21 December 2015

Jagat(2015): Jejak Suri Teladan


Rasanya, dengan penuh sedar, Shanjhey membikin filem neorealis yang penuh jiwa kemanusiaan ini sebagai homaj terhadap Satyajit Ray dan Pather Panchali (1955), apabila budak protagonis (lakonan amatur tetapi baik Harvind Raj) dalam filem ini mempunyai gelaran yang sama (Apoy) walaupun namanya Shankar, yang juga diberikan satu babak kereta api sebagai ruang permainan. Oleh sebab Apoy dalam judul "Jagat" (yakni "jahat" dalam slanga Tamil, yang juga bererti alam dalam bahasa Melayu), Apoy perlulah berbuat sesuatu "di luar batasan" gerakan masa dunianya (kereta api) lalu meletakkan batu-batu besar di atas rel kereta api sebelum kereta api merempuhnya, lalu dia berlari, bercangkung, menunggu, dengan telinga tertutup.

Betapa indahnya.

Filem ini (yang seeloknya masuk Berlinale dalam kategori yang sama dengan Mukhsin tahun hadapan), atas kanta anak kecil, dengan sikap yang penuh naif tetapi beraspirasi, meneliti, merasai, dan memahami "kejahatan" dan sengsara realiti dan sosialnya, melalui suatu singkapan yang menarik: mencari manusia dewasa yang sepatutnya dijadikan sebagai insan suri teladan (idola) untuk dirinya, Apoy, supaya menjadi manusia dan dewasa.

Dengan awal lagi pun, Shanjhey sudah melakukan jukstaposisi Apoy dengan masyarakat India zamannya (aku syak tempatnya di Perak, walaupun diletakkan hanya "Utara Malaysia") dengan babak pengenalan yang berkesan. Kita dipamerkan Apoy yang menonton televisyen (ada suatu dialog yang begitu mencuit apabila dia bertanya kepada pak ciknya, "Boleh tak kita hanya belajar dengan menonton televisyen saja?"), menekuni idola hero Tamilnya. Ini hiburan Apoy, tetapi (ingat), ini juga ritualnya. Apoy memerhati ke luar, satu rombongan orang kampung meraikan ritual kavadi (babak ini juga penting sebagai memahami watak dunia ini sedang menyampaikan korbannya kepada Murugan supaya permintaannya termakbul), suatu "pesta" dan ritual yang hanya diperhatikan oleh Apoy. Di sini sahaja, dengan gaya kelam cahaya dan bayang, kita sudah memahami sikap "ketepinggiran" dan terperangkap yang akan dilalui oleh Apoy, perbezaan Apoy dengan masyarakatnya melihat dunia, dan bagaimana jauhnya Apoy dapat mencapai apa yang diingini dalam hatinya.

Apa yang sangat baik akan filem ini ialah perpecahan-penjalinan cerita dan cara Shanjhey mengawal setiap liuk dan perkembangannya. Filem ini, tampak, jauh meninggalkan Chemman Chaalai (2005) dari segi naratif dan penceritaan (malah perkara yang paling dipuji ialah mengelak daripada menggunakan unsur melodrama biasa yang melanda filem Tamil). Semua kisah yang bergerak ditentukan oleh sebab-akibat wataknya terletak pada tempat yang seeloknya, dan semuanya mengikut gerak-akibat yang tersimpul baik. Malah subplot yang diusahakan diselesaikan dengan baik sekali bagi kisah tiga adik-beradik, Maniam (Kuben Mahadevan), ayah Apoy, Dorai/Mexico (lakonan sangat berkesan oleh Jibrail Rajhula), dan Bala (lakonan diam tetapi sangat kuat oleh Senthil Kumaran Muniandy), dengan sengketa/cabaran dan motivasi masing-masing. Hal yang mengikat ketiga-tiganya dengan fokus terhadap reaksi-motivasi Apoy, yang melihat, memerhati dan mencari suri teladan daripada tiga watak lelaki yang paling dekat dengannya. Hal ini menjadikan Shanjhey seorang penulis cerita yang perlu dihormati kerana berjaya menyulam ceritanya dengan serealistik dan selancar mungkin. Seorang pembikin filem muda yang amat ditunggu-tunggu atas ketelitian dan kebijaksanannya menyulam kata dan cerita.

Shanjhey bukan sahaja berjaya meletakkan hal cerita dengan baik, tetapi dengan kritikan jelas, menyampaikan hal politikal yang menganggu golongan terpinggir India tempatan apabila estet mereka dijual dan terpaksa hidup merempat di sisi kota dan membuat kerja daif dan buruh. Malah, itulah "kejahatan" sebenar yang mengelabui Apoy menemui suri teladan sebenarnya, dan memagar dirinya daripada menerima permintaan daripada dewa Murugan. Hal ini menarik lagi apabila watak-wataknya tidak dungu. Mereka matang menghadapi kesusahan, malah mereka hebat berhikmah akan hidup (rujuk dalamnya maksud Bala akan ciptaan alam laut dan gunung oleh Tuhan, ini mendekati humanisme Rosseau) dan memaparkan maruah yang kuat (rujuk cara Maniam dan isterinya menyelesaikan isu adiknya di penjara). 

Budak sekolah jahat, guru tanpa kasih-sayang, dadah membunuh, hidup samseng, pelacuran, kesempitan wang, semuanya hanyalah gula-gula hidup, gula-gula realiti sosial yang dikumam dan dimakan sehari-hari, membuat hidup mereka tidak berubah, terus sengsara (dengan baiknya, dirujuk pada ritual minum arak), sedangkan "sampah" atau penyakit sebenar yang diberikan (dan hanya suara sang politik sahaja yang berkata-kata tanpa makna di corong radio, tidak menjawab persoalan sebenar imej yang dipaparkan) jauh lebih serius dan menusuk ke dalam roh dan jiwa Apoy dan keluarganya. Filem ini jelas lebih matang apabila ia tidak sahaja memaparkan (jauh daripada berdakwah) kebobrokan hidup, tetapi watak dewasanya jelas sedar mendepani akan bahaya dan risikonya racun-racun dunia yang mengelilinginya (terdapat babak baik Maniam yang menyedari bahaya arak kepadanya), tetapi racun-racun ini, atas desakan suasana, tetap memerangkap manusianya untuk tidak keluar daripada ruang penjara yang sudah ditetapkan oleh sistemnya, walaupun mereka berilusi dapat keluar untuk sementara waktu. Mungkin, jawapan harapannya terletak pada Apoy. Dengan sedikit kesedaran kreatif dalam jiwa manusia, Apoy dapat melihat dirinya dalam cermin, dan dia dapat mengubah hidupnya. Simbolisme ini sekali gus indah dan memeritkan, menangkap maksud mendalam Shanjhey akan garis halus ilusi impian dan realitinya.

Teknikal filem ini tidak sempurna, jelas terlihat dalam suara, suntingan, dan tumbukan anginnya. Aku maafkan hal ini, bukan sahaja atas alasan neorealisme tetapi kekangan yang perlu diambil oleh kru untuk membikin krafnya sebaik mungkin, yang jika pengarahnya menekan lagi untuk kesempurnaan, mungkin mengambil masa sepanjang pembikinan La Strada dan Pather Panchali. Lakonannya amat baik dan berjaya menampakkan suatu tonjolan watak yang bulat. Space Gambus Experiment menyampaikan runut bunyi atmospheric yang cukup bergerak dengan imej.  Sinematografi Senthil Kumaran (yang juga berlakon sebagai Bala!) cukup berkesan dalam memahami tangkapan bayang, alam luar dan dalam, serta pembuakan emosi. Kerjanya suatu kenikmatan dalam sinema kita.

Aku amat mengingati babak Apoy, membuat panggilan palsu di talian kecemasan, dan menangis semahunya. Untuk babak itu, filem ini akan menjadi klasik.

Antara filem Malaysia terbaik tahun ini.