18 January 2013

Maynila: The Claws of Light (1975): Adikarya Lino Brocka



Sedang kalian sedang gilakan K-Pop dan tari kuda gatal, aku sedang tergilakan segala yang Pinoy. Aku sedang membaca Minuel Syjuco, mendengar lagunya, cuba merasa makanannya dan menonton beberapa filem Filipina, serta menerusi beberapa pembikin baharunya. Aku tidak boleh menafikan kehadiran mendiang Lino Brocka yang amat terasa. Kalau ditanya Amir Muhammad ataupun Norman Yusof, filem Filipina, khususnya filem-filem Lino Brocka merupakan senarai "mesti tonton" mereka. Aku pun setuju apabila menontonnya.

Jika kita tidak kenal Brocka, kita akan menuduh bahawa filem-filemnya "melodrama" atau "melodrama dunia ketiga" yang biasa kita jumpa dalam filem kita, Thailand ataupun Indonesia. Poin ini menarik, mengapa "melodrama" dengan alunan lunak perasaan dan emosinya amat dekat dengan dunia keasiaan? Apakah kita tidak dapat lari daripada mengalunkan emosi, ghairah dan suara hati dengan tangisan dan rasa geram? Kita seakan-akan berbudaya Latin Amerika, golongan Sepanyol yang bermata sepet dan berkulit sawo. Tetapi rujuklah lagi kepada apresiasi filem kita sendiri yang susah hendak lari daripada "perangkap" ini jika dibandingkan dengan Filipina yang sudah jauh membikin pelbagai emosi dan tema ataupun Indonesia dengan drama berentak Sang Penarinya walaupun kadang-kadang tersesat dengan Ayat-Ayat Cintanya.

Hal ini aku sengaja bangkitkan kerana persoalan "komersialisme" sekali lagi membutakan kita (baru-baru ini aku menonton Juvana dan filem itu juga terperangkap dengan konsep komersial itu, yakni menghendaki kecenderungan ke arah melodrama) perlu membandingkan dengan dunia wayang Pinoy yang bagi aku lebih "maju" jika dilihat pada filem-filem Lino Brocka ini.

Ini berkenaan dengan pandangan pembikin filem ini (rujuk wikipedia) yang mana "unsur komersialisme" dikatakan dimasukkan. oleh Brocka. Ah, ini menarik! Tontonlah filem ini dan kau akan sedar, jika PENONTON KITA menontonnya akan melihat ia sebuah "filem seni"! Percayalah! Mengapa, sebab penonton kita sudah terlalu BIASA disuap dengan unsur-unsur "komersial" yang salah mengikut kitaran klise Hindustan (yang juga sedang melalui transformasi besar) yakni: (1) runut bunyi berlangsung sampai habis, (2) emosi yang ditekan-tekan untuk membawa projeksi "perasaan", (3) babak MTV panjang, (4) tema kekasih bercinta yang perlukan latar eksotik/indah, (5) dialog-dialog mudah yang sudah terikat dengan jalinan genre yang disentuh, perlu ada "perkaitan" dekat dengan stereotaip genre. Inilah yang kita jumpa sedari Hapuskanlah Air Matamu hinggalah Ombak Rindu. Rujuklah hal itu dengan filem in yang aku kira, "komersial" hanya berlaku dengan struktur latar cerita kasih Julio dengan Ligaya, runut bunyi ala Ennio Morricone dalam beberapa babak, serta beberapa syot fokus Ligaya yang eksotik tetapi tidak pernah erotik. Dan juga, babak-babak merendek, yang cukup padat dan tidak perlu berjela-jela tetapi cukup membawa erti dan seterusnya imbangan kandungan untuk menggerakkan perkembangan plot dan perwatakan.

Dan filem ini meletup di Filipina.

Bandingkan hal ini dengan Malaysia, contohnya bagaimana filem percubaan yang baik macam Kami boleh lingkup di panggung (era 80-an). Sampai seorang pengkritik terkemuka zaman itu boleh mengulas mengapa filem itu lemah, arwah Hamzah Hussain kerana "Sudirman yang kita kenal ceria dan superstar melakonkan watak yang miskin dan gelap, tidak sesuai dengan namanya". HELLO? Kau fahamkah melakon "against typecast"? Itulah taraf pemikiran kritikan filem kita pada masa itu.

Dan hal itu tidak berlaku dengan wayang Filipina setakat itu.

Aku sudah menonton tiga filem Lino Brocka setakat ini, kesemuanya atas kebaikan Youtube. Dua filem lain ialah Insiang (1976) dan Fight For Us (1989). Aku sebenarnya terkesan dengan Insiang dan bagi aku, merupakan filem yang lebih berestetika tinggi dan mencapai keunggulan pengarahnya jika dibandingkan dengan filem ini, tetapi filem ini mempunyai suatu "emosi" dan imejan yang aku rasa membuka pintu wayang Filipina yang perlu bagi sesiapa yang mahu mengenal sejauh mana filem Filipina boleh pergi.

Tonton sahaja awal kredit apabila latar Manila (mungkin jalan lama) yang hitam putih, tanpa suara, yang mula "bersuara" satu per satu dengan deringan dan bunyi kereta dan akhirnya bising dan berhabuk dan Manila yang hidup dengan busuk dan haba. Warna datang, dan kota jadi terang dan bersuara hiruk lalu tiba-tiba seorang individu difokuskan, Julio (lakonan hebat dan berkuasa Bembol Roco).

Ah indah dengan gaya yang begitu mudah! Bahagian ini sahaja, bukan sahaja cara dramatik Brocka membuka "pentas" dramanya (ini akan menyakitkan, katanya, lihat mana "kuku"nya, Ah ya, sinar itu kuku yang menyakitkan! Siang atau malam!) tetapi menghubungkan makna kota Manila itu sendiri sebagai watak sebenar yang patut diambil penting oleh penonton. Kota ini, protagonis sebenar (yang seakan-akan bercerita dengan gerak dan bising isinya) yang "memilih" untuk memandang Julio, menyerangnya, menjadi sang voyeur yang mana menyatakan: "Ini mangsaku yang seterusnya." Gaya ini sungguh estetik sekali gus neo-realis, kedua-duanya berjaya diangkat, disebatikan dan dicurahkan kepada penonton.

Kita lihat sahaja latar pada filem (ini penting untuk memahami perbezaan emosi filem dengan kaitan makna lokasi dengan perangkap kota itu terhadap manusianya) ini bilamana kita lihat terdapat tanah kosong dan bangunan sedang dibangunkan, habuk yang paling habuk. Ini "ketandusan" kota ini, "memakan" diri yang paling primal (pada tahap ini juga disampaikan makna kapitalis-sosial yang amat memikat dengan konflik politik dan hak kemanusiaannya!) yang mana juga disampaikan tanah penuh wanita "menjual" (ah, ingat ini, ada wanita menjual barang dengan garang, ada pula para wanita di balik rumah-rumah dan kedai-kedai yang kita tak nampak, menjual diri), semuanya dalam kegelapan dan cahaya mentol. Kemudian ada bahagian taman sewaktu Julio dalam keadaan paling daif (dibuang kerja, matlamat mencari kekasih sudah terbantut) seakan menjawab persoalan "ubat" kepada mangsanya (lihat dengan licik pembikin menafikan fungsi gereja!). Kemudian kita dilihatkan dengan kotak-kotak dalaman, rumah, bilik tidur dan bilik melacur. Semuanya berwarna dan menjemput rakus celaka kota ini.

Filem ini jika diteliti akan didapati bergerak secara episodik seakan satu pengembaraan Odisi Julio mencapai "matlamat" (menyelamatkan kekasihnya), ini tujuan romantis (melodrama) yang murni, berapa jauh Julio boleh "terkawal suci" kita tanya (sekali lagi unsur kampung suci dan bandar kotor dimainkan sepertimana filem Melayu). Malah ada beberapa babak dan tragedi menunjukkan Julio yang mula menunjukkan "keganasan" mula "korup" dengan dosa-dosa yang kota ini hidangkan, khusus secara moral dunia pelacuran lelaki yang dimasuki Julio (Brocka seorang homoseksual, dan amat mengejutkan filem Filipina agak berani mengutarakan tema ini jika dibandingkan dengan sifat konvensional Hollywood era itu, walaupun deskripsi orang-orang ini dalam dasar negatif). Maka Julio jadi "gelap" dan ini sepatutnya "mendekatkan" dirinya dengan matlamatnya (yang sudah diberi klu sudah melintas kegelapan). Gelap ini merupakan unsur terkuat filem ini, walaupun terdapat perlakuan jenayah dan dosa pada siang hari (pelacuran).

Gelap juga merupakan ruang Julio "berubah" atau melalui pergerakan cerita (nasibnya berubah bila bertemu pelacur lelaki pada waktu malam, contohnya). Julio membeli "pencungkil" di "Pasar Malam", melacur pada waktu malam dan akhirnya, apabila ketemu Ligaya di gereja (yang terang, ah sekali lagi, agama tidak boleh menyelesaikan masalah mereka dan aku rasa penulis filem ini memang sosialis), melepaskan kasih dan cinta di pawagam dalam kegelapan. Babak wayang panggung ini penting (filem yang mereka ingin tonton ialah King of Kings, yakni filem agama, ah! Wayang AGAMA baharu yang menyelesaikan masalah dan derita isi kota! Gereja tidak berjaya lagi!) kerana di ruang ini bukan sahaja kita dipaparkan "hajat" Julio tercapai (dapat memeluk Ligaya akhirnya) tetapi betapa "terperangkap"nya manusia dalam kota yang sesak ini. Itupun ada "cahaya" yang mengacau intimasi mereka. Kota ini "dengki" yang tidak sudah. Dan Julio tidak pernah serik-serik (meninggalkan Manila, bayangkan filem kita yang selalunya wataknya senang balik ke kampung atau berakhir ke kampung, selalu mempunyai pengertian yang optimis kerana mungkin aqidah kita) kerana pergantungannya untuk bersama dengan Ligaya.

Ini sebuah filem yang hidup dan kelam dalam kebisingan dan penggambaran yang kasarnya. Runut bunyinya pun indah, dengan kekuatan lakonan realisme yang amat kuat jika dibandingkan dengan drama soap mereka. Malah pelbagai unsur sosial dan humanis dapat disampaikan dengan terang dan akhirnya mencapai suatu puitis yang agak susah tercapai oleh mana-mana filem berkenaan kota yang mencengkam. Akhirnya pun menjawab persoalan awal filem yang "sepi", dengan pemberian cahaya sinar, wajah Ligaya (Syurga Abadi) dan laut luas. Akhirnya Brocka memberi sedikit nafas dalam kehadiran tragedi yang amat menakutkan, suatu eskapis yang menjawab persoalan dalm babak panggung wayang tadi.

Ini sebuah adikarya yang besar dan mengejutkan.

10 January 2013

Juvana(2013): Manusiawi Tersasar



Semuanya macam menunggu seperti sebuah filem yang akan menggegarkan jiwa dan emosi.

Filem ini langunsangan kesinambungan drama siri Juvana yang amat terkenal dan dikenali, serta diiktiraf. Kisah beremosi dan bijak dalam ikatan semangat berontak anak muda ini telah menyentuh beribu para penonton Malaysia waktu ini.

Tindakan Filmscape, ibu syarikat pembikin Kabir Bhatia dan Mira Mustafa ini (penerbit yang cemerlang membawa perubahan penonton TV kita menemui isi-isi bermutu) setentunya satu pilihan yang ditunggu-tunggu peminat. 

Para pelakon mudanya yang berwibawa, mendapat pujian pengkritik serta peminat baharu, melancarkan kerjaya mereka dalam bidang ini, dan kehadiran mereka "yang disayangi" ini kerana watak-perwatakan bulat dan memang menjadi sesuatu yang diperkatakan.

Kemudian kita ada Alfie Palermo, antara penulis skrip muda yang aku kagumi sedari drama siri Tower 13 yang pernah disiarkan di TV3. Penulis ini kenal dengan cerita, watak dan bahasa filemnya, bijak dan selalu memberikan suatu imejan dan imbuhan latar yang segar buat aku. Di sini, dia kembali meneruskan penulisan filem ini.

Kita juga ada Faisal Ishak, antara anak didik Kabir, yang mana sudah teruji kekuatan pengarahannya dalam drama siri Juvana ini. Dia bertindak sebagai pengarah filem ini, melangsungkan suatu "perkahwinan" pembikinan yang memang amat ditunggu-tunggu.

Jadi mengapa selepas selesai menontonnya, mulut aku berkumat-kamit meleter dalam diam dan masih menggeleng-geleng kepala?

Aku sampaikan sebuah babak dalam filem ini. Babak itu memaparkan sekujur manusia atas katil pesakit. Seorang jururawat cantik menghampirinya. Dengan selamba (tanpa reaksi natural seorang jururawat) dia memerhati dan memerika pesakit itu, dan jelas pesakit itu sudah mati. Wajahnya tetap biasa, tanpa apa-apa kejutan, menyedari pesakit itu sudah mati. Mulut aku terlopong.

Babak itu sahaja terlalu absurd, seakan-akan komedi yang menyakitkan di tengah-tengah cerita yang serius.

Aku dapat tahu, filem ini diminta untuk melalui penggambaran 17 hari. Adakah ini masalahnya? Bagaimana pula dengan perancangan? Tidakkah sang pengarah diberi peluang untuk melakukan beberapa rakaman (take)? Lihat sahaja babak awal pembuka filem ini, satu penanda apabila para juvana Wira Bakti dibawa masuk ke dalam lori. Lori bergerak. Mereka bercakap dan kerana suaranya begitu tidak jelas, kita tergamam, kemudian, seakan-akan sesuatu berlaku kerana para juvana dalam lori itu seakan terpinga-pinga, bunyi brek tiba-tiba dan seakan-akan sesuatu yang terlanggar. Babak sambungan memaparkan tayar lori itu "pancit" rupanya. Babak mudah itu sahaja tidak memberi aku keyakinan.

Filem ini bergerak daripada sambungan kisah Daim (Zahiril Adzim) yang bebas dan ingin memulakan hidup baharu di sebuah sekolah menengah, dalam dua bulan lagi akan mengambil SPM. Konflik ditimbulkan, seperti biasa apabila ada budak kaki buli (yang kononnya berlagak kacak) memilih Daim sebagai "mangsa", lebih-lebih lagi Daim kelihatan intim dengan seorang budak pandai, Sara. Daim selalu mengusung sebuah novel Alexandre Dumas, The Count of Monte Cristo. Ah, ini bukan calang-calang rujukan, juga kemungkinan klu mengapa filem ini dibikin. Bukan sahaja kisah novel Perancis itu berkenaan seorang banduan yang bebas dari penjara menghadapi hidup baharu, tetapi bagaimana dengan romantisnya dia mengambil pilihan membalas dendam atas kebebasannya yang diragut, dengan suara berontak untuk mencetuskan jihad terhadap tokoh dan sistem yang menzaliminya. Dalam perjalanan itu, dia menjumpai keindahan yang lebih bermakna, kemanusiaan.

Hal ini sahaja sudah tentu membuat kita kagum, dan sememangnya, ada motif-motif tertentu dalam filem ini yang menimbulkan semangat itu. Begini, drama siri ini dipandang mulia kerana mainan analogi ini, yakni generasi muda yang selalu disalah erti (dan di sini memang dikondem) lantas belajar tentang "hidup" dalam pelbagai nilai dan nafasnya, paling jelas adalah kuasa politik dan humanisme. Sifat sistem "juvana" itu sendiri satu metafora untuk "cengkaman daripada kebebasan" terhadap anak-anak muda itu (secara fizikal dan rohani). Semua ini menjadikan drama siri itu menarik dalam genre penjara. Dan kesinambungan ini melihat kembali titik-titik itu, dan di sini diperlihatkan lagi dengan kecaman "fasis" terhadap innocent. Ada suatu yang menarik apabila para juvana Wira Bakti bertukar sekolah pemulihan. "Perubahan" itu sendiri seakan menandakan "perubahan regim" yakni ura-ura yang akan berlaku datang PRU kali ini. Ah, suatu kiasan yang menarik, tetapi bolehkah filem ini membawanya?

"Perubahan" ini juga ditujukan kepada sifat optimis (dan begitus manusiawi) bahawa walaupun manusia boleh berubah jadi "jahat", yang jahat itu juga boleh berubah menjadi "baik". Unsur "taubat" merupakan kekuatan dalam agama Islam dan hal ini diaplikasikan. Realiti "taubat" ini menarik dengan memaparkan watak Daim yang sudah keluar itu mendepani realiti masyarakat yang hanya melihat "hitam putih" dunia. Ini suatu mesej sosial yang meyakinkan.

Para pelakon mencuba dan bagi aku, agak seronok melihat lakonan mereka, terutamanya Johan Ashaari dan Syazwan Zulkifli. Yang lain juga menimbulkan mood realisme dan jujur dalam watak mereka. Aku sedikit kurang gemar dengan lakonan psiko Sharnaaz yang bagi aku terlalu terbawa-bawa, langsung kelihatan karikatur daripada menakutkan (seakan-akan filem ini menjadi filem Tamil).

Rasa, suara dan imejan, aduh, begitu 70-an, mengapa? Semacam para pembikin menggunakan pita-pita seluloid lama simpanan Sabah Films. Ada babak-babak begitu malas malah kelihatan syot panjang tanpa gerakan sudut pandangan, begitulah sahaja cara pengarahnya menggerakkan latar dan cerita apabila watak-watak "keluar" dan "masuk" daripada bingkai (frame) gambar yang disyot, hal ini menjengkelkan (ada satu syot sudut pandang Tuhan yang memaparkan sekolah dan kemudian surau dan kita dapat dengar suara orang bercakap. Babak ini amat menyakitkan dan dingin, tidak adil buat penonton) apabila terus-menerus digunakan hingga akhir. Gaya ini menggerutu dan lelah. Hal ini dirosakkan lagi dengan tata bunyi yang paling buruk berlaku dalam filem Malaysia tahun ini. Ada beberapa babak aku semacam berpayah ingin mendengar ngomelan para pelakon, dengan feel syot "real" semacam Heaven's Gate(1980)! Adakah kerana awal-awal penggambaran melalui masalah teknikal? Atau memang panggung rosak sistem suara? Ini satu masalah yang sebenarnya sangat membahayakan.

Sebenarnya, hal itu (tak dengar) tidak ada masalah, jika imejan yang ditayangkan sudah begitu kuat dalam perwayangan (sinematik). Inilah masalah paling besar filem ini. Aku tidak menonton wayang (sinema) yang sepatutnya, aku menonton "talking heads" dan drama siri yang diperpanjangkan. Tidak ada objektifikasi imejan yang boleh kita pegang sebagai penanda membawa filem ini (pengarah cuba dalam langit dan jaring-jaring jel/pagar/kandang tetapi imejan ini terlalu tidak diambil peduli untuk dilihat sebagai penting), menjadi "suara hidup" layar. Bunohan contohnya, bukan sahaja mendapat kekuatan objek layar dan gelanggang muay thai, tetapi latar kampung itu semacam "watak" yang tersendiri. Filem ini sepatutnya "menghidupkan" latar sekolah itu sendiri sebagai "watak kedua", tetapi hal itu tidak berlaku.

Kemudian, cakap-cakap-cakap. Fine. Aku tiada masalah jika ia dibikin dengan dramatik tertentu. Aku tahu, filem ini sebuah melodrama dalam perangkap genre penjara. Ada beberapa filem cakap-cakap-cakap yang baik, My Film with Andre(1981) dan 12 Angry Men (1957) merupakan contoh tertentu. Tetapi filem itu "memahami" bukan sahaja kerana diadaptasi daripada drama teater. Filem ini dasarnya dibawa daripada drama siri. Adalah baik jika pengarah dan penulis skrip "meninggalkan" gaya dan sentuhan episodik bersiri dan mengambil kefahaman yang mendalam dalam memahami tempoh, latar, objek dan perlakuan untuk menggerakkan cerita. Ini wayang, bukan lagi televisyen. Bagi aku, Kami sebuah filem contoh yang berjaya membebaskan dirinya daripada bersangkutan dengan drama sirinya, punya inuendo dan gaya tertentu yang menyebabkan kita menyedari kita menonton sebuah "filem", dan ia berdiri dengan sendiri.

Pun begitu, aku puji juga Alfie dan Faisal kerana memberi beberapa adegan kagum yang berlaku dalam sejarah filem kita. Yeap, aku menangis. Babak paling meyakinkan berlaku dengan seorang watak mendepani al-Quran lalu menyatakan "Allah terima tak aku apabila aku tidak boleh membaca al-Quran". Babak tu memang babak meremang bulu. Kemudian terdapat beberapa babak sebab-akibat yang menarik, yang memerlukan suatu keyakinan simpati yang kuat, berlaku selepas satu watak dicederakan. Walaupun gayanya melodramatik, sifat sarwajagat manusiawinya amat dirasai, dan berjaya menyentuh. Aku juga suka perkara-perkara kecil yang dibuat pengarah yang berkenaan dengan "kebocoran dalam sistem mengawal", menunjukkan bahawa sang juvana boleh sahaja lepas lari (escape) dari sistem yang menzalimi mereka, tetapi mereka mengambil tindakan yang lebih matang dan duduk dalam sistem tersebut. Sifat ini sahaja suatu iktiraf positif tentang suara dan sifat anak muda kita yang sebetulnya matang dan menyedari hakikat realiti hidup yang mencabar. Ini hal-hal kecil yang aku puji.  

Ada beberapa babak, sekali lagi menunjukkan kareografi aksi kita masih lemah, mungkin juga kerana kepondanan LPF kita memberi keyakinan pembikinnya untuk menunjukkan apa yang mereka rasa perlu. Ya, aku dapat bayangkan babak-babak itu lebih menjadi jika ia ditunjukkan bukan disamarkan. Ini buat aku kesalahan LPF kita, bukan para pembikin.

Runut bunyi filem ini hancur dan bercelaru. Hanya diselamatkan setiap kali lagu tema drama siri ini berkumandang pada awal dan akhir kredit.

Filem ini memang banyak pincangnya, dan masih tidak mahu keluar daripada kepompong selamatnya berkenaan "ini sebuah sambungan drama bersiri". Tetapi aku yakin para peminatnya yang berjuta akan puas dengannya, dan setentunya filem ini dibikin untuk itu, memuaskan dahaga para peminat tegarnya melihat kembali Daim, Botak, Apek, Ayam, Kicap dan banyak lagi beraksi di layar.

Klasifikasi Juvana: P13, Beberapa babak ganas mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak, dan perlu bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI Cathay Cineleisure The Curve. [AKAN DITAYANG 24 JANUARI 2013]