05 September 2016

Senarai Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016

It's back!







Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur mengeluarkan senarai pendek pencalonan untuk Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016. Penerima anugerah berkenaan mengikut kategori masing-masing akan dimaklumkan pada bulan Oktober 2016. Setakat ini, kami mendapati terdapat sekurang-kurangnya 61 filem yang melalui skim wajib tayang dan telah ditayangkan pada bulan September 2015 hingga Ogos 2016. Semuanya melalui pertimbangan dan penelitian khusus.

Di sini, kami sertakan senarai pencalonan, seperti yang berikut:

Senarai Calon Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016

PENGARAH TERBAIK

Shanjey Kumar Perumal untuk Jagat
Wan Hasliza Wan Kamarudin untuk Love, Supermoon
Chiu Keng Guan untuk Ola Bola
Ghaz Abu Bakar untuk Polis Evo
Tunku Mona Riza untuk Redha

PELAKON LELAKI TERBAIK
Jibrail Rajhula untuk Jagat
Harvind Raj untuk Jagat
Namron untuk Redha
Tommy Tam untuk The Kid from the Big Apple

PELAKON WANITA TERBAIK
Nadiya Nisaa untuk Love, Supermoon
Junainah Lojong untuk Redha

SINEMATOGRAFI TERBAIK
Senthil Kumaran Muniandy untuk Jagat
Chin Ting Chang untuk Ola Bola
Mohd Shah Faizul untuk Dukun Doktor Dani
Yung Chong Soon untuk The Kid from the Big Apple
Rahim Maidin untuk Munafik


LAKON LAYAR TERBAIK
Shanjey Kumar Perumal untuk Jagat
Joel Soh, Kyle Gounting, Anwari Ashraf dan Adib Zaini untuk Polis Evo
Tunku Mona Riza untuk Redha
Wan Hasliza Wan Kamarudin untuk Love, Supermoon

PELAKON PEMBANTU LELAKI TERBAIK
Kuben Mahadevan untuk Jagat
Senthil Kumaran Muniandy untuk Jagat
Bront Palarae untuk Ola Bola
Amerul Affendi untuk Dukun Doktor Dani

Harith Haziq untuk Redha

PELAKON PEMBANTU WANITA TERBAIK
Anne Ngasri untuk Love, Supermoon
Nabila Huda untuk Munafik

Nadiya Nisaa untuk Redha

FILEM TERBAIK
Jagat (A. Anandan, Pasupathi Sithamparam, Mageswari Anandan, Anbalagan Anandan, Sivanantham Perianan dan Shanjey Kumar Perumal sebagai penerbit)
Ola Bola (Najwa Abu Bakar, Tung Yow Kong dan Steven Lim sebagai penerbit)
Love, Supermoon (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Mohamad Anizan Sarif dan Shah Hassan sebagai penerbit)
Redha (Shaby Maharom, Ku Mohamad Haris dan Tunku Mona Riza sebagai penerbit)



Senarai dalam blog rasmi di sini.

02 September 2016

Pekak (2016)


Ya Allah, inilah pertama kali sebuah filem dengan nama pengarahnya panjang ya amat nak sebut: Mohd Khairul Azri Md Noor (tengoklah, lepas ni mesti pengarah muda ni akan pendekkan namanya nanti)! Satu lagi filem nasional yang sedang bermain di pawagam sekarang pascaisu FFM, dengan penggunaan sedikit sebanyak 60-70% nampak-nampak macam bahasa Melayu, dengan campuran slanga anak kota dan bebudak dadah. Ini sebuah filem kategori "mesti tonton" kerana sah-sah mempunyai naratif dan pengalaman sinema yang harus masuk dalam senarai pencalonan akhir FFM tahun hadapan, khusus dalam beberapa kategori kerana diulik, dibentuk dan disampaikan dengan kerahan tenaga dan kebijaksanaan.

Menonton filem ini, aku terimbau dengan filem noir P.Ramlee, Dr. Rushdi (1970). Filem ini merujuk filem lama yang tidak diingati pasca Jalan Ampas itu dalam dua perkara. Dengan kehadiran minimalisnya, beberapa penggunaan ruang dalam pemaparan sempit (hal ini jelas dibuat untuk struktur pelan bilik-rumah Uda), dengan pelakuan empat pelakon utama, atau khususnya, dua orang (Zahiril Adzim sebagai Uda, Sharifah Amani sebagai Dara), dengan kecelaruan hidup dan penentuan yang tidak menentu untuk hero/antiheronya, jelas-jelas ini filem noir, atau yang tidak suka ia digolongkan sebegitu, neonoir; cukup elegen lagi dengan hembusan rokok si wanita, Sharifah Sakinah (dia amat menyerlah) dalam baju sekolah menengah terbuang tudung sambil menghulurkan kotak kondom kepada kawannya untuk dicuba. Jelas-jelas femme fatale alaf baharu Malaysia!

Kedua, filem ini, dengan (mungkin) inspirasi naskhah "klasik moden" Sasterawan Negara Usman Awang, drama "Uda dan Dara", mengambil motif dua nama watak teraju utama filem ini, mengimbau kisah lokal tragis Romeo dan Juliet kita, dalam hal ini, suatu perjalanan pedih seorang lelaki yang cuba menyarung pakaian roman, untuk memegang cintanya di dalam tangan. Jika kita merujuk Dr. Rushdi, ada seorang watak filem itu, Ed Osmera, yang jelas-jelas merepresntasikan kembali watak Uda. Dengan sikap pesimis dan amat radikal, Ed dibayangkan sebagai watak tragis, bersikap harapan tetapi semuanya dibunuh oleh masa dan keadaan, lalu Ed hancur luluh, menunjukkan jalan kepada watak P.Ramlee bahawa dunia ini sudah hilang sifat romantisme dan cita-citanya (pasca 13 Mei?). Hal inilah yang dibawa kuat dalam filem ini, sebuah filem "radikal" cinta, yang masyarakatnya (dalam hal ini, sisi anak muda urban, dan segolongan hedonis) selalu menyoal dan bersinikal, kurang berharap, "Masih adakah cinta sebenar?" - persoalan yang sama menyoal keadaan wayang Malaysia/Melayu sekarang - "Ada tak penontonnya? Boleh ke wayang kita hidup?"


Harapan tinggal di mana? Di dalam Uda, kemudian Dara, yang jelas-jelas, sengaja dimainkan sebagai anak bermata sinar, bulat dan luas, seakan-akan menangkap segala warna dan cahaya latar luas dunia ini, ditambah dengan "matlamat" mendengar (Uda ingin menyimpan duit dengan menjual dadah, disebut "pusher", untuk membuat pembedahan telinga pekaknya). Kita mudah melihat filem ini dalam skop realiti sosialnya, khususnya moral dan etika anak muda kota yang goncang, beribu bapa tunggal yang tinggal di flat-flat (filem ini jauh lebih baik daripada Anak Halal dalam percubaan meromantis-realitikan nafas orang muda kota, dengan premis yang seakan-akan sama), lalu banyak persoalan didaktik yang akan menggema (melihat filem itu dengan kaca mata ini terlalu mudah walaupun perlu). Yang lebih menarik ialah melihat filem ini dengan kanta sinema yang hakiki, yakni dua representasi wayang, Uda dan Dara dan dunia yang dilatarinya. Dunia mereka hirup kini sumbing atau tidak sempurna (ketiadaan bunyi dari sisi Uda), maka dua insan ini, sepertimana, mana-mana sarwajagat dunia anak muda apabila dua insan bertemu, perlu menyatu, agar kosmos wayang itu disempurnakan, walaupun dengan onak duri. Onak duri, halangan dan dramalah yang membuatkan pesona wayang antara Uda dengan Dara ini menarik.

Lebih menarik lagi, jika kita menonton filem ini dalam kaca mata Uda; Uda memahami dunia dalam tiga bentuk utama yang jelas, manusia difahami secara komunikatif melalui gerakan mulut (bibir dan mulut tidak menipu?), namun itu hanya untuk "rezeki" (yang kemudiannya komunikasi dengan Dara); kedua, dunia Uda ialah dunia serba warna yang bisu. Uda memilih apa yang perlu diambil dan dibuang, yang sedikit demi sedikit, setelah menemui Dara, turut meluaskan ruang dunianya, mula mempunyai penghakiman nilai. Ketiga, kerana sifat Uda yang pekak, Uda melihat sesuatu yang berbeza atau "baik" dalam objek dan orang. Manusia biasa tidak akan sanggup berdiri di hadapan kereta api laju, tapi Uda tanpa suara, merasai deru angin yang kuat, memberinya suatu "sentuhan" bahawa dunia ini dapat dinikmati dalam bentuk-bentuknya, atau "worth living". 

Uda di sini, sebenarnya, sinema anak muda. Sikapnya romantis (pilihan lagunya saja kita sedar, rujuk liriknya) dan di sini, kita faham: Uda/orang muda idealis. Harapannya juga meninggi, satu sifat romantis yang jelas. Ada perjalanan dalam Uda (hero's quest: dapat duit, dapat dengar suara Dara), seperti sinema orang muda juga, lantas juga, dengan komunikasi dan perhubungan, sinema anak mudanya meluaskan kefahaman dan estetika akan dunia.

Maka cara sebab akibat dan pemilihan karya Mohd Khairul Azri Md Noor yang menjadikan Uda/sinema ini intrig dan dramatik. Apa yang menariknya lagi, watak-watak ini watak-watak lemah yang penuh masalah, bersifat manusia yang terlalu mencari, tidak sempurna, mempunyai ketidakyakinannya yang tersendiri. Mereka bertindak bukan atas pilihan moral, tetapi keadaan yang tidak terikat dengan bimbingan. Tidak ada maksud baik/jahat dalam hal ini, atau semuanya jahat, atau semuanya hanya manusia. Sakitnya apabila Uda/sinema anak muda mendepani realiti dunia yang hitam, kapitalis, bingit, menyakitkan, dan menghasilkan sebab akibat yang tidak menentu. Khairul memaksa kita, penonton, menghadapi realiti ini. Kalau berdarah pun telinga, berdarahlah. Adalah pilihan dalam diri kita untuk memilih jalan yang diambil oleh Uda (pengarah dan penulis skripnya), atau, dengan cara kita sendiri. Namun yang lebih penting lagi: adakah kita masih boleh berharap dan idealis selepas mendepaninya?

Begitulah dialektiknya Pekak. Walaupun watak utamanya tidak mengutur satu patah perkataan pun, ia sebuah sinema yang berkata-kata, dan kata-katanya tersusun, dalam kata demi kata yang pendek, padat, tapi meruntum kita untuk mendengar dan berbalas katanya. Dalam satu babak saja, tanpa perlu banyak syot hebat, menjadi antara babak bersejarah dalam sinema kita, yakni, antara Dara dengan Uda apabila Uda menekap baju belakang terkoyak Dara dengan tag nama Dara yang tercicir. Babak ini mengharap sekali gus "mengajar", dan bagi manusia melata seperti Sharifah Sakinah, tentu hal sebegini makan dalam (kecuali mereka tetap "memekakkan" diri). Pertama kali aku tonton babak itu, aku menangis.

Dengan jelas, kekuatan filem ini sememangnya dibantu oleh kekuatan lakonan minimalis Zahiril, dengan mimik mukanya menjadi panduan naratif utama kita. Kemudian Sharifah Amani, yang mula-mulanya aku meluat juga melihat dia di-typecast (asyik-asyik budak sekolah), namun perwatakan yang dibawanya kali ini, yang sama-sama naif seperti Zahiril mempesonakan, tidak terlalu "bijak" dan jawab balik. Amani seorang mangsa dan fallen women yang baik. Kita juga dikejutkan dengan kehadiran pelakon baharu, Sharifah Sakinah, kawan kepada Dara (atau pengguna Dara), femme fatale jelas filem ini, menyerlahkan keadaan dirinya dengan betul dan bersahaja, tanpa perlu melebih-lebih. Seperti biasa, Amerul Affendi sekali lagi memberikan suatu definisi baharu terhadap lakonan, dan walaupun aku tahu Amerul tidak susah untuk berlakon apa yang dibuatnya di sini, dia menyerlahkan ruang hubung dan lakonan orang lain yang mengelilinginya. Juga mengejutkan, lakonan Joe Flizzow yang terkawal, yang secara tidak rasmi menjadi Yoda-Gandalf jahat dalam hero's quest Uda (aku sangat suka dengan sikap Alfie dan Shahril yang banyak melawan stereotaip sinema lama kita dalam hal ini, dalam filem ini, semua manusia dan keadaan berbahaya dan mencurigakan tanpa perlu memakai tatu dan berslanga "Lu gua"). Kemudian, filem ini juga dibantu oleh lakonan mantap Iedil Putra dan Zaidi Omar.

Secara teknik, tampak Pekak menyerlah sebagai cuba memberi keindahan dalam pengalaman menonton wayang. Sinematografi S'ham Mokhtar yang bertona ungu kelabu biru, dengan syot-syot dinamis, membawa naratif filem ini secara bersahaja, berdebar dan beremosi. Loque sebagai pencipta skor filem ini dengan jelas, antara pencipta muda yang menempa nama sebagai pemuzik yang melatar suara yang baik (kita pernah jumpa suara ini dalam Songlap). Suara elektronik bercampur piano dan dramnya membina mood dan cahaya filem, menguatkan lagi semangat romantisme Uda yang diuji . Latar tempat juga sesuai dengan pembinaan dan penyampaian cerita. Filem ini walaupun sengaja menggunakan tona gelap campur romantis (love in acid?), menampilkan getir dan sakitnya dalam keindahan, seperti sikap Uda yang mengimbau tetapi tetap berharap.

Mungkin filem ini secara keseluruhan, tidak benar-benar menjawab pelbagai lagi soalan dunia dan masalah sinema, namun aku pernah bertanyakan persoalan hidup mati wayang kita. Jelas, filem ini menampilkannya, walaupun sedikit, terasa kehadirannya.

Antara filem terbaik Malaysia tahun ini.