Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur mengeluarkan senarai pendek pencalonan untuk Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013. Penerima anugerah berkenaan mengikut kategori masing-masing akan dimaklumkan pada bulan Oktober 2013. Setakat ini, kami mendapati terdapat 73 filem yang melalui skim wajib tayang dan telah ditayangkan pada bulan September 2012 hingga Ogos 2013, tidak menolak beberapa filem terbitan tempatan bukan berbahasa kebangsaan, filem animasi, serta filem bebas yang tidak dimasukkan. Semuanya melalui pertimbangan dan penelitian khusus.
Setakat pemerhatian kami, kuantiti tayangan filem tempatan mendadak naik daripada tahun lepas setelah penganjuran dua filem tayangan seminggu dijalankan. Banyak filem bergenre dalam landasan kotemporari menjadi pilihan para pembikin. Tema sihir, tahyul, dan gangsterisme mendapat tempat teratas, selain percintaan dan persoalan moral dalam Islam turut dicitrakan. Paling menarik, terdapat beberapa penampilan sarana kumpulan minoriti terhadap wahana sosial sekarang yang ditampilkan. Peningkatan penayangan filem tempatan berbahasa ibunda serta "percubaan" filem adaptasi karya kreatif pada tahun lepas dan tahun ini juga amat membanggakan. Percubaan penerbit terbesar negara, MiG untuk meneliti cerita melangkaui pembikinan harus diberi pujian kerana terdapat beberapa filem perdananya yang mempunyai penceritaan yang baik dan tersusun, walaupun bukan terbaik dari segi inti pati (substance).
Dalam pemerhatian kami pada tahun ini, kebanyakan filem yang diharapkan dapat merentasi suatu mutu dan kekuatan yang boleh diiktiraf menjadi suatu permintaan yang sia-sia. Indah khabar daripada rupa. Perkara ini suatu sesalan dalam kumpulan filem yang banyak pada tahun ini. Kami turut mendapati bahawa kebanyakan filem membawakan idea dan cerita asal yang menarik, namun tidak mampu digarap dengan betul dalam beberapa perkara yang jelas, mengganggu pelancaran bentuk hasil akhir sesebuah filem. Mise-en-scène yang sepatutnya tidak dapat dirasai. Masalah ini ditambah dengan kekurangan fahaman tentang bentuk (form) filem, yang tidak menyampaikan jiwa dan kesinambungan teknik terhadap kandungan, menyebabkan inti patinya tidak begitu baik (mediocre). Masalah ini mencacatkan pencitraan filem berkenaan. Hal ini tampak jelas dalam beberapa filem adaptasi, yang jelas mempunyai idea asal yang menarik dan dapat diperkembangkan dengan intepretasi lakon layar baharu namun menjadi sebaliknya.
Atas sebab ini, dari segi mutu, kami merasakan kekuatan filem mutakhir ini agak merosot. Senarai filem yang keluar pada tahun ini antara yang terlemah dalam sejarah filem Malaysia. Tidak ada yang "stand out" dan dapat dibanggakan, sampaikan kami terpaksa menimbangi perkara yang sekurang-kurangnya kecil dan khusus sebagai merit terhadap kepentingan wayang dan pengalaman wayang.
Kami juga amat terganggu dengan suara penguasa dan pencatur politik yang cuba "masuk campur" dalam pengalaman pewayangan tempatan dengan alasan tetek-bengek yang tidak munasabah. Kami ingin menyuarakan pandangan mutlak, bahawa suara penguatkuasa dan politik perlu berada di luar budaya pembikinan dan apresiasi wayang. Filem ialah filem, karya yang memberikan reaksi, renungan, dan intepretasi terhadap sesiapa yang menonton layar tebarannya. Malang untuk filem seperti Tanda Putera dan Kampung Baharu/The New Village dipaksa masuk ke dalam kancah pempolitikan oleh mana-mana pihak dan dihakimi dengan pelbagai label dan kenistaan. Masyarakat perlu bergerak ke luar dan maju. Menuduh sesebuah filem "berdosa" sebelum menontonnya, seperti kes yang berlaku terhadap filem dokumentari, Lelaki Komunis Terakhir (2006) menampilakan kematangan sebenar penonton tempatan sekarang. Filem hanya dinilai atas baik atau buruknya, tidak ada cara lain lagi.
Di sini, kami sertakan senarai pencalonan seperti yang berikut:
Pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013
Pengarah Terbaik
Nik Amir Mustapha untuk KIL
Bernard Chauly untuk Istanbul, Aku Datang!
Mamat Khalid untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
M. Subash Abdullah untuk Misteri Bisikan Pontianak
Esma Daniel untuk Zaiton, Ceritaku
Pelakon Lelaki Terbaik
Beto Kusyairi untuk Istanbul, Aku Datang!
Redza Minhat untuk KIL
Khir Rahman untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
Pekin Ibrahim untuk Cerita Kita
Farid Kamil untuk Lagenda Budak Setan 2
Pelakon Wanita Terbaik
Lisa Surihani untuk Istanbul, Aku Datang!
Vanida Imran untuk Untuk Tiga Hari
Nadia Aqilah untuk Zaiton, Ceritaku
Ruminah Sidek untuk Misteri Bisikan Pontianak
Fazleena Hishamuddin untuk Kontradiksi
Sinematografi Terbaik
Mohd Noor Kassim untuk Zaiton, Ceritaku
Haris Hue Abdullah untuk Istanbul, Aku Datang!
Soon Yung Chong untuk Paper Moon
Soon Yung Chong untuk KIL
Norhanisham Muhamad untuk Sembunyi
Lakon Layar Terbaik
Rafidah Abdullah untuk Istanbul, Aku Datang!
Alfie Palermo untuk Sembunyi
Mamat Khalid untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
Nik Amir Mustapha untuk KIL
Rameesh Puncharatnam untuk Olli
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Adlin Aman Ramlie untuk Juvana
Afdlin Shauki untuk Untuk Tiga Hari
Sharnaaz Ahmad untuk Sembunyi
Hans Isaac untuk Langgar
Saiful Apek untuk Rock Oo! Rimba Bara Kembali
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Umie Aida untuk Sembunyi
Anne James untuk KIL
Mislina Mustaffa untuk Misteri Bisikan Pontianak
Fynn Jamal untuk Kontradiksi
Faezah Elai untuk Tanda Putera
Filem Terbaik
Istanbul, Aku Datang! (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Lina Tan Suan Jeu sebagai penerbit)
KIL (Rewan Ishak, Nik Amir Mustapha, Jeremy Little, Anizan Sarif, Tengku Iesta Tengku Alaudin sebagai penerbit)
Rock Oo! Rimba Bara Kembali (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Mamat Khalid, Jalena Rejab sebagai penerbit)
Sembunyi (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Frank Lewis, Kabir Bhatia, Jalena Rejab sebagai penerbit)
Misteri Bisikan Pontianak (M. Suurya sebagai penerbit)
Rujukan Filem dalam Tontonfilem:
Istanbul, Aku Datang!| KIL | Rock Oo! | Sembunyi | Misteri Bisikan Pontianak | Juvana | Untuk Tiga Hari | Langgar | Tanda Putera | Zaiton, Ceritaku | Lagenda Budak Setan 2 | Cerita Kita
Tentang Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur