leon sendiri, yang mampu menghasilkan filem sulungnya sematang Itim itu, dan kemudian sebuah adikarya dalam Batch '81 yang mempesona kita. Mata kita hanya mampu melopong dan menunggu katarsis seterusnya. Bayangkan sahaja, dan tangisi nikmatnya.